pada Jun 2013
Terimakasih Tan Sri Yang Dipertua
SEBAGAI mukadimah ungkapan perbahasan, pada pagi/petang hari yang indah ini, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadirat Tuhan Yang Maha Kuasa, Allah SWT, kerana memberi nafas dan kesempatan, untuk sekali lagi hadir di Dewan Yang Mulia ini, pada penggal baharu, bersama-sama beberapa muka-muka baharu, yang pastinya juga membawa bersama mereka harapan-harapan baharu.
Pertamanya, saya merafak sembah dan menjunjung kasih, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, di atas Titah Ucapan Diraja ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13 pada hari Selasa yang lepas, bersamaan 25 Jun 2013.
Sesungguhnya, Titah Ucapan Diraja itu memberi pedoman yang menyuluhi perjalanan kita, mengharungi dan mendepani cabaran, dalam meniti perjalanan bangsa ke hadapan yang penuh dengan ketidaktentuan.
Seruan Seri Paduka, yang bertitah menyeru rakyat supaya membuang sifat-sifat yang membawa kepada perpecahan dan sebaliknya mencari titik persefahaman, untuk memupuk dan mengeratkan perpaduan, hendaknya menginsafkan sekalian rakyat, dari segenap bangsa, di seluruh tanah air -- dari Perlis hingga ke Sabah.
Saya yakin lagi percaya, amanat Seri Paduka Baginda itu, mendasari perjalanan hidup kita menggapai mercu kejayaan. Dengan kemudi bahtera pimpinan yang bijaksana lagi beriman, Insya-Allah, semestinya kita mampu mencipta lembaran baru dalam menyongsong masa depan bangsa dan negara, yang lebih sejahtera, adil dan maju.
Alhamdulillah, pada saat ini pun negara kita sedang meluncur laju, di atas landasan stabil, menuju status negara maju berpendapatan tinggi, yang telah ditentukan garis sasarannya pada tahun 2020, iaitu kurang tujuh tahun lagi dari sekarang.
Untuk itu, marilah kita sama-sama menghayati jawapan YAB Perdana Menteri, ketika menjawab pertanyaan di Dewan Yang Mulia ini pada hari ketiga persidangan, yang secara berterus-terang menyatakan bahawa penerimaan secara muktamad keputusan PRU-13 menjadi premis utama ke arah mencapai matlamat `perdamaian nasional'.
Sesungguhnya usaha mencapai `perdamaian nasional' ini menuntut sikap keterbukaan antara kita, dengan dada terbuka, hati ikhlas, untuk sedia bersatu, tidak mencipta persepsi negatif sehingga merobohkan asas yang telah dibangunkan. Memang mudah untuk merobek perpaduan yang sedia wujud, hanya dengan ungkapan dan kata-kata nista, tetapi untuk membinanya semula bukanlah sebegitu mudah.
Kita kesal lagi dukacita dengan sikap ketua pembangkang, sewaktu PRU-13 lepas, menjelajah ke seluruh pelosok bumi Sabah, menjerit dan bernyanyi-nyanyi di pentas-pentas terbuka, mengutuk dan mengkritik kerajaan dan seluruh pimpinan, kononnya semua yang dibuat kerajaan tidak baik, dan perbuatan itu telah menyemai benih-benih perpecahan dalam kemajmukan rakyat.
Tetapi rakyat nyata tetap bersama Barisan Nasional, barisan `tagap' yang tidak mudah digoyang-goyang. Kalau ketua pembangkang bebas bernyanyi lagu goyang-goyang, saya pulangkan lagu itu kepadanya di Dewan Yang Mulia ini:-
Tanya sama pokok
Kenapa pokok goyang
Kita jawap senang
Sabah tak goncang
Kalau pokok goyang
Mesti ada musang
BN sudah menang
Putih mata pembangkang
Tan Sri Yang Dipertua
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-13 ini memancarkan kilauan demokrasi membugar segar. Jajaran pohon-pohon demokrasi yang subur itu telah membentuk satu garisan yang cukup nyata, membahagikan angka dua ratus dua puluh dua (222) kerusi Parlimen, dengan 133 membarisi kerajaan dan 89 lagi di sebelah pembangkang.
