Sunday, September 29, 2013

Sambutan 50 Tahun Sabah Dalam Malaysia di Kg. Suasa, Beaufort.

 TAHNIAH…Sapawi diperhatikan Pengerusi JKKK Kg. Suasa Ruslan Muharam menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang di majlis tersebut.
 CERIA…Sapawi diperhatikan oleh Pengerusi JKKK Kg. Suasa Ruslan Muharam sedang menyaksikan pertandingan tarik tali akhir di majlis tersebut.
 INTIM…Sapawi bersalaman dengan penduduk setempat yang menghadiri majlis tersebut.
DIHARGAI….Sapawi menerima cenderakenangan daripada Pengerusi JKKK Kg Suasa Ruslan Muharam sempena perasmian majlis tersebut.

BEAUFORT: Permuafakatan dan kerjasama membolehkan kemerdekaan dicapai di negeri ini menerusi penyertaan dalam membentuk Malaysia.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata jika semangat itu tiada di kalangan rakyat sudah tentu kemerdekaan itu tidak akan berlaku.
"Permuafakatan dan kerjasama inilah yang membolehkan kita menikmati kemerdekaan dan semangat inilah yang harus dan amat wajar kita serapkan kepada generasi muda dan generasi seterusnya," katanya ketika merasmikan program sambutan 50 tahun Sabah dalam Malaysia di Kampung Suasa dekat sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis itu termasuklah Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Junli Yusuf, Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah, Pemaju Mukim Suasa Billy Untol Pengerusi JKKK Kampung Suasa Ruslan Muharam dan Pengerusi Persatuan Belia Gabungan Beaufort  Said Awang Damit.
Sapawi berkata semangat kemerdekaan perlu disemai di kalangan generasi muda agar mereka mengerti dan memahami pentingnya kemerdekaan.
"Apa yang dinikmati ketika ini mungkin akan musnah jika semangat itu tidak disemai di kalangan generasi muda dan ini merupakan perkara yang harus kita bimbangkan," katanya.
Beliau berkata ketika ini terdapat anasir-anasir yang cuba mempengaruhi generasi muda untuk lupa akan pentingnya kemerdekaan.
Anasir itu, katanya menggunakan pelbagai pendekatan dan generasi mudalah yang menjadi sasaran.
Katanya generasi muda dipergunakan untuk menentang kerajaan dan dipengaruhi untuk melakukan perkara yang bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang tetapi juga perlembagaan negara.
"Kita tidak mahu perkara ini berlaku dan kita perlu sentiasa berwaspada dengan generasi muda perlu didekatkan dengan program yang mampu menyemai semangat kemerdekaan," katanya lagi.
Dalam pada itu Sapawi melajirkan rasa bangga dengan semangat yang diperlihatkan oleh penduduk Kampung Suasa yang memperlihatkan persefahaman dan perpaduan yang tinggi.
Katanya semangat seumpama itu bukan sahaja perlu untuk dipelihara tetapi juga perlu diwariskan kepada generasi muda kampung tersebut.
"Semangat seumpama ini wajar dicontohi oleh kampung yang lain dan saya yakin JKKK kampung ini akan mencapai kejayaan membanggakan pada satu masa nanti," katanya lagi.

a)      
b)      
c)      
d)    



Share |