Sunday, September 29, 2013
Mesyuarat Agung Tahunan USIA Bahagian Sipitang.
RASMI…Sapawi
sedang berucap ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan USIA Sipitang.
SIPITANG: Gejala sosial di kalangan generasi muda yang beragama
Islam perlu diberikan perhatian serius.
Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad
berkata situasi itu amat membimbangkan pada ketika ini.
“Gejala sosial itu tidak boleh dibiarkan kerana ketika ini pelbagai cara
digunakan oleh musuh Islam bagi mempengaruhi generasi muda termasuklah
mempergunakan media maya,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan
USIA Bahagian Sipitang di dewan mini perpustakaan sini kelmarin.
Menurutnya Islam ketika ini berhadapan dengan cabaran getir apabila musuh
semakin galak dan semakin berani.
Beliau berkata musuh Islam mempergunakan media maya untuk mempengaruhi generasi
muda dan pada masa yang sama mengajak generasi muda Islam untuk melakukan
sesuatu yang nyata bertentangan dengan agama.
Katanya USIA yang merupakan pertubuhan suka rela yang telah lama bertapak di
negeri ini perlu memperkasakan lagi program dan aktivitinya.
“Kita juga perlu memberikan perhatian terhadap program dan aktiviti yang
mendekati generasi muda...program kesedaran dan penambahan ilmu penting untuk
golongan ini,” katanya,
Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata peranan dan tanggungjawab
setiap ahli USIA perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.
Katanya matlamat USIA perlu dilaksanakan dan tidak menjadikan pertubuhan itu
untuk kepentingan tertentu.
“Program dan aktiviti memerlukan sokongan ikhlas daripada seluruh anggota
USIA...kita mahu syiar Islam terus berkembang dan ia juga harus sampai kepada
generasi muda,” katanya lagi.
Sambil berharap agar USIA Sipitang terus aktif, beliau berkata permuafakatan
dan kerjasama setiap ahli juga penting.
Katanya kerjasama dan permuafakatan itu akan membolehkan program yang
direncanakan dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
USIA Sipitang mempunyai 21 cawangan dengan keahlian seramai 1,259 0rang.
a