Itulah manifestasi dan realiti ketelusan sistem pilihan raya umum ke-13 yang baru saja kita lepasi, yang mengangkat bersama-sama parti kerajaan dan pembangkang ke dalam Dewan Yang Mulia ini. Justeru yang demikian, tidak harus ada lagi rasa prejudis daripada `agas-agas politik' walau sedikit pun, dan walau dengan apa alasan sekali pun.
Kejayaan Barisan Nasional mempertahan Putrajaya, mengekalkan semua negeri kecuali Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, serta menguasai semula Kedah, adalah rentetan sejarah kemenangan rakyat, sejarah perjuangan rakyat, mendokongi gagasan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mencapai cita-cita luhur menjulang Malaysia ke persada dunia.
Kemenangan itu adalah lambang kesatuan hati merentasi semua kaum, yang berpartisipasi menerusi amalan demokrasi, menerima slogan 1Malaysia sebagai teras kemandirian dan daya saing bangsa Malaysia.
Ia gagasan terbesar dicetuskan YAB Datuk Seri Najib, yang mewarisi kepimpinan sejak lebih empat tahun yang lalu, dalam rentangan sejarah peralihan tugas Perdana Menteri silih berganti semenjak kita bebas dari penjajahan, dan kemudian mencipta kemerdekaan.
Maka itu di kesempatan ruang masa yang terhad ini, kita mau menitipkan harapan setulusnya, agar jangan ada lagi `juak-juak politik' cuba memanipulasi apa-apa situasi, untuk cuba mengubah persepsi, dengan mengatur demonstrasi, sebaliknya marilah kita sama-sama menumpukan konsentrasi membina perpaduan, untuk memupuk kesatuan, bagi mencipta kejayaan bersama, kejayaan untuk kita dan generasi selepas kita.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menggalas tugas mereka dengan penuh kredibiliti, lagi telus mengurus, mengikut sistem perundangan yang lurus. Biarpun dicemuh dan dikritik, dari kiri dan kanan, Suruhanjaya Pilihanraya sebagai sebuah entiti bebas sesungguhnya telah membuktikan `kebebasan' itu secara mutlak, tanpa berpihak atau berpartisan, dalam menegakkan hak dan kehendak suara rakyat.
Kalau Barisan Nasional boleh menerima hakikat tewasnya kami di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor, kenapa Pakatan Rakyat tidak dapat menerima kenyataan kecundangnya mereka untuk mara ke Putrajaya. Kalau Pakatan Rakyat boleh mengiktiraf jernihnya proses pilihan raya di ketiga-tiga negeri tersebut, kenapa mereka menganggap keruhnya pula amalan di negeri-negeri lain, sedang semuanya diurus dan diadili oleh institusi yang sama.
Peringatan saya kepada pembangkang ini, berpijaklah di bumi nyata. Jangan berfantasi lagi. Hentikanlah sandiwara. Cukuplah melakonkan drama-drama yang pincang iramanya.
Bagi saya, Tan Sri Yang Dipertua, sikap `double standard' (dengan izin) pembangkang ini amat mengecewakan, lagi menyedihkan, lantaran ia boleh membawa kepada masalah berganda atau `double trouble' (dengan izin) -- iaitu menyusahkan rakyat di dalam negara, serta menakutkan pelabur dan pelancong dari luar negara.
Pada hari pertama kita bersidang di Dewan Yang Mulia ini, pada saat para hulubalang pembangkang mengangkat sumpah, pengikut-pengikut fanatik mereka yang telah dirasuk itu telah baring bergelimpangan di atas jalan di luar sana, terpekik-terlolong semacam penghuni hutan, dan bertindak pula mengasari anggota pasukan keselamatan.
Begitulah barangkali padahnya jika mereka sudah termakan `lontong politik' pembangkang. Kalau di Semenanjung ini, `lontong' cukup sedap dan enak, tapi kami di Sabah `lontong' itu adalah racun berbisa yang paling digeruni dan ditakuti.
