Nasihat itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad pada ramah mesra dengan 29 bakal haji daripada Parlimen Sipitang di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pembantu Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi, Timbalan Pengarah Tabung Haji Sabah Musalimah Mustaffa, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Junli Yusuf dan Ketua Daerah Lumadan Ahmad Mumin.
Sapawi berkata bakal haji wajar memfokuskan kepada ibadah mengerjakan haji apabila berada di Mekah nanti.
“Usah terjebak atau terpengaruh dengan pihak tertentu dan fokus kepada niat sebenar iaitu mengerjakan ibadah haji,” katanya.
Beliau berkata bakal haji perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Tabung Haji dan juga nasihat yang diberikan ketika berada di kota suci itu.
Menurutnya umat Islam tidak perlu ragu dengan pengurusan Tabung Haji yang sememangnya telah diiktiraf sebagai salah satu agensi terbaik.
Katanya, Tabung Haji akan memastikan jemaah haji negara ini dapat mengerjakan ibadah haji dengan baik.
“Pengurusan yang baik itulah juga yang telah mengangkat nama negara namun ia sudah tentu tercemar dan kerana itulah kita mahu bakal haji khususnya daripada Parlimen Sipitang akan sentiasa mematuhi peraturan dan sentiasa mendengar nasihat Tabung Haji,” katanya dan menambah bakal haji juga perlu memastikan kesihatan mereka adalah baik ketika berada di tanah suci tersebut.
Beliau berkata perubahan cuaca mungkin menjejaskan kesihatan “tetapi kita berdoa mohan jemaah haji daripada Parlimen Sipitang akan sihat dan mampu melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.”
Pada pertemuan itu Sapawi turut menyampaikan sumbangan kepada bakal haji daripada Parlimen Sipitang.
Tabung haji juga telah memaklumkan bahawa seramai 23 ribu orang terpilih untuk menunaikan ibadah haji daripada Malaysia termasuk 675 daripada Sabah.
Jumlah ini memperlihatkan pengurangan 20 peratus daripada tahun sebelumnya atas arahan pihak berkuasa Arab Saudi akibat kerja-kerja pembesaran kota suci Mekah.