Sunday, January 12, 2014
Mesyuarat Dan Majlis Angkat Sumpah UMNO P.178 Sipitang
SIPITANG: Pendekatan yang lebih bijak dan berkesan perlu dilakukan
bagi memastikan rakyat terus yakin serta percaya dengan UMNO dan Barisan
Nasional.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata langkah itu merupakan
salah satu transformasi yang perlu dilaksanakan memandangkan UMNO dan BN pada
ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran yang getir.
“Kita perlu mengambil dan melaksanakan pendekatan itu kerana persiapan
menghdapi pilihan raya akan datang harus bermula daripada sekarang seperti yang
dinyatakan oleh pemimpin parti,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan
mesyuarat UMNO Bahagian Sipitang yang
pertama sejak pemilihan lalu di sini kelmarin.
Beliau berkata keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN perlu
sentiasa disegarbugarkan “agar keyakinan dan kepercayaan rakyat terus kuat dan
menebal.”
Hadir sama pada mesyuarat itu termasuklah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sipitang
Datuk Kamarlin Ombi, Naib Ketua UMNO Bahagian Datuk Ahmad Bujang, Ketua Wanita
UMNO Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Ketua Pemuda UMNO Sipitang Yamani Hafez
Musa dan Ketua Puteri UMNO Sipitang Suzie Hamat serta barisan kepimpinan UMNO bahagian
Sipitang.
Mengenai mesyuarat itu Sapawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Sipitang berkata
adalah penting bagi setiap anggota UMNO mendekati akar umbi.
Menurutnya bukan sekadar untuk menyelami denyut nadi rakyat tetapi membawa
masalah rakyat kepada pengetahuan pemimpin atasan agar tindakan segera dapat
dilakukan.
Katanya anggota parti pada semua peringkat juga harus tidak mudah melenting
atau melatah sebaliknya melayan sebarang kritikan dengan berhemah.
“Kadang-kala kritikan itu datang daripada mereka yang keliru dan tugas kita
pula ialah memberikan penerangan dan penjelasan yang sebenar,” katanya dan
menambah UMNO bahagian Sipitang juga telah sebulat suara untuk terus memberikan
sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dan timbalannya serta kepimpinan
negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman.
Pada mesyuarat tersebut Alidin Mohamad dan Ir. Mustapha Kassim masing-masing dikekalkan
sebagai bendahari dan Setiausaha UMNO Sipitang manakala Matbali Musah pula
dipilih sebagai ketua penerangan bahagian tersebut.
a