Monday, January 27, 2014

Lawatan Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Suasa Beaufort


 PRIHATIN…Sapawi diperhatikan oleh Pairin dan Said sedang menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Suasa.
 SUMBANGAN…Pairin diperhatikan oleh Sapawi dan Said sedang menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir di majlis tersebut.

CERIA…Pairin bersama Sapawi dan Said sedang beramah-mesra dengan sebahagian mangsa banjir di kampung tersebut
BEAUFORT: `Utamakan keselamatan dan jaga kesihatan.’

Nasihat itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad kepada penduduk kampung yang terlibat dengan banjir.

“Usaha memastikan keselamatan penduduk yang terlibat dengan banjir sememangnya dilakukan oleh pihak berkuasa keselamatan dan juga jawatankuasa bencana alam daerah tetapi soal keselamatan dan kesihatan harus juga menjadi keutamaan kepada penduduk sama ada yang terlibat mahupun yang tidak terlibat,” katanya kelmarin.

Sapawi berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kampung Suasa dekat sini.

Beliau mengiringi Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Pairin Kitingan yang meninjau kedaan banjir yang berlaku di Beufort. Turut hadir termasuklah Pegawai Daerah Beaufort Mohd Said Othman, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Junli Yusuf,  Ketua Bahagian PBS Sipitang Senator Datuk Jamilah Sulaiman dan Naib Presiden PBS Pusat Ruslan Muharam.

Seramai 214 daripada 66 keluarga dipindah ke pusat pemindahan di Kampung Suasa manakala satu lagi pusat pemindahan banjir iaitu di Dewan Pa Musa Beaufort di mana 370 orang daripada 160 keluarga dipindah ke pusat tersebut. Banjir yang melanda merupakan banjir kali kedua berlaku.

Sapawi berkata kerajaan menerusi pihak berkuasa keselamatan dan jawatankuasa bencana alam daerah sentiasa mengawasi dan memantau paras air sungai.

“Paras air sungai diawasi setip masa dan kita berharap penduduk yang diarahkan berpindah akan mematuhi arahan tersebut,” katanya.

Menurutnya arahan berpindah itu dibuat untuk memastikan keselamatan penduduk terbabit.

Beliau juga memberitahu selain keselamatan, penduduk juga harus mengutamakan soal kesihatan.

Katanya banjir yang melanda mampu meninggalkan pelbagai kesan negatif terutamanya boleh menghadirkan penyakit.

“Kita nasihatkan agar penduduk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan,” katanya lagi.

 
 
Share |