Wednesday, January 29, 2014

Lawatan Hakisan Tebing Di Kg Kawang Tali Air, Sindumin.


PRIHATIN…Sapawi bersama Latip (empat dari kanan) dan Jaini (kanan) sedang meninjau hakisan tebing yang melanda rumah Ahad (tengah)
SIPITANG: Paras air yang naik dan mengakibatkan beberapa buah kampung dilanda banjir di sini turut memberi kesan kepada dua buah rumah di Kampung Kawang Tali Air dekat sini kelmarin.

Kedua buah rumah itu yang dibina di tebing Sungai Mengalong hampir roboh akibat hakisan yang berlaku.

Keadaan rumah yang hampir roboh itu tentunya mengancam keselamatan bagi penghuninya dan itulah kebimbangan yang diluahkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad ketika meninjau keadaan rumah itu di kampung tersebut.

Sapawi ditemani oleh Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat dan Ketua UMNO Zon Pantai Jaini Puasa meminta agar salah seorang penghuni rumah tersebut Ahad Mohd Hamit agar meninggalkan rumah tersebut dan membina rumah baru di tapak yang lebih selamat.

“Kita berharap mereka akan berpindah kerana rumah tersebut boleh roboh bila-bila masa akibat hakisan yang berlaku,” katanya.

Menurutnya bertindak lebih awal adalah lebih baik berbanding mengambil tindakan sesudah kejadian yang tidak diingini berlaku.

Katanya ketika ini tumpuan lebih kepada soal keselamatan dan cara yang terbaik ialah berpindah atau membina rumah baru di tapak yang lebih selamat.

Ahad, 57 tinggal bersama empat keluarga sejak 20 tahun lalu dan rasa bimbang itu turut disuarakan oleh Sapawi ketika bertemu dengan Ahad.

 
 

.
Share |