Monday, December 31, 2012

Basikalton Sempena Ambang 2013 Sipitang

 SEMANGAT…Sapawi bersama Kamarlin, Latip dan Hafez serta peserta basikalton mengayuh basikal tanda sembolik sambutan ambang 2013 peringkat Sipitang.
  TEPAT…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Latip melastik tepat ke sasaran sebagai tanda rasmi basikalton dan ambang 2013 di Sipitang.
 DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Latip menyampaikan hadiah kepada peserta tertua yang menyertai basikalton di majlis tersebut.
 BERTUAH…Sapawi menyampaikan hadiah sebuah basikal kepada salah seorang peserta yang bertuah menyertai basikalton tersebut.


  CERIA…Sebahagian orang ramai dan peserta basikalton yang hadir di majlis tersebut.

SIPITANG: Sokongan berterusan daripada rakyat membolehkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan program pembangunan yang berterusan.
            Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata sokongan itu juga membolehkan BN untuk memastikan rakyat terus menikmati kesejahteraan, keharmonian dan juga kemakmuran.
            “Rakyat sedar bahawa BN sahaja yang berupaya untuk membawa rakyat menikmati kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran berterusan dan berpanjangan,” katanya pada perasmian basikalton di sini kelmarin.
            Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Datuk Kamarlin Ombi, Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat, Ketua Daerah Sipitang Arif Ismail, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, Ketua Pemuda Sipitang Yamani Hafez Musa dan Ketua PBS Lumadan Roslan Muharam.
            Program basikalton sejauh tujuh kilometer yang disertai lebih 300 penunggang basikal terdiri daripada lapisan kaum dan generasi itu bermula daripada padang pekan Mesapol dan berakhir di padang pekan di sini.
            Sapawi memberitahu BN akan terus melaksanakan segala perancangan program pembangunan yang direncanakan untuk rakyat.
            Katanya program pembangunan itu bukan sahaja akan memberi impak kepada pembangunan dan kemajuan di Sipitang tetapi turut memberi kesan positif kepada rakyat sendiri.
            “Rakyat akan terus menikmati kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran dengan sokongan yang diberikan,” katanya dan menambah apa yang dilakukan oleh BN semuanya mengutamakan rakyat.
            Menurutnya situasi itu berbeza dengan apa yang dilakukan oleh pembangkang, yang bukan sahaja menabur pelbagai pembohongan dan fitnah tetapi juga memperdayakan dan mengelirukan  rakyat untuk kepentingan diri sendiri dan hanya mahu menunaikan impian individu tertentu.
            Katanya rakyat perlu menolak pembangkang kerana perjuangan mereka ternyata dan begitu jelas bukan untuk rakyat.
            Sambil meminta agar rakyat terus memberikan sokongan kepada BN, Sapawi memberitahu kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat ketika ini adalah hasil perjuangan BN.
            “Semua ini akan musnah jika rakyat memilih pembangkang kerana pembangkang tidak pernah menitikberatkan soal rakyat sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri,” katanya lagi.

Share |