MESRA…Sapawi sedang melayan pertanyaan salah seorang pelajar tajaan Yayasan Sabah yang hadir di majlis tersebut.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dan Yayasan Sabah tetap meneruskan biasiswa kepada pelajarnya yang ingin meneruskan pembelajaran di dalam negeri ataupun kembali menyambung pengajian di Mesir.
Ketetapan ini dibuat setelah mengambil kira kepentingan pelajar yang memberi komitmen penuh meneruskan pengajian mereka, sama ada dalam bidang perubatan mahupun pengajian Islam.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad, berkata demikian pada majlis perjumpaan khas bersama pelajar-pelajar Sabah di Mesir di Auditorium Tun Mustapha, di sini kelmarin.
Sapawi berkata tahap keputusan pelajar Sabah yang menuntut di Mesir sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang.
Beliau juga berkata pelajar di bawah tajaan kerajaan negeri (meliputi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan Yayasan Sabah) akan menanggung kos penerbangan balik ke Mesir jika mereka memutuskan untuk meneruskan pengajian di sana.
Menurutnya, ketetapan yang diambil oleh Yayasan Sabah bagi pelajar-pelajar tahun 1 hingga 3 dikehendaki meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia, manakala bagi pelajar-pelajar tahun 4 hingga 6 dibenarkan balik ke Mesir bagi meneruskan pengajian mereka di universiti masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri dan Yayasan Sabah telah memberi kelonggaran dan alternatif kepada pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTA/IPTS Malaysia, tetapi tidak menghalang pelajar-pelajar yang memilih untuk meneruskan pengajian di Mesir.
Katanya, bagi pelajar yg ingin memilih untuk meneruskan pengajian mereka di Mesir, para pelajar terbabit dan ibubapa mereka dikehendaki menandatangi Akujanji.
"Akujanji para pelajar menanggung sendiri risiko semasa berada di Mesir, terutama dari aspek keselamatan mereka. Kita tidak mahu pelajar atau ibu bapa menyalahkan penaja atau kerajaan sekiranya kekacauan berlarutan di Mesir dan para pelajar berkenaan terperangkap di sana.
"Selain itu, ibu bapa juga perlu menanggung kos membawa pulang anak mereka sepenuhnya jika keadaan mendesak dan tidak terkawal di sana," katanya.
Sapawi menegaskan bahawa kerajaan dan penaja pada dasarnya bertanggungjawab kepada para pelajar mendapatkan pendidikan yang sempurna.