Monday, March 17, 2014
Teks ucapan perbahasan Datuk Sapawi Ahmad ke atas usul Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan sempena persidangan Parlimen, Mac 2014
Teks
ucapan perbahasan Datuk Sapawi Ahmad ke atas usul Titah DYMM Seri Paduka
Baginda Yang Di-Pertuan sempena persidangan Parlimen, Mac 2014
MUKADIMAH
Tuan Yang Dipertua,
1. Terima kasih daun keladi kerana
diberi peluang ini; awal Bismillah kata diungkap, dapat peluang awal berucap.
2. Saya tampil di sini, untuk turut
serta membahas, usul menjujung kasih ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang
Di-Pertuan Agong di atas titah Tuanku di Dewan yang mulia ini, sempena
perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-13 pada hari
Isnin yang lepas, bersamaan 10 Mac 2014.
3. Atas junjungan kasih itu, marilah
kita sekalian Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Yang Mulia ini, bersama-sama
bermuhasabah diri terhadap titah baginda untuk `menumpahkan taat
setia tidak berbelah-bahagi kepada negara serta memelihara, melindungi dan
mempertahankan Perlembagaan Persekutuan', dalam kita mengatur gerak
kaki, menghayun langkah perjalanan, untuk terus mara ke hadapan.
4. Jauh dari itu, semestinya kita
yang diangkat oleh rakyat ke tempat ini, sebagaimana dititahkan oleh Ke Bawah
DYMM supaya `melaksanakan tugas dengan jujur, amanah, penuh dedikasi dan
tanggungjawab.'
5. Izinkan saya bermula dengan
merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Perdana Menteri, atas keberhasilan Agenda
Transformasi Negara yang turut mendapat pujian daripada DYMM Yang di-Pertuan
Agong di dalam titah ucapan Seri Paduka.
6. Nyata jelas sekali Agenda
Transformasi Negara ini membawa banyak perubahan dalam dimensi kehidupan
rakyat, dari desa hingga ke kota, dari Perlis hingga ke Sabah.
7. Kedua, izinkan saya turut serta
merakamkan ucapan duka yang paling dalam, dan rasa simpati dari lubuk
hati yang sejati, kepada anggota keluarga penumpang serta anak kapal, pesawat
Boeing 777-200 Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing pada awal pagi
Sabtu lepas, bersamaan 8 Mac 2014.
8. Sesungguhnya, insiden itu bukan
saja diratapi oleh seluruh kerabat keluarga yang terlibat, tetapi juga melakari
sejarah hitam industri penerbangan negara kita.
9. Insiden mengerikan itu terus
menjadi misteri, justeru kita serahkan kepada pasukan penyiasat yang bijak
bistari untuk mencari realiti, janganlah ditambahkan sensasi, apatah lagi
dituangkan resipi kontroversi.
10. Kita mengharapkan agar
penyiasatan menyeluruh ke atas tragedi itu dapat menemukan iltizam bermakna
bagi perkongsian bersama di masa-masa mendatang.
MUHASABAH
TITAH DIRAJA
Tuan Yang Dipertua
11. Pelbagai inisiatif kerajaan
dihurai dalam titah ucapan diraja, menjadi pedoman kita menyuluh perjalanan.
Dari isu kecil jalanan di perdesaan, hingga kepada dasar kerajaan di Putrajaya;
dari harga barangan di kedai runcit hingga kepada GST yang bakal dilaksana ---
semuanya diperinci tanpa sembunyi, menerangi gelap pandangan yang memesongkan.
12. Dasar-dasar kerajaan cukup
terang diperjelaskan, lagi tuntas sifatnya, nescaya begitu senang dimengertikan
oleh siapapun, baik orang-orang kampung yang menguis rezeki siang dan malam,
mahupun para bintara peneraju pentadbiran kerajaan, baik kecil mahupun besar,
apatah lagi kepada para soldadu politik, seperti kita yang berada di
Dewan Yang Mulia ini, di sini pada hari ini.