Bukan lontong sebarang lontong
Sambal asli ditumbuk lesung
Pembangkang memang kaki kelentong
Bunyi kuat macam tin kosong
Tan Sri Yang Dipertua
Kami dari Sabah, di seberang Laut China Selatan, bersama rakan-rakan dari Sarawak Bumi Kenyalang, menghargai dokongan dan perhatian Kerajaan Pusat dalam menggerakkan pembangunan negeri kami. Sesungguhnya, kami perlu mengatur langkah lebih cepat, untuk mengejar kemajuan yang dicapai di negeri-negeri di tanah Semenanjung ini.
Dengan adanya hubungan baik antara kerajaan-kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat, sudah tentu mudah bagi Barisan Nasional membawa misi besar, mentransformasi pembangunan bangsa, agar apabila tiba detik 2020 nanti, seluruh tanah air kita sama-sama dapat membangun ekonomi yang kuat dan berkeadilan, demokrasi yang stabil dan berkualitas, serta peradaban bangsa yang maju dan unggul.
Terpenting di persada politik, kami rasa tersanjung dengan penghormatan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri, kerana tidak mengabaikan suara orang Sabah dan Sarawak dalam PRU-13 yang lepas, lalu memberikan amanah dan tanggungjawab kepada ramai wakil-wakil kami membarisi Kabinet, memegang portfolio yang hebat-hebat belaka.
Semua ini menjadi nyata, dan bukan lagi retorik, kerana adanya hubungan erat antara pimpinan, yang saling mengerti dan memahami, keperluan antara satu dengan yang lain, tentang makna kebergantungan, dengan istilah `menang-menang' atau `win-win situation' (dengan izin).
Dalam lima tahun ke depan ini, tumpuan hendaknya perlu lebih dinamik lagi, bagi mewujudkan perdamaian, keadilan dan kemakmuran sejagat, sebagaimana tercantum dalam Perlembagaan Negara untuk seluruh bangsa Malaysia.
Tan Sri Yang Dipertua
Alhamdulillah, beberapa hal yang saya bawa sebelum ini, dalam persidangan Dewan Yang Mulia ini, telah mendapat perhatian dan tindakan. Yang terbesar ialah cadangan menaik taraf Ibu Pejabat Polis Daerah Sipitang, yang sudah pun mendapat kelulusan, dan kini sedang dalam proses pemilihan tender, manakala yang kedua ialah projek bekalan air luar bandar di kawasan Sipitang, yang juga sudah dilulus dan sedang dalam pelaksanaan.
Cuma satu perkara lagi, yang ingin saya ketengahkan di sini, ialah pelaksanaan projek lebuh raya Pan-Borneo, menghubungkan Sabah dengan Sarawak, merentasi kawasan Sipitang yang betul-betul terletak di garisan sempadan kedua-dua negeri.
Mengikut perancangan, projek Pan-Borneo ini dikatakan hanya boleh menjadi realiti antara tahun 2013 hingga 2025 dengan anggaran kos sekitar RM20 bilion. Tetapi oleh kerana ia sudah termaktub dalam manifesto akujanji Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 yang lepas, kita menyarankan agar penyiapannya dipercepatkan, bagi menggerakkan momentum pembangunan kedua-dua negeri, teristimewa bagi Sipitang sebagai pintu utama, yang kini membangun secara holistik sebagai hab industri minyak dan gas, bersama-sama daerah jiran kami di Kimanis.
Sebagai lokasi projek Projek Baja Urea Ammonia Sabah (SAMUR) bernilai RM4.77 bilion, berdekatan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang, daerah ini bakal mencipta nama sebagai kawasan pertumbuhan baru ekonomi Sabah, bersama-sama daerah Kimanis di mana projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SGOT) bernilai RM3 bilion dilaksanakan di situ.
Saya pernah menyuarakan di Dewan Yang Mulia ini tentang keperluan membina lebuh raya empat lorong, iaitu dua lorong sehala bagi laluan Sipitang-Kota Kinabalu. Justeru, projek Pan-Borneo yang saya utarakan ini akan menjadi jawapan dan penyelesaian terhadap keperluan ini.
Saya ingin tegaskan lagi di sini, bahawa projek Pan-Borneo ini merupakan suatu keperluan mendesak, yang harus disegerakan, bagi mengangkat ekonomi negeri dan negara.
Ketika ini, beberapa bahagian jalan sudah dibina lorong memotong, khususnya di tempat-tempat dianggap strategik, namun ