SELAWAT
KEATAS NABI…Sapawi bersama penduduk islam setempat berarak dan berselawat
dititian jambatan simen yang baru pekan
Weston yang bernilai lebih RM4 juta melalui peruntukan kerajaan negeri sempena
sambutan maulidur rasul pekan Weston.
MANTAP…Sapawi
merakamkan kenangan bersama peserta yang mengikut perarakan maulidur rasul di
pekan Weston.
CERIA…Sapawi menyampaikan cenderakenangan
kepada hakim-hakim yang bertugas di majlis tersebut.
DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan
daripada Pengerusi Masjid Pekan Sipitang Awang Ahmad Pengiran Daud di majlis
tersebut.
WESTON: Umat Islam
dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan segelintir pihak
yang mahu mencetuskan perpecahan ummah.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pihak tersebut tanpa rasa
segan dan tanpa rasa hormat telah melontar pelbagai isu sensitif yang mampu
mencetuskan pertelagahan di kalangan umat Islam.
Beliau berkata pihak tersebut mempunyi agenda tersembunyi dan sememangnya mahu
agar umat Islam berpecah.
“Kita sedih dengan perkara ini dan lebih menyedihkan ada juga di kalangan umat
Islam yang tampil menyokong tindakan pihak tersebut,” katanya pada sambutan
Maulidur Rasul peringkat pekan Wesron di sini kelmarin.
Menurutnya umat Islam harus kembali kepada landasan yang sebenar dan sentiasa
memastikan akidah mereka tidak terpesong.
Katanya ketika ini umat Islam dilontarkan dengan isu Kalimah Allah oleh pihak
tertentu.
“Isu jika tidak ditangani dengan bijak boleh mencetuskan perbalahan tetapi
rakyat wajar bersyukur kerana memiliki Kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa
memastikan perpaduan dan persefahaman rakyat bukan sahaja dikekalkan tetapi
dipertingkatkan.
“BN akan memastikan rasa hormat-menghormati antara rakyat akan kekal dan tidak
cuba digangguguat oleh mana-mana pihak,” katanya lagi.
Sapawi juga memberitahu amat menyedihkan apabila segelintir umat Islam tanpa
rasa segan menyokong tindakan pihak terbabit dan menjadikannya sebagai sumber
politik diri sendiri.
Katanya pihak tersebut juga bertindak mempengaruhi umat Islam untuk menyokong
tindakan tersebut.
“Bukan hanya isu itu tetapi sebelum ini pun umat Islam telah dihidangkan dengan
isu LBGT yang amat ditegah oleh agama,” katanya lagi,
Beliau memberitahu bukan hanya Kerajaan BN yang harus menangani isu tersebut
tetapi umat Islam juga harus memainkan peranan.
Katanya peranan umat Islam ialah memastikan perpaduan dan persefahaman di
kalangan rakyat terus kukuh dan mantap.
Menurutnya umat Islam juga harus memperlihatkan kesatuan sesama sendiri agar
dapat menangani apa juga cabaran yang mendatang.
“Usah terpengaruh dengan pihak yang cuba memesong akidah kita dan kita harus
menolak apa juga tindakan atau usaha pihak tersebut untuk memecahbelahkan serta
memusnahkan perpaduan dan juga persefahaman rakyat,” katanya lagi.
Beliau berkata sambutan maulidur rasul yang diadakan saban tahun wajar
mencetuskan keinginan kepada umat Islam untuk mencpai sesuatu yang lebih
terbaik daripada yang baik.
Katanya jadikan sambutan itu untuk membuat penilaian diri dan juga kekuatan
akidah selain memperkukuhkan kesatuan yang sedia ada.
“Umat Islam wajar menyelami kepribadian Rasulullah dan terus menjadikan
al-Quran dan hadis sebagai panduan untuk mencapai kejayaan serta
kecemerlangan,” katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengerusi
Masjid Pekan Weston Awang Ahmad Pengiran Daud, Iman Daerah Beaufort Mohd Jalin
Sarmali, Pegawai Ekskuatif Koperasi Pembangunan Desa Awang Liman Yusuf, Pegawai
Perhutanan Sipitang Mahummad Bakar, Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang
Matbali Musah dan Ketua Anak Negeri Lumadan Bungsu Yusuf.