Friday, July 12, 2013

Sapawi - PERCEPATKAN PENYIAPAN PROJEK LEBUH RAYA PAN-BORNEO

PERCEPATKAN PENYIAPAN PROJEK LEBUH RAYA PAN-BORNEO

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad menyarankan supaya projek lebuh raya Pan-Borneo, yang merentasi Sabah dan Sarawak dipercepatkan penyiapannya bagi menggerakkan momentum pembangunan ekonomi kedua-dua negeri berkenaan.
Katanya, perkara itu wajar diberi keutamaan memandangkan ia telah pun dimasukkan dalam manifesto akujanji Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini.
Mengikut perancangan, katanya, projek Pan-Borneo itu dikatakan hanya boleh menjadi realiti antara tahun 2013 hingga 2025 dengan anggaran kos sekitar RM20 bilion.
"Kita menyarankan agar penyiapannya dipercepatkan kerana ia boleh menjadi pemangkin pembangunan negeri, teristimewa bagi Sipitang sebagai pintu utama, yang kini membangun secara holistik sebagai hab industri minyak dan gas.
"Sebagai lokasi projek Projek Baja Urea Ammonia Sabah (SAMUR) bernilai RM4.77 bilion, berdekatan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang, daerah ini bakal mencipta nama sebagai kawasan pertumbuhan baru ekonomi Sabah, bersama-sama daerah Kimanis di mana projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SGOT) bernilai RM3 bilion dilaksanakan di situ," katanya ketika berucap membahas Titah Ucapan Diraja di persidangan Dewan Rakyat, kelmarin.
Sapawi berkata, projek Pan-Borneo ini merupakan suatu keperluan mendesak, yang harus disegerakan, bagi mengangkat ekonomi negeri dan negara.
"Perlu diingat bahawa laluan Pan-Borneo ini turut menjadi penghubung kepada rangkaian jajaran laluan ke Negara Brunei Darussalam, Kalimantan Indonesia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Pelaksanaan projek lebuh raya Pan-Borneo ini pastinya dapat membawa percikan ekonomi di sepanjang laluannya, termasuk sektor pelancongan, selain melonjakkan nilai pasaran hartanah, yang pasti memanfaatkan warga tempatan," katanya.
Menurutnya, unjuran pembangunan kawasan ini sudah dapat dirasakan, dengan keyakinan institusi perbankan mengadakan operasi di mana sehingga kini sekurang-kurangnya terdapat lapan institusi kewangan sudah mewujudkan pejabat cawangan mereka di kawasan ini.
"Saya yakin Menteri Kerjaraya dan Timbalan Menteri Kerjaraya, sebagai orang asal Sarawak dan Sabah, memahami hujah saya ini.
"Bukan bermaksud kita menagih kepentingan atau meminta keutamaan, jauh sekali bersentimen kenegerian sempit, namun saya percaya naluri kedua-dua mereka lebih mengerti mengenai keperluan topografi serta keadaan geografi di bumi Sabah dan Sarawak," katanya.
Selain itu, beliau turut merayu Kementerian Kerjaraya agar memberi perhatian terhadap keperluan menaik taraf jalan Sipitang-Mendulong-Meligan-Long Pasia.
Menurutnya, jalan tanah merah berlobang-lobang itu, yang memanjat bukit dan menuruni lembah, amat menyulitkan sekali penduduk kampung yang mengharunginya sejak berdekad lamanya.
"Atas nama kemerdekaan yang dikecapi, kita tidak harus membiarkan kepayahan mereka itu terus berlanjutan. Kerajaan tiada pilihan untuk tidak memberi keutamaan terhadap keperluan ini, kerana jalan inilah merupakan satu-satunya laluan penghubung penduduk kampung," katanya.
Dalam pada itu, Sapawi turut menyarankan supaya kerajaan terus memperhebatkan proses modenisasi pasukan pertahanan negara.
Ia bagi meningkatkan kewaspadaan dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman terorisme, konflik perbatasan, kekerasan horisontal mahupun penyeludupan barangan terlarang atau pun pemerdagangan manusia, susulan daripada insiden pencerobohan pengganas Sulu.
"Kita menghargai tindakan tegas dan pantas Kerajaan Pusat menangani pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu secara tuntas, yang disusuli penubuhan Esscom dan Esszone, menganjur dari Kudat di utara hingga ke Tawau di selatan pantai timur Sabah.
"Keberhasilan daripada kejayaan tersebut menyuntik keyakinan di hati rakyat, tentang keberuntungan di bawah lindungan pasukan keselamatan, yang kental semangat juang," katanya.
Beliau menegaskan semua agensi keselamatan meliputi tentera, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mampu digerak secara bersepadu dan `saling bahu-membahu' untuk mewujudkan sebuah horizon yang damai untuk seluruh kehidupan rakyat sejagat.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menimbang secara serius pembinaan pangkalan logistik APMM di Sabah, sebagai sokongan kepada pangkalan operasinya di negeri ini, yang dilengkapi aset-aset dan keperluan canggih seperti kapal ronda dan helikopter, bagi menjadikan Sabah pangkalan maritim yang disegani di rantau ini.-Oleh Dzul Mohd Kassim.

ends
Share |