13. Titah DYMM Seri Paduka Baginda
yang menzahirkan harapan supaya setiap wakil rakyat menunjukkan teladan yang
baik, dan menunjukkan sifat-sifat terpuji, mencernakan keinsafan kepada kita
semua, untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi keutamaan diri sendiri.
14. Dengan pernyataan ini, saya
berharap dan berdoa, semoga antara saya dan kita semua, akan terjalin kerjasama
yang penuh muhibbah dan silaturrahim, penuh tanggungjawab dan rasa disiplin,
mengapai matlamat dan cita-cita murni kerajaan ini.
15. Sesungguhnya, kita semua di
sini, baik pada pasukan kerajaan mahupun kumpulan pembangkang, bertanggungjawab
melaksanakan amanah, yang disandarkan kepada tiap-tiap seorang daripada kita,
mengikut pelbagai fungsi dan peranan masing-masing. Semoga dengan rantaian
kerjasama, dalam kamar keinsafan dan kesedaran yang sedemikian, kita dapat
mengangkat Malaysia ke mercu jaya yang diharapkan bersama.
Angin berputar ombak bersahut
Membujur lalu melintang patah
Usah lagi kelam-kelibut
Amanah bangsa dijulang megah
ISU
PEMBANGUNAN PENDIDIKAN
Tuan Yang Dipertua
16. Kami dari Sabah (dan juga
Sarawak) menguak dada, menyambut baik dengan rasa `gumbira',
tanpa prejudis dan prasangka, inisiatif murni kerajaan memperkasa dan
mengangkasa, pembangunan pendidikan negara, yang disusun rapi jalur-jalurnya,
menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).
17. Di dalam langkah perjalanan
menuju ke destinasi ini, kami dari Sabah dan Sarawak, nun jauh di seberang Laut
China Selatan, dua jam 40 minit penerbangan dari sini, yang lebih jauh
berbanding Medan, dan lebih mahal ongkosnya, sangat-sangat mengharap, agar PPPM
ini benar-benar dapat diterjemahkan dalam ertikata yang sebenar.
18. Sementara kami punya keyakinan
cukup tinggi akan pencapaiannya, namun tidak dapat disembunyikan juga sedikit
kekhuatiran dan kegusaran, apatah lagi jika difikir-fikirkan matlamat mencapai
status negara maju, menjelang tahun 2020, kini cuma berbaki sekitar enam tahun
lagi.
19. Untuk itu, sayugia saya
melontarkan persoalan-persoalan berikut untuk minta ditengok-tengok,
diulas-kupas, dan mencari pencerahan, supaya ia menjadi pedoman untuk kita
tangani bersama.
20. Pertama, berapakah jumlah sekolah
dikategorikan daif dan usang di Sabah dan Sarawak, dan secara khusus di kawasan
saya Sipitang?
21. Kedua, berapakah jumlah Sekolah
Berprestasi Tinggi (SBT) telah diwujudkan di Sabah dan Sarawak -- yang matlamat
utamanya adalah untuk mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik dan
menghasilkan murid-murid cemerlang?
22. Ketiga, sejauh mana perhatian
diberi kepada keperluan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Sabah dan Sarawak,
sebagai gedung melahirkan golongan bijakpandai, profesional dan teknorat, untuk
menyumbang kepada pembangunan negara kita?
23. Keempat, apakah tidak boleh
ditambahkan lagi kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak untuk
meluluskan peruntukan sehingga lebih RM5 juta, bagi mempercepatkan agenda
pembangunan dan pemerkasaan pendidikan di kedua-dua negeri kami.
24. Saya bangkitkan
empat persoalan ini lantaran perlunya kami melangkah cepat, mengejar fasa
pembangunan di Semenanjung yang sudah jauh ke hadapan, supaya kami tidak terus
tertinggal dalam putaran masa yang tidak pernah berhenti ini.
25. Saya katakan begini, jujur dari
hati yang paling dalam, kerana memikirkan betapa kami sudah jauh tertinggal
selama ini, semenjak berdekad-dekad yang lalu, sehinggakan pada suatu ketika,
Sabah dan Sarawak itu pernah ditanggapi sebagai tempat paling ditakuti untuk
didekati oleh siapa pun, termasuk oleh warga pendidik dari Semenanjung.
