Sunday, September 29, 2013

Sapawi: Yakin Ahli Bijak dan Matang Pada Pemilihan Umno Ini.

BEAUFORT : Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Sapawi Ahmad yakin semua ahli parti matang dan bijak untuk memilih pemimpin dalam Pemilihan Umno 2013 pada 19 Oktober ini.
Katanya, calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan kali ini perlu menampilkan ciri-ciri pemimpin berjiwa rakyat disamping mempunyai jati diri yang kuat.
Jelas beliau, ahli parti bukan sahaja perlu bijak memilih calon yang boleh dijadikan tempat bergantung dan memperjuangkan parti tetapi yang lebih penting ialah mencari bakal pemimpin masa hadapan.
"Kita perlu melihat bahawa pemilihan kali ini adalah amat penting sekali bagi mencari bakal pemimpin masa hadapan yang berpotensi bagi memimpin dan memastikan Umno terus relevan untuk jangka masa yang panjang.
"Berdasarkan ramai calon yang datang menawarkan diri untuk bertanding sama ada dalam Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, sudah tentu pemilihan kali ini adalah peluang terbaik bagi melihat calon kepemimpinan masa depan Umno," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Kempen Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan Negara 2013 yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein di Dewan Pa' Musa, kelmarin.
Dalam pada itu, Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata, pemilihan Umno kali ini merupakan satu transformasi politik yang besar yang diterajui oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, proses pemilihan pucuk pimpinan Umno pada Oktober ini merupakan satu langkah meremajakan Umno seterusnya memastikannya terus kekal relevan dalam kancah politik tanah air sebagai tulang belakang kerajaan yang memerintah.
"Ternyata pemilihan pucuk pimpinan kali ini cukup menarik kerana dilihat sangat terbuka dan demokratik apabila nasib semua calon bakal ditentukan oleh sekitar 148,000 wakil berbanding sekitar 3,000 perwakilan sebelum ini.
"Maka apa yang dihasratkan pada pemilihan kali ini sebuah amalan demokrasi yang subur, matang, profesional dan berintegriti di samping meneroka jalan ke arah meremajakan Umno seperti yang diimpikan semua pihak, " katanya.

Share |