Thursday, December 20, 2012

RELA Bersama Pemimpin

 TAHNIAH…Sapawi bersama Timbalan Pengarah RELA Sabah Najib Guntak menyempurnakan pemakaian pangkat kepada salah seorang anggota RELA yang dinaikkan pangkat pada majlis tersebut.



SIPITANG: Kejujuran dan keikhlasan bukan sekadar dapat melaksanakan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab tetapi ianya juga dapat meningkatkan imej di mata rakyat.
            Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata sumbangan dan peranan anggota Ikatan Relewan Rakyat (RELA) sentiasa dihargai oleh kerajaan.
            "Sebagai anggota RELA, mereka perlulah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan jujur dan ikhlas kerana tugas yang dihadapi oleh RELA ketika ini amat mencabar," katanya ketika merasmikan Majlis RELA Bersama Pemimpin di dewan serbaguna di sini kelmarin.
            Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pegawai Ekskuatif Majlis Daerah Sipitang Sherif Endra Abdul Hamid, Timbalan Pengarah RELA Sabah Kolonel (REAL) Najib Bin Guntak, Kolonel (Kehormat) RELA See Sue Teng dan Penolong Pegawai RELA Sipitang Awangku Redzuan.
            Sapawi berkata anggota RELA turut memainkan peranan penting dalam memastikan keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
            Katanya anggota RELA bukan membantu pihak berkuasa keselamatan untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan yang selesa tetapi juga sebagai contoh kepada rakyat bahawa keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan adalah tanggungjawab seluruh rakyat dan bukan hanya terletak kepada pihak berkuasa keselamatan.
            Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa anggota RELA perlu sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan dan pemimpin setempat.
            Katanya kerjasama itu penting bagi memastikan keselamatan dan keselesaan rakyat terus dapat dipelihara.
            Sapawi juga memberitahu anggota RELA juga perlu memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak dipergunakan oleh pihak pembangkang.
            Menurutnya Kerajaan BN telah dan sentiasa berusaha mengangkat imej anggota RELA sesuai dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
            "Usah jadi tali barut kepada pembangkang sebaliknya terus beri sokongan padu kepada kerajaan," katanya lagi.
            Pada majlis tersebut Sapawi menyempurnakan upacara pemakaian pangkat KPTM dan KPR selain turut menyampaikan baju kuning RELA kepada anggota RELA baru yang menyertai krusus.
    
Share |