Thursday, February 20, 2014
Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Gadong, Beaufort.
BEAUFORT: Umat Islam
perlu meningkatkan penghayatan mereka terhadap al-Quran dalam kehidupan
seharian.
Ahli Parlimen
Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata penghayatan itu penting kerana kitab suci
itu merupakan panduan yang terbaik kepada umat Islam untuk mencapai
kecemerlangan dan kejayaan.
“Al-Quran bukan
hanya perlu dibaca tetapi perlu dihayati kerana kitab itu mengandungi ilmu yang
terbaik untuk kita jadikan panduan bagi mencapai kejayaan dan juga
kecemerlangan,” katanya pada Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Zon Gadong di dewan
mini Padas Damit kelmarin.
Hadir sama pada
majlis tersebut termasuklah Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Junli Yusuf,
Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah, Naib Presiden PBS
Pusat Ruslan Muharam, Pengerusi Induk MTQ Zon Gadong Abdul Adis Abus dan
Pengerusi Pelaksana MTQ Gadong Jokkrie Abdul Marudin.
Sapawi berkata
al-Quran juga adalah landasan terbaik kepada umat Islam bagi memperkukuhkan
persefahaman, perpaduan dan kerjasama yang sedia ada.
Katanya program
tilawah misalnya yang disertai oleh pelbagai peringkat umur membuka ruang
kepada umat Islam bagi memperkukuhkan persefahaman, perpaduan dan kerjasama
tersebut.
“Tilawah bukan
sahaja untuk membuka ruang kepada umat Islam bagi menghayati ayat-ayat suci
untuk difahami dan dihayati tetapi juga membuka ruang ke arah memperkukuhkan
persefahaman, perpaduan dan kerjasama yang sedia ada,” katanya dan menambah
program itu juga merupakan salah satu landasan ke arah mengembangkan syiar
Islam.
Sapawi yang juga
Exco Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata tilawah merupakan antara
program ilmu yang terbaik buat umat Islam.
“Banyak manfaat yang
berguna kita perolehi menerusi program seumpama ini dan kerana itulah kita
sentiasa mengalu-alukan agar program seumpama itu bukan sahaja akan terus
dilaksanakan tetapi juga akan diperkasa,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut
Rumaini Usop yang mewakili Zon Kecil Gadong diumumkan sebagai johan qari
manakala Janaini Tahir yang mewakili Zon Kecil Lupak pula johan bagi kategori
qariah.