Thursday, December 27, 2012

Ma'al Hijrah Beaufort.

 DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh Isnin menyampaikan anugerah kepada Suari Ramin di majlis tersebut.
 TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Isnin menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengurus Tabung Haji Beaufort Sahrul Nizam di majlis tersebut.
 SOKONGAN…Sebahagian umat islam yang menghadiri majlis tersebut.
   CERIA…Sapawi dan Isnin merenjis kepada peserta berkhatan di majlis tersebut.

BEAUFORT: Umat Islam disaran agar menghayati makna dan pengertian sebenar hijrah.
            Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata salah satu pengertian hijrah ialah membawa masyarakat yang lemah kepada masyarakat yang cemerlang dan gemilang.
            “Daripada masyarakat yang lemah kepada masyarakat yang cemerlang dan gemilang daripada pelbagai aspek…bukannya menukar kerajaan yang banyak berjasa kepada rakyat,” katanya pada majlis Maal Hijrah peringkat daerah Beaufort di sini kelmarin.
            Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah pemangku Umno Beaufort Isnin Aliasnih, Pengerusi Badan Kebajikan dan Dakwah Sipitang merangkap penolong pegawai Daerah Sipitang Mohd Shaid Othman, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Beaufort Jupari Etok dan Pegawai Tadbir Agama Beaufort Abidin Ali Hassan dan Penceramah jemputan Lamsin Anggali
            Beliau berkata ajakan atau permintaan pihak tertentu agar takyat mengubah kerajaan yang ada ketika ini bukan membawa makna hijrah yang sebenar.
            Katanya ini kerana ajakan dan permintaan itu membawa rakyat untuk mengetepikan segala kemakmuran dan keharmonian serta kesejahteraan yang dinikmati ketika ini.
            Malah, katanya, ia juga mengajak rakyat untuk meminggirkan kerajaan yang selama ini telah banyak berjasa kepada rakyat.
            “Ini bukan konsep hijrah yang sebenar sebaliknya ia hanya merupakan ajakan membawa rakyat kepada kemunduran dan juga kepahitan,” katanya lagi.
            Beliau berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha mempertingkatkan apa yang dinikmati oleh rakyat ketika ini.
            Katanya apa yang dilakukan oleh BN tidak akan mampu disaingi atau diikuti oleh mana-mana parti khususnya parti pembangkang.
            “Rakyat boleh melihat sendiri apa yang dilakukan oleh pembangkang yang bukan sahaja tidak memperdulikan soal agama tetapi juga soal kaum…pembangkang bukan berjuang untuk rakyat tetapi untuk memenuhi keinginan dan kehendak individu tertentu,” katanya lagi.
            Sapawi memberitahu umat Islam perlu berfikir dan membuat penilaian dan tidak mudah terpengaruh atau diperdaya.
            Beliau juga meminta agar umat Islam terus mempertahankan perpaduan dan persefahaman antara kaum.
            Katanya persefahaman dan perpaduan itu hadir daripada rasa hormat-menghormati antara satu sama lain.
            “Amalan ini telah menjadi budaya kepada kehidupan kita dan ia wajar diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya lagi.

a

Share |