Yayasan Sabah relevan sepanjang
zaman
* Komited untuk terus membawa
lonjakan pembangunan untuk Sabah
KUMPULAN Yayasan Sabah yang banyak
menyumbang secara dinamik kepada negeri ini sepanjang 47 tahun penubuhannya,
terus relevan sebagai katalis pembangunan bagi membawa Sabah mencipta kemajuan
yang lebih hebat.
Ini dapat direalisasikan menerusi
pelbagai program yang dilaksanakan, terutama berkaitan pendidikan dan
pembangunan modal insan yang merupakan fokus serta keutamaan Yayasan Sabah
sejak awal penubuhannya dahulu.
Ditubuhkan di bawah Enakmen Yayasan
Sabah 1966 (No 8, 1966), Yayasan Sabah melatari landskap pembangunan negeri
Sabah berpaksi misi utama untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia
di Sabah, dengan visi yang dinamik, berjiwa rakyat, prihatin dan komited.
Peranan utamanya adalah untuk
menokok tambah usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam pembangunan negeri
secara menyeluruh, bersesuaian dengan Halatuju Kemajuan dan Pembangunan Negeri
serta Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang dirintis Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Musa Hj Aman.
Bagi menentukan ia terus relevan
pada dekad mendatang, Yayasan Sabah memperkenalkan Pelan Transformasi Kumpulan
Yayasan Sabah 2013-2023, seiring dengan agenda tranformasi yang dicetuskan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Demikian dinyatakan oleh Pengarah
Yayasan Sabah yang baru, Datuk Sapawi Ahmad, ketika menyampaikan ceramah pada
Seminar Belia Sempena Hari Malaysia ‘Peranan Belia dan Melakar Agenda
Pembangunan 50 Tahun Sabah' di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Program anjuran Angkatan Belia Islam
Sabah (ABIM) dengan Kerjasama Kumpulan Yayasan Sabah dan Kerajaan Negeri turut dihadiri
kira-kira 600 orang terdiri golongan belia dari seluruh negeri.
Seorang lagi ahli panel ialah
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah, Datuk Ismail Abdullah, manakala
pengantaranya Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Awang
Damit Awang Anak.
Dalam ceramah itu, Sapawi yang
dilantik Pengarah Yayasan Sabah pada julai lalu menghuraikan secara terperinci
usaha dan komitmen Yayasan Sabah membantu memperkasa pembangunan negeri ini
dalam semua aspek, lengkap dengan data dan perangkaan terkini.
Menurutnya, paling menonjol adalah
sumbangan Yayasan Sabah dalam bidang pendidikan yang mana ia berjaya melahirkan
ramai cendikiawan, pemimpin dan tokoh ternama.
Sehingga kini, Kumpulan Yayasan
Sabah membelanjakan RM498.7 juta untuk membantu lebih 50,000 pelajar anak-anak
Sabah menyambung pengajian menengah dan peringkat tinggi, malahan hingga ke
peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana dan PhD.
"Sebahagian daripada anak-anak
Sabah yang mendapat manfaat daripada program pendidikan tersebut kini menjadi
pentadbir, penjawat awam, golongan professional dan pemimpin yang sama-sama
pula menyumbang kepada pembangunan negeri ini.
"Tidak syak lagi, usaha yang
digarap Yayasan Sabah selama ini membawa pulangan dan kitaran hasil yang
menjadikan ia terus kekal relevan," katanya.
Sambil menarik perhatian mengenai
fakta penubuhan Yayasan Sabah yang bermula di Mesapol, Sipitang, Sapawi berazam
untuk terus mengangkat Yayasan Sabah ke persada dunia sebagai sebuah institusi
terunggul komited pada tanggungjawab sosial.
Beliau berkata Pelan Transformasi
Yayasan Sabah bakal meningkatkan lagi kehidupan rakyat di Sabah dan menaikkan
imej negeri ini ke arena antarabangasa menjadi sebuah negeri maju dan berdaya
saing.
Katanya, tranformasi itu berpaksi
kepada tiga teras utama, iaiatu Program Desa Cemerlang dan Berinovasi (PDCB),
Pusat Kraftangan Sabah (PKS) dan Pusat Konvensyen Antarabangasa Sabah (SICC).
