Monday, August 12, 2013

Rumah Terbuka Aidilfitri Umno/BN Sipitang Di Lumadan.

 DUIT RAYA…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Ahmad menyampaikan duit raya kepada salah seorang kanak-kanak yang hadir di majlis tersebut.
   SYUKUR…Sapawi bersama Syaf kepimpinan Umno Sipitang mengaminkan doa tanda kesyukuran menyambut lembaran yang di tiba di majlis tersebut.
 KENANGAN…Sapawi  bersama Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa merakamkan kenangan bersama barisan kepimpinan Umno dan jentera parti di majlis tersebut.
  CERIA…Sapawi merakamkan kenangan bersama kepimpinan dan penyokong kuat yang hadir di majlis tersebut.


KELUARGA…Sapawi bersama Isteri Datin Patimah Ali merakamkan bersama ahli keluarga yang hadir di majlis tersebut.

LUMADAN (Beaufort): Sikap hormat-menghormati antara kaum bukan sahaja perlu dikekalkan tetapi perlu dipastikan berterusan sehingga ke generasi akan datang.
            Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata sikap yang diwarisi sejak sekian lama itulah yang menjadi asas kepada kukuhnya perpaduan dan juga persefahaman.
            “Sikap hormat-menghormati adalah amalan murni rakyat Malaysia dan ini tidak harus dimusnahkan dengan hanya mengikut kehendak pihak tertentu yang cemburu dengan kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran yang kita nikmati,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri UMNO Sipitang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan dan Adun Sindumin Ahmad Bujang di sini kelmarin.
            Beliau memberitahu rakyat perlu sentiasa berhati-hati kerana ada pihak yang berusaha untuk memusnahkan kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati.
            Katanya antara usaha yang dilakukan oleh pihak tersebut termasuklah cuba untuk melaga-lagakan antara kaum di negeri ini.
            Menurutnya cara untuk melaga-lagakan antara kaum itu adalah dengan membangkitkan pelbagai isu yang berkaitan dengan agama.
            “Tetapi kita harus bersyukur kerana rakyat memiliki kepimpinan yang sentiasa memastikan perkara itu tidak berlaku...barisan kepimpinan yang bijak dan menangani apa juga isu yang cuba dibangkitkan oleh pihak tersebut,” katanya dan menambah kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak akan membiarkan isu yang dibangkitkan itu menular dan seterusnya mencetuskan perbalahan di kalangan rakyat.
            Beliau berkata kepimpinan BN tidak akan membiarkan rakyat terperangkap dan dipergunakan oleh pihak tersebut untuk menghancurkan kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati.
            Sapawi memberitahu rakyat pula harus percaya dan yakin kepada barisan kepimpinan BN dan tidak bertindak dengan cara membelakangkan peraturan dan undang-undang yang sedia ada.
            “Memang apa yang dilakukan oleh pihak tersebut amat menyakitkan dan mencetuskan kemarahan tetapi yakin dan percayalah kepimpinan BN tidak akan membiarkan pihak tersebut berbuat sesuka hati,” katanya lagi.
            Dalam pada itu Sapawi menyarankan agar rakyat pelbagai kaum menjadikan sambutan perayaan keagamaan yang diraikan bagi memperkukuhkan perpaduan dan persefahaman yang sedia ada.
            Katanya sambutan perayaan Aidil Fitri diraikan oleh umat Islam tetapi turut dimeriahkan oleh mereka yang bukan beragama Islam.
            Menurutnya keunikkan itulah yang membolehkan kesejahteraan,keharmonian dan kemakmuran dinikmati oleh rakyat.
            “Kita wajar bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang telah dinikmati dan semua itulah tidak akan dibiarkan musnah sebaliknya BN akan memastikan ianya berterusan dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya lagi.


Share |