Monday, December 10, 2012

Syor Menubuhkan Yayasan Pembangunan Komuniti Kedayan

 TAHNIAH…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Presiden Persatuan Kedayan Sabah Ahmad Bujang pada majlis perasmian mesyuarat tersebut.
 MANTAP…Sapawi dan Ahmad merakamkan kenangan bersama sebahagian pimpinan Persatuan Kedayan Sabah di majlis tersebut



SIPITANG: Persatuan Kedayan Sabah disyorkan agar menubuhkan Yayasan Pembangunan Komuniti Kedayan.
            Syor itu diluahkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad ketika merasmikan mesyuarat agung persatuan itu di Sekolah Menengah Padang Berempah dekat sini kelmarin.
            Sapawi yang juga penaung persatuan tersebut berkata penubuhan yayasan itu bukan sekadar untuk mengangkat martabat kaum tersebut tetapi menjadi wadah dalam mentranfomasikan persatuan tersebut menerusi pelbagai agenda.
            "Banyak manfaat jika yayasan tersebut ditubuhkan dan paling penting ianya mampu meningkatkan lagi imej persatuan," katanya.
            Beliau berkata kaum Kedayan adalah kaum di negeri ini yang turut berperanan penting dalam memastikan kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan terus dinikmati oleh rakyat.
            Katanya tanggungjawab itu tidak boleh diketepikan dalam usaha kaum tersebut menerusi persatuan mencapai kemajuan dan juga kecemerlangan.
            Menurutnya tanggungjawab tersebut boleh diperlihatkan dengan terus memberikan sokongan dan dokongan kepada kerajaan yang ada ketika ini dan menolak pihak tertentu yang cuba memusnahkan apa yang dinikmati ketika ini.
            Beliau memberitahu ketika ini terdapat pihak-pihak tertentu yang mempergunakan isu perkauman untuk mencetuskan perbalahan antara kaum yang ada di negara ini termasuklah memainkan isu agama.
            "Pihak ini sengaja mempergunakan isu tersebut kerana jika rakyat berpecah belah, maka mudahlah mereka mencapai impaian dan hasrat mereka," katanya lagi.
            Begitupun Sapawi menegaskan bahawa kaum itu perlulah bersedia untuk bersaing dalam memburu dan berusaha mendapat kejayaan serta kecemerlangan.
            Katanya ia termasuklah dalam bidang pendidikan di mana kaum Kedayan perlu berusaha lebih gigih agar generasinya pada akan datang adalah generasi yang berjaya dalam pendidikan dan tidak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum yang lain.
            "Dalam persaingan itu pula, kita perlu memastikan hormat-menghormati antara kaum yang menjadi amalan sejak dahulu bukan sahaja dapat dikekalkan tetapi dapat diteruskan," katanya lagi.
            Pada mesyuarat itu Adun Sindumin Ahmad Bujang dan Sablee Bagol kekal sebagai presiden dan timbalan presiden Persatuan Kedayan Sabah setelah diumunkan menang tanpa bertanding.
            Manakala bagi jawatan naib presiden disandang oleh Wahid Kapal, Kula Mamit, Adnan Othman, Annie Sawali dan Kasa Saidi
Bagi penolong setiausaha dan penolong bendahari telah diisi oleh Hasmat Jahar dan Daim Bakar.
Seramai lapan orang pula mengisi jawatan ahli majlis tertinggi persatuan tersebut antaranya Chemat Latif, Shariman Isha, Maidun Sisak, Karim Baha, Ramlan Tahir, Jefrydin Lajak, Pazidah Tawar dan Osman Matdris.

    
Share |