Thursday, February 20, 2014

Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan RM100 serta perasmian surau Sekolah Kebangsaan Pekan

 ANUGERAH…Sapawi diperhatikan oleh Asli menyampaikan anugerah pelajar cemerlang UPSR 5A (2013) Anurizzati Ajie di majlis tersebut.
  TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Asli menerima cenderakenangan daripada adik Mohd Farhan Bryan Korn yang mewakili Malaysia ke Koreo mendapat tempat ke tiga pada pertandingan reka cipta.
 CERIA…Sapawi melawat surau Nur Imtiyaz di SK Pekan Sipitang hasil sumbangan orang ramai sejurus merasmikan di majlis tersebut.
 SOKONGAN…Sebahagian ibubapa yang hadir di majlis tersebut.


BANTUAN…Sapawi diperhatikan oleh Asli menyampaikan sumbangan bantuan RM100 kepada salah seorang bapa pelajar di majlis tersebut.

SIPITANG: Banjir yang melanda tidak wajar dijadikan sebagai alasan untuk pelajar mengabaikan pelajaran mereka.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi  Ahmad berkata terdapat beberapa sekolah mungkin ditutup akibat banjir.
“Penutupan sekolah itu tidak harus dijadikan sebagai alasan untuk pelajar mengabaikan pelajaran sebaliknya ia membuka ruang kepada pelajar bagi mengulangkaji pelajaran masing-masing,” katanya pada Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan RM100 serta perasmian surau Sekolah Kebangsaan Pekan di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Penolong Pegawai Pendidikan Sipitang Abdul Rahman Awang Besar, Guru Besar SK Pekan Sipitang Asli Moksin dan  Pengerusi PIBG SK Pekan Sipitang Rafee Mohd Salleh
Seramai 720 pelajar sekolah tersebut menerima bantuan awal persekolahan dan Sapawi berkata banjir yang melanda sememangnya tidak dapat dielakkan.
Katanya penutupan sekolah akibat banjir juga merupakan sesuatu yang perlu dilakukan demi keselamatan pelajar sendiri.
Bagaimanapun beliau berkata penutupan sekolah bukan bermakna bahawa pelajar juga harus menutup buku dan tidak membuat ulangkaji.
Menurutnya pelajar yang memiliki keazaman dan kesungguhan sudah tentu akan berusaha meningkatkan pencapaian pelajaran mereka.
“Pelajar yang mahu berjaya tentu akan senantiasa membuat ulangkaji dalam apa juga keadaan dan semangat inilah yang harus ada pada semua pelajar,” katanya lagi.
Sapawi juga meminta agar ibu bapa turut memberikan perhatian terhadap anak-anak mereka.
Katanya masa yang terluang perlu diisi dengan sebaik-baiknya dan ibu bapa bukan sahaja perlu memastikan anak mereka mengulangkaji tetapi juga mempastikan keselamatan mereka.
Menurutnya keselamatan anak-anak harus tidak diabaikan dan ia juga harus tidak dipandang mudah.
“Kejadian yang berlaku di Kampung Lubak Beaufort memang menyedihkan dan saya berharap kejadian seumpama itu tidak akan berulang,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak yang lemas tersebut.


Share |