SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh
Ahmad, Ir. Musatapa dan Adnan menyampaikan sumbangan kepada Haji Baharin wakil
keluarga penerima di majlis tersebut.
SIAP SEDIA…Sapawi diperhatikan oleh
Ahmad dan Adnan menerima laporan gerak jentera PRU markas Pekan Satu, Sipitang
di majlis tersebut.
MANTAP…Sebahagian anggota gerak
kerja BN yang menghadiri majlis perasmian tersebut.
TATAP…Sebahagian anggota gerak kerja
BN melakukan acara gimik dengan memangkah kertas undi BN di majlis tersebut.
SIPITANG: Serapkan semangat keikhlasan dan kesetiaan terhadap
perjuangan parti.
Nasihat itu dilontarkan oleh Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad
kepada anggota parti Barisan Nasional ketika melawat markas daerah mengundi
dalam Parlimen Sipitang.
Tiga markas dilawat oleh Sapawi iaitu Zon Pekan 1, Zon Pekan 2 dan
Sindumin bagi melihat gerakan yang telah dilakukan oleh markas tersebut.
“Keikhlasan dan kesetiaan perjuangan amat penting bagi memastikan rakyat terus
yakin kepada BN,” katanya.
Beliau berkata kekuatan BN adalah keikhlasan dan kesetiaan yang diperlihatkan
oleh anggotanya dan inilah juga yang memberi keyakinan kepada rakyat.
Menurutnya keikhlasan dan kesetiaan inilah yang membezakan BN dengan
pembangkang.
Katanya seluruh anggota parti tahu bahawa pembangkang hanya menggunakan taktik
pembohongan untuk memikat hati rakyat.
“Apa juga yang kita lakukan untuk rakyat diputar-belitkan oleh pembangkang dan
inilah juga cabaran yang harus kita hadapi.
“Kita perlu memberikan penerangan dan penjelasan kepada rakyat dan tidak boleh
mengambil sikap `biarlah’,” katanya lagi.
Beliau berkata sikap tersebut bukan sahaja membiarkan rakyat terus diulit
dengan pembohongan pembangkang tetapi juga memperlihatkan ketiadaan keikhlasan
dan kesetiaan terhadap perjuangan parti.
Menurutnya anggota yang tidak ikhlas dan setia akan selalu mempertikaikan apa
yang direncanakan oleh parti malah perjuangannya juga lebih terarah kepada
kepentingan diri sendiri.
“Kita sudah melihat beberapa anggota parti yang menyertai pembangkang...mereka
mengkritik BN dan menghebahkan pelbagai dakwaan sedangkan apa yang mereka dakwa
itu sepatutnya mereka lakukan sewaktu bersama BN.
“Inilah sikap `biarlah’ yang digunapakai oleh bekas anggota parti BN itu dan
inilah juga cabaran buat kita,” katanya.
Beliau berkata anggota parti perlu terus mendekati rakyat dan terus mendengar
denyutan nadi rakyat.
Katanya hanya dengan cara itu anggota parti dapat menyalurkan maklumat yang
sebenar dan seterusnya mendedahkan pembohongan pembangkang.
Sapawi yang juga Pengerusi Penyelaras BN Sipitang berkata rakyat masih menaruh
kepercayaan dan keyakinan kepada BN untuk terus menerajui kerajaan.
Menurutnya sokongan dan kepercayaan itu membuktikan bahawa perjuangan BN kepada
rakyat adalah yang terbaik.
“Saya yakin kita mampu menang dua pertiga pada pilihan raya akan datang kerana
kebijaksanaan rakyat yang tidak akan menggadaikan masa depan,” katanya lagi.
Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa Parlimen Sipitang akan terus menjadi
kubu kuat kepada BN.
Katanya rakyat dalam DUN Lumadan dan DUN Sindumin masih tetap bersama BN dan
tahu apa yang diperjuangkan oleh pembangkang.
Menurutnya perjuangan pembangkang hanya untuk memenuhi keinginan dan kehendak
diri sendiri berbanding dengan BN yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan
dalam perjuangan.
Hadir sama pada
majlis tersebut Adun Sindumin merangkap Ketua Penerangan Umno Sipitang Ahmad
Bujang, Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Setiausaha Umno
Sipitang Alidin Mohammad, Ketua Umno Zon Pekan Satu Ir. Mustapa Kassim, Ketua Umno
Zon Pekan Dua Adnan Puteh dan Ketua Umno Zon Sindumin Arif Ismail.