Monday, March 17, 2014
INSIDEN MH370: SAPAWI HARAP SEMUA PIHAK JANGAN TAMBAHKAN SPEKULASI
INSIDEN MH370: SAPAWI
HARAP SEMUA PIHAK JANGAN TAMBAHKAN SPEKULASI
KOTA KINABALU:
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad meminta semua pihak tidak
menambahkan sensasi dengan menyebarkan pelbagai spekulasi terhadap cerita di
sebalik insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Ketika berucap membahas
ke atas titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong sempena perasmian pembukaan
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, kelmarin,
Sapawi berkata pihak berkuasa sewajarnya diberi masa dan ruang bagi menjalankan
siasatan menyeluruh sementara gerakan mencari dan menyelamat (SAR) terus
diperhebatkan.
"Izinkan saya turut
serta merakamkan ucapan duka yang paling dalam, dan rasa simpati dari
lubuk hati yang sejati, kepada anggota keluarga penumpang serta anak kapal,
pesawat Boeing 777-200 Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing pada awal
pagi Sabtu lepas, bersamaan 8 Mac 2014.
"Sesungguhnya,
insiden itu bukan saja diratapi oleh seluruh kerabat keluarga yang terlibat,
tetapi juga melakari sejarah hitam industri penerbangan negara kita.
"Insiden mengerikan
itu terus menjadi misteri, justeru kita serahkan kepada pasukan penyiasat yang
bijak bistari untuk mencari realiti, janganlah ditambahkan sensasi, apatah lagi
dituangkan resipi kontroversi.
"Kita mengharapkan
agar penyiasatan menyeluruh ke atas tragedi itu dapat menemukan iltizam
bermakna bagi perkongsian bersama di masa-masa mendatang," katanya.
Dalam pada itu, Sapawi
turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, atas keberhasilan
Agenda Transformasi Negara yang turut mendapat pujian daripada Yang di-Pertuan
Agong di dalam titah ucapan Seri Paduka.
"Nyata jelas sekali
Agenda Transformasi Negara ini membawa banyak perubahan dalam dimensi kehidupan
rakyat, dari desa hingga ke kota, dari Perlis hingga ke Sabah," katanya.
Dalam ucapan
perbahasannya itu, Sapawi juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan
Persekutuan atas keprihatinan meluluskan projek Ibu Pejabat Polis (IPD)
Sipitang yang baharu yang mana kerja-kerja awal projek tersebut sudah bermula.
"Sesungguhnya,
projek tersebut amat dinanti-nantikan oleh penduduk bagi memastikan jaminan
tahap keselamatan, dengan mengambil kira kedudukan Sipitang sebagai pintu masuk
pelancong dan pengunjung dari negara jiran Brunei Darussalam dan Indonesia,
selain dari negeri tetangga kami, Sarawak Bumi Kenyalang," katanya.
Mengenai projek naik
taraf Lebuh Raya Pan-Borneo, beliau berharap ia dapat dipercepatkan bagi
keperluan pengguna yang semakin meningkat.
Beliau berkata pertambahan
jumlah kenderaan, peningkatan aliran trafik dan kepesatan pembangunan di
sepanjang laluan, khususnya antara Sipitang dan Kota Kinabalu, adalah faktor
utama yang menuntut pertimbangan segera.
Mengenai kejadian banjir
yang melanda Keningau, Tenom dan Beaufort baru-baru ini, Sapawi menyarankan
supaya langkah penyelesaian jangka panjang diusahakan jabatan dan agensi
kerajaan yang berkaitan.
Pada masa sama, beliau
berharap agar pengagihan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir diselaraskan
menerusi wakil-wakil rakyat bagi menjamin kelancarannya.
ENDS