Monday, December 24, 2012

Kenduri Sekampung Kampung Siak Padas Damit, Beaufort.

 NIKMAT…Sapawi dan Kamarlin sambil diperhatikan oleh Yunus Raja sedang menikmati juadah sempena majlis kenduri sekampung tersebut.


BEAUFORT: Rakyat dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai dan terpengaruh dengan taktik terbaharu pembangkang.
            Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata rakyat perlu bijak dalam membuat keputusan dan ia wajar berasaskan kepada penilaian dan penelitian.
            "Buat keputusan yang bijak kerana keputusan tersebut bakal memastikan masa depan diri sendiri dan juga generasi akan datang," katanya pada majlis kenduri sekampung di Kampung Siak Padas Damit dekat sini kelmarin.
            Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Iman Daerah Beaufort Iman Matjalin Saramalih dan Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah, Ketua Daerah Mengundi Padas Damit Yunus Raja DAN Pengerusi Masjid Kampung Siak Mat Jinan Bakok.
            Sapawi memberitahu, pembangkang ketika ini mengajak rakyat untuk mencuba dahulu pemerintahan mereka dan jika tidak mampu baharulah kembali kepada Barisan Nasional (BN).
            Katanya cadangan pembangkang itu hanyalah bersifat untuk mengelirukan rakyat kerana apabila keputusan dibuat, pastinya rakyat akan menanggung akibat.
            "Rakyat tidak menerima cadangan itu kerana BN telah membuktikan keupayaan dan kemampuannya dalam memperjuangkan serta membela nasib rakyat sebagai kerajaan," katanya.
            Menurutnya tiada sebab mengapa rakyat harus menerima cadangan pembangkang sedangkan apa yang dinikmati oleh rakyat ketika ini adalah hasil daripada usaha yang dilakukan oleh BN.
            Beliau berkata BN merupakan kerajaan yang bukan sahaja menunaikan segala janji tetapi tidak mempergunakan dan memesongkan rakyat dan ianya amat berbeza dengan perjuangan pembangkang.
            Katanya perjuangan pembangkang lebih menumpukan kepada kepentingan dan keinginan individu dan bukannya kepentingan rakyat seperti yang mereka laungkan.
"Perkara ini begitu jelas dan rakyat sendiri boleh melihatnya...amat jauh jika dibandingkan dengan perjuangan BN yang mengutamakan rakyat dan keutamaannya ini tidak pernah berubah," katanya lagi.
            Sebelum itu wakil rakyat Lumadan Datuk Kamarlin Ombi berkata rakyat perlu terus memperkukuhkan persefahaman dan kerjasama yang sedia adanya.
            Katanya program kenduri sekampung memperlihatkan semangat kerjsama dan persefahaman di kalangan penduduk kampung masih berada pda tahap yang membanggakan.
            "Persefahaman dan kerjasama itu perlu diteruskan kerana menerusi semangat seumpama inilah segala perancangan yang dirangka dan permasalahan yang dihadapi dapat dilaksanakan,: katanya.

Share |