Sapawi berkata Yayasan Sabah memberi
penekanan terhadap program pendidikan disebabkan ia menjadi tunjang kepada
segala dimensi pembangunan negara dan negeri.
Sehubungan itu, katanya, Kumpulan Yayasan Sabah telah menyediakan infrastruktur
dalam pelbagai aspek pendidikan dalam usaha meningkatkan kualiti tahap
pendidikan di kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, fokus ini lebih
tertumpu kepada penyediaan kemudahan infrastuktur yang menjadi kekangan
meneruskan pengajian dengan keterlibatan secara langsung dalam penubuhan
YS-ITM, Sembulan, YS-ITM, Menggatal,Kampus sementara cawangan UKM, Limuan
Kinarut, Wisma Yayasan Sabah Kaherah, Mesir, Asrama di Alexandria, Mesir dan
juga mempunyai lima asrama luar bandar di negeri ini.
Sapawi juga memberitahu Yayasan
Sabah juga telah menubuhkan 24 prasekolah yang beroperasi di seluruh Sabah di
mana 20 bangunan itu telah dibina (bangunan baru) dengan peruntukan Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran Malaysia 2011 bernilai
RM3.17 juta.
Menjurus usaha dalam pembangunan
pendidikan, Yayasan Sabah telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan
Institut Pembangunan Insan pada tahun 1990, kemudian ditukar Kolej Komuniti
pada 1994 dan menjadi Kolej Yayasan Sabah pada 2001.
Sapawi berkata sejajar dengan
perkembangan pesat pembangunan pendidikan negara, Kumpulan Yayasan Sabah terus
menyusun rancangan strategik jangka panjang.
Kini Kumpulan Yayasan Sabah melakar
kemajuan dalam pembangunan pendidikan menerusi penubuhan Kolej Universiti
Yayasan Sabah (KUYS) yang diluluskan pada Oktober tahun lalu.
Sapawi optimis bahawa apabila beroperasi kelak, KUYS bakal menjadi pusat
kecemerlangan ilmu di rantau Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei, Indonesia,
Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).
"Penubuhan KUYS kelak akan memberi peluang lebih luas kepada anak tempatan
melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi melalui kursus-kursus yang
ditawarkan dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Lanjutan melalui tiga
Fakuliti Pengurusan dan Teknologi, Fakulti Pelancongan dan Hospitaliti serta
Fakulti Media Digital dan Kadungan Kreatif.
"Dengan perkembangan ini, tidak syak lagi Kumpulan Yayasan Sabah dapat
membantu memperkasa pembangunan modal insan secara holistik, khususnya dalam
konteks pembelajaran sepanjang hayat selain menyedia peluang-peluang
pekerjaan," katanya.
Mengenai inisiatif pembinaan SICC,
Sapawi berkata ia bukan hanya memberi peluang pekerjaan dan perniagaan, tetapi
juga memberi faedah kepada sektor pelancongan domestik.
Ini kerana mereka bakal mendapat
pulangan lebih tinggi menerusi penganjuran pelbagai program, terutama MICE
(Meeting, Incentive, Conference, Exhibition/Entertainment).
"Kejayaan kerajaan negeri telah
terbukti menerusi penganjuran konvensyen bertaraf antarabangsa dengan kerjasama
Kumpulan Yayasan Sabah, antaranya pada tahun 2005 International CEOs
Confrerence dan pada 2007 International Women Executive Congress serta
International CEOs Conference pada tahun 2008 dengan kehadiran 78 tokoh
terkemuka dunia," katanya.
Sambil menyatakan Yayasan Sabah
telah mewujudkan enam pejabat Zon Yayasan Sabah bagi melaksanakan program dan
aktiviti, beliau berkata salah satu daripadanya ialah Program Desa Cemerlang
dan Berinovasi yang merupakan usaha pembangunan desa yang menyeluruh dan
seimbang dengan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan secara
holistik, melalui pemerkasaan komuniti desa.
"Program ini memberi tumpuan
bagi meningkatkan tahap pengertahuan, mempelbagaikan kemahiran, meningkatkan
pendapatan penduduk melalui kegiatan ekonomi serta mengukuhkan perpaduan
masyarakat desa," katanya.
