Monday, March 17, 2014

BERI TUMPUAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DI SABAH DAN SARAWAK: SAPAWI

BERI TUMPUAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DI SABAH DAN SARAWAK: SAPAWI

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad meminta kerajaan memberi tumpuan terhadap agenda pembangunan pendidikan di Sabah dan Sarawak, seiring matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

Beliau berkata kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak menyambut baik inisiatif murni kerajaan memperkasa dan mengangkasa pembangunan pendidikan negara.

"Kami mengharapkan agar PPPM ini benar-benar dapat diterjemahkan dalam ertikata yang sebenar," katanya ketika berucap membahas ke atas titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong sempena perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau melontarkan empat persoalan untuk dberi perhatian dan ditangani ke arah mengangkat pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan.

"Pertama, berapakah jumlah sekolah dikategorikan daif dan usang di Sabah dan Sarawak, dan secara khusus di kawasan saya Sipitang?

"Kedua, berapakah jumlah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) telah diwujudkan di Sabah dan Sarawak -- yang matlamat utamanya adalah untuk mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik dan menghasilkan murid-murid cemerlang?

"Ketiga, sejauh mana perhatian diberi kepada keperluan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Sabah dan Sarawak, sebagai gedung melahirkan golongan bijakpandai, profesional dan teknorat, untuk menyumbang kepada pembangunan negara kita?

"Keempat, apakah tidak boleh ditambahkan lagi kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak untuk meluluskan peruntukan sehingga lebih RM5 juta, bagi mempercepatkan agenda pembangunan dan pemerkasaan pendidikan di kedua-dua negeri kami," katanya.

Sapawi berkata, beliau membangkitkan empat perkara itu memandangkan Sabah dan Sarawak masih terkebelakang fasa pembangunan pendidikannya berbanding di Semenanjung.

Beliau mengambil contoh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sipitang sendiri yang masih berpejabat dari bangunan binaan kayu sejak bertahun lamanya.

"Jika ini dibiar berterusan, maka kedaifan masyarakat berfikir juga akan berpanjangan. Jika ia masih berlaku pada tahun 2020, kita jangan salahkan sesiapa, kerana puncanya bermula dari kelalaian kita pada hari ini.

"Kemudahan infrastruktur penting diberi keutamaan bagi menentukan kejayaan PPPM, kerana ia menjadi motivasi kepada murid, inspirasi kepada ibu bapa dan menjana dedikasi warga pendidik, untuk memajukan diri serta mencipta sebuah kejayaan di masa depan," katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai kejadian kebakaran dua sekolah terpencil, iaitu SK Kiulu, Tuaran (dalam Parlimen Tuaran) dan SK Gadong di Lumadan (dalam Parlimen Sipitang) yang berlaku selang dua jam, pada tengah hari 3 Mac 2014 lepas.

"Kejadian kebakaran tersebut adalah pantulan realiti kedaifan sekolah papan di luar bandar. Cukuplah tragedi yang menimpa SK Kiulu dan SK Gadong, jangan lagi ia berulang pada waktu yang lain dan di tempat yang lain," katanya.

Mengenai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), beliau meminta kementerian menyenaraikan nama sekolah menengah yang dipilih sebagai SBT di Sabah dan Sarawak, kerana ia penting sebagai inspirasi kepada sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan pendidikan.

Selain itu, beliau turut merujuk keadaan fizikal Sekolah Berasrama Penuh pertama di Sabah, yang kini dikenali Sekolah Menengah Sains Sabah yang dibina pada 1984 dan kini sudah berusia 30 tahun, yang perlu diberi perhatian. 

"Kita difahamkan bahawa keadaan bangunannya dikatakan tidak selamat, hasil pemeriksaan pihak berkuasa tempatan, dan perlu diberi perhatian segera, sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku, yang dikhuatiri boleh menjejaskan pembelajaran anak-anak bijak bistari yang menuntut di sana," katanya.

Mengenai persoalan keempat, Sapawi berkata pihaknya menghargai penurunan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membuat kelulusan peruntukan sehingga RM5 juta bagi projek-projek baik pulih dan naik taraf kemudahan pendidikan di kedua-dua negeri ini.

Namun, katanya, mengambil kira keadaan keluasan negeri Sabah dan Sarawak serta keadaan geografi dan topografi muka bumi Borneo, dirasakan kedua-dua negeri ini wajar diberi kuasa yang lebih `istimewa' dan keutamaan untuk membuat kelulusan segera sehingga lebih RM5 juta, seiring dasar pendidikan negara, dengan berpaksi semangat gagasan 1Malaysia.

ends



Share |