26. Sebagai sebahagian daripada
persekutuan Malaysia, malah Sabah dan Sarawak lebih besar saiznya berbanding
gabungan 10 negeri di Semenanjung, maka kami tidak mahu lagi dilihat "seperti
ikan kecil di kolam besar" --- padahal kolam ini besar tapi kami
masih menjadi ikan-ikan kecil.
Tuan Yang Dipertua
27. Sebagai justifikasinya, izinkan
saya bicara sedikit, berfikir di luar kotak, sebagai pencerahan minda,
moga-moga dapat memenuhi citarasa (cita dan rasa) seiring prinsip mendahulukan
keutamaan besar dari yang kecil.
28. Kepada persoalan pertama tadi,
sekolah daif dan usang, sebenarnya ia bukan rahsia lagi. Di tempat kami, ia
dipanggil `papan dinding, atap jing' (bermaksud diperbuat dari
kayu dengan beratapkan zink). Begitulah realiti pemandangan sekolah di negeri
kami, khususnya di luar bandar. Usahkan lagi bercerita mengenai jalur lebar,
elektrik atau makmal komputer. Malah di tempat saya sendiri, PPD Sipitang
sendiri masih berpejabat binaan kayu sejak puluhan tahun sudah. Bayangkan
kedaifan kami, pejamkan mata dan renungkan seketika keadaannya.
29. Jika ini dibiar berterusan, maka
kedaifan masyarakat berfikir juga akan berpanjangan. Jika ia masih berlaku pada
tahun 2020, kita jangan salahkan sesiapa, kerana puncanya bermula dari
kelalaian kita pada hari ini.
30. Kemudahan infrastruktur penting
diberi keutamaan bagi menentukan kejayaan PPPM, kerana ia menjadi motivasi
kepada murid, inspirasi kepada ibu bapa dan menjana dedikasi warga pendidik,
untuk memajukan diri serta mencipta sebuah kejayaan di masa depan.
31. Untuk itu, izinkan saya, di
Dewan Yang Mulia ini, menyampaikan salam, rasa sedih dan dukacita, murid-murid
dari dua sekolah terpencil, iaitu SK Kiulu, Tuaran (dalam Parlimen Tuaran) dan
SK Gadong di Lumadan (dalam Parlimen Sipitang) yang mana blok bangunan
menempatkan bilik darjah mereka, yang diperbuat daripada papan, musnah dalam
dua kebakaran yang berlaku selang dua jam, pada tengah hari 3 Mac 2014 lepas.
32. Ketika saya berucap ini pun
(jika berbahas sebelah pagi), murid-murid di kedua-dua sekolah
berkenaan sedang menekuni pembelajaran mereka, dalam kelas-kelas sementara yang
dibina secara gotong-royong.
33. Kejadian kebakaran tersebut
adalah pantulan realiti kedaifan sekolah papan di luar bandar. Cukuplah tragedi
yang menimpa SK Kiulu dan SK Gadong, jangan lagi ia berulang pada waktu yang
lain dan di tempat yang lain.
34. Kepada persoalan kedua, Sekolah
Berprestasi Tinggi (SBT) memang gah dan menjadi impian semua. Namun, adakah
prestasinya diukur dari sudut kewibawaan pentadbiran atau bangunan yang indah
semata-mata?
35. Umum mengetahui SBT ditakrifkan
sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta
menyerlah dalam semua aspek pendidikan.
36. Oleh kerana bilangan SBT ini
tidak begitu banyak, saya kira, bolehkah disenaraikan nama-nama sekolah
menengah yang dipilih sebagai SBT di Sabah dan Sarawak, kerana ia penting
sebagai inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan
ke tahap yang lebih tinggi melalui penandaarasan serta bimbingan dan jaringan,
menuju kecemerlangan dunia pendidikan.
37. Kepada persoalan ketiga, kita
merasakan pentingnya pihak kementerian meneliti keadaan dan keperluan semua
Sekolah Berasrama Penuh (SBP), khususnya di Sabah dan Sarawak, bagi menentukan
ia cemerlang dari segi tempat, prasarana dan prestasi. Kita tidak mahu
berkompromi dalam soal keselamatan, kerana ia harus diletakkan sebagai
keutamaan, tanpa mengabaikan soal pencapaian akademiknya.
38. Saya ingin menarik perhatian
Sekolah Berasrama Penuh pertama di Sabah, yang kini dikenali Sekolah Menengah
Sains Sabah yang dibina pada 1984 dan kini sudah berusia 30 tahun, yang mana
keadaan fizikalnya perlu diberi perhatian.
39. Kita difahamkan bahawa keadaan
bangunannya dikatakan tidak selamat, hasil pemeriksaan pihak berkuasa tempatan,
dan perlu diberi perhatian segera, sebelum sebarang kejadian tidak diingini
berlaku, yang dikhuatiri boleh menjejaskan pembelajaran anak-anak bijak bistari
yang menuntut di sana.
40. Kepada persoalan keempat dan
terakhir, pertamanya kita menghargai penurunan kuasa kepada Pengarah Pelajaran
Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membuat kelulusan peruntukan sehingga RM5 juta
bagi projek-projek baik pulih dan naik taraf kemudahan pendidikan di kedua-dua
negeri ini.
41. Namun, mengambil kira keadaan
keluasan negeri kami serta keadaan geografi dan topografi muka bumi Borneo,
dirasakan kedua-dua negeri ini wajar diberi kuasa yang lebih `istimewa'
dan keutamaan untuk membuat kelulusan segera sehingga lebih RM5 juta, seiring
dasar pendidikan negara, dengan berpaksi semangat gagasan 1Malaysia.
42. Seperti analogi saya mengenai `ikan
kecil di kolam besar', kawasan kami besar-besar belaka. Keluasan kawasan
Parlimen Sipitang yang saya wakili, dan Parlimen Kinabatangan yang diwakili
oleh sahabat saya di hujung sana, masing-masing jauh lebih besar berbanding
Melaka atau Perlis.
43. Malahan, perjalanan dari sebuah
tempat di kawasan saya, yang disebut Kampung Maraba hingga ke sebuah lokasi
lain dikenali Long Pasia, perjalanannya mengambil masa lebih jam. Bayangkan
jaraknya, jika kita samakan masa perjalanan itu di Negeri Melaka atau Perlis --
mungkin boleh pusing-pusing keliling satu negeri!
Baju kuning lengkap berjubah
Naik basikal keliling kampung
Kalau kuasa dapat ditambah
Banyak masalah boleh ditampung
BENCANA
BANJIR
Tuan Yang Dipertua
44. Bencana banjir terburuk melanda
tiga daerah di Sabah baru-baru ini -- Keningau, Tenom dan Beaufort. Lebih 2,000
mangsa terjejas, ramai terkandas berhari-hari, kerja terbatas berminggu-minggu
-- itulah kesan musibah yang hadir tanpa diundang, tiba-tiba datang tanpa
diduga.
45. Sebahagian kampung di daerah
Beaufort itu adalah termasuk dalam kawasan Parlimen Sipitang. Saya tidak
terkecuali, turun bersampan meredah banjir, dari pagi hingga ke petang,
menghantar bantuan dan keperluan kepada mangsa-mangsa terjejas, dari kampung ke
kampung.
46. Hari ini, banjir sudah tiada
lagi. Airnya telah lama surut. Namun, kesannya masih dirasai penduduk. Bekas
selut melekat pada dinding rumah merakam sejarah hitam penduduk kampung. Begitu
pun, mereka tiada pilihan, kerana kehidupan harus diteruskan, walau apapun
keadaan, meskipun trauma kejadian kekal menghantui di setiap ketika.
47. Banyak pengalaman dan pengajaran
diperolehi ketika mendepani bencana itu, sebagaimana juga dialami di Pahang,
Kelantan dan Terengganu tidak lama dulu, dan ia harus dijadikan iktibar oleh
jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan, termasuklah di peringkat Persekutuan.
48. Antaranya dari segi penghantaran
dan pengagihan bantuan kecemasan, di mana ia perlu dilunaskan secara pantas dan
terselaras, untuk mengelak kelewatan, pertindihan dan birokrasi.
49. Pemimpin masyarakat setempat,
sebagai orang paling dekat dengan akar-umbi, harus dijadikan rujukan, kerana
mereka lebih memahami dan mengerti akan denyut nadi dan naluri orang-orang
kampung di kawasan yang diwakili.
50. Dalam konteks banjir yang
melanda tiga daerah di Sabah baru-baru ini, ia dikaitkan dengan aliran
Sungai Padas, yang berliku-liku merentasi lembah dan hutan dari Tenom hingga ke
Beaufort, justeru barangkali sudah tiba masanya bagi kerajaan memikirkan jalan
penyelesaian jangka panjang secara berkekalan, untuk mengelak berulang kembali
bencana tersebut yang sungguh memeritkan.
PENGHARGAAN
DAN HARAPAN
Tuan Yang Dipertua
51. Di kesempatan ruang ini, saya
merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan meluluskan
projek IPD Sipitang yang baharu, yang saya sering ketengahkan di persidangan
Dewan Yang Mulia ini, di mana kerja-kerja awal projek tersebut kini sudah pun
bermula.
52. Sesungguhnya, projek tersebut
amat dinanti-nantikan oleh penduduk bagi memastikan jaminan tahap keselamatan,
dengan mengambil kira kedudukan Sipitang sebagai pintu masuk pelancong dan
pengunjung dari negara jiran Brunei Darussalam dan Indonesia, selain dari
negeri tetangga kami, Sarawak Bumi Kenyalang.
53. Satu hal lagi, yang ingin saya
bangkitkan di sini, untuk mohon dipercepatkan, ialah pelaksanaan projek naik
taraf Lebuh Raya Pan-Borneo, merentasi kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak,
daripada cuma dua lorong sekarang, kepada empat lorong, iaitu dua lorong
sehala.
54. Bagi saya, sebagai pengguna
lebuh raya berkenaan dan pemimpin di kawasan terbabit, keperluan menaik taraf
jalan tersebut kini semakin mendesak.
55. Pertambahan jumlah kenderaan,
peningkatan aliran trafik dan kepesatan pembangunan di sepanjang laluan,
khususnya antara Sipitang dan Kota Kinabalu, adalah faktor utama yang menuntut
pertimbangan segera.
56. Saya cukup yakin lagi optimis,
Yang Berhormat Menteri dan Timbalan Menteri Kerjaraya memahami keperluan ini
kerana mengerti situasi geografi bumi Borneo.
PENUTUP
Tuan Yang Dipertua
57. Mewakili rakan-rakan Ahli Yang
Berhormat dari Sabah dan Sarawak, kami mengharap mendapat perhatian wajar dan
setimpal, terhadap perkara-perkara yang diketengahkan.
58. Sebagai `fixed deposit'
Barisan Nasional, kami dari Sabah dan Sarawak tentu saja mengharap kebenaran
pepatah Melayu "Ada ubi ada batas, ada budi ada balas”. Kami
tidaklah meminta lebih-lebih, tapi janganlah pula diberi kurang-kurang.
Dengarilah setiap suara kami kerana itulah harapan rakyat kami. Kita tidak mahu
rakyat dimanipulasi pembangkang.
59. Tidak dinafikan, ramai `pembangkang
berniaga sate' (sekarang ini sate Kajang paling popular). Pembangkang
berniaga sate -- maksudnya, ada tukang cucuk, ada tukang kipas --
itulah tindak-tanduk mereka apabila menagih simpati.
60. Di hadapan kita, begitu banyak
cabaran menanti dalam perjalanan menuju Wawasan 2020. Hamparan cabaran saujana
mata memandang ini, yang diiringi harapan setinggi Kinabalu, menuntut
pengemblengan usaha semua pihak, dari atas turun ke bawah, tanpa ada seorang
pun tertinggal, demi untuk mencapai garis penanda aras yang telah ditetapkan,
dari KPI hingga NKRA, kerana itulah cita-cita dan harapan Perdana Menteri kita,
YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Sekian, saya mohon menyokong!