Sapawi berkata dengan pembinaan
Pusat Kraftangan sabah (PKS), Keningau dirasmikan oleh Perdana Menteri pada Jun
2012 lalu dengan kos berjumlah RM30 juta, ia membawa lonjakan besar dalam
pembangunan modal insan berkemahiran kepada anak tempatan.
Peranan PKS lebih menjurus sebagai
pusat sehenti dan sehingga kini berjaya melatih 15,000 belia tempatan untuk
latihan dan pemasaran produk kraftangan bernilai tinggi, seiring matlamat
merealisasikan konsep satu daerah satu industri.
Sapawi optimis PKS mampu menjadi
pusat kecemerlangan kraftangan tempatan di negara ini dengan mengembangkan kraf
batik bermotifkan tempatan, melalui kerjasama pereka batik bertaraf dunia iaitu
Deanoor International yang menyediakan reka bentuk batik berkaualiti tinggi.
"Lebih penting, PKS juga akan
menjadi tempat membangun dan mengasah kemahiran keusahawanan di kalangan
masyarakat tempatan dengan harapan untuk meningkatkan kualiti kehidupan
masyarakat bumiputera untuk menerokai bidang perniagaan serta
memperkembangankan industry "Cottage" yang mampu menyediakan
produk-produk kraftangan yang boleh diguna pakai untuk persidangan di SICC
kelak," katanya.
Selain daripada program-program yang
dilaksanakan bagi meningkatkan tahap pendidikan dan hidup rakyat Sabah,
Kumpulan Yaysan Sabah turut terlibat dalam sektor-sektor komersi bagi menjana
pendapatan.
Fokus perniagaannya meliputi
perladangan/perhutanan, pelancongan dan pembangunan hartanah selain akitiviti
perikanan dan industri makanan, bioteknologi serta minyak dan gas.
Katanya, walaupun Kumpulan Yayasan
Sabah mempelbagaikan sektor yang diceburi, tanggungjawab dalam menjaga kahzanah
alam juga diutamakan dalam pemeliharaan dan pemuliharan alam sekitar untuk
generasi akan datang.
Beliau berkata Yayasan Sabah diperuntukkan
empat kawasan konservasi, antaranya ialah Lembah Danum, Lahad Datu (438 KM²),
Lembangan Maliau, Tawau (586.4 KM²), Kanyon Imbak, Sandakan (30 KM²) dan
Tumunong Hallu, Lahad Datu (Hutan Bakau).
Selaras dengan hala tuju kerajaan
negeri yang memberi tumpuan kepada sektor pelancongan, Kumpulan Yayasan Sabah
telah mengembangkan aktiviti perniagaan dalam industri pelancongan yang kini
mempunyai beberapa akitiviti peranginan yang mempu menarik pelancongan ke
negeri ini selaras dengan hala tuju kerajaan negeri bagi sektor pelancongan.
Katanya, Kumpulan Yayasan Sabah kini
memiliki beberapa pusat dan aktiviti peranginan, antaranya Shangri-La’s Tanjung
Aru Resort & Spa (Kota Kinabalu), Borneo Rainforest Lodge (BR) (Lembah Danum)
dan Usukan Cove Lodge (Kota Belud).
Sapawi merumuskan bahawa Yayasan
Sabah akan terus komited membantu memperkasa pembangunan negeri secara
konsisten, dengan fokus penekanan kepada bidang pendidikan sebagai tunjang
kepada segala bentuk dimensi pembangunan.
"Setelah hampir lima dekad
menyumbang bakti, Kumpulan Yayasan Sabah akan meneruskan legasi yang dirintis
oleh pelopor yang mengilhamkan penubuhannya di Mesapol, demi menjadikan Yayasan
Sabah terus unggul merentasi seantero dunia," katanya.- Oleh Dzul Mohd
Kassim.
a) FOKUS…Sapawi diperhatikan oleh Pengarah Unit Perancang
Ekonomi Sabah Datuk Ismail Abdullah (kiri) dan Timbalan SUT Kemenetrian Belia
dan Sukan Sabah Awang Damit Awang Anak sedang membicarakan fokus Kumpulan
Yayasan Sabah menokok tambah selari dengan pembangunan negeri Sabah di majlis
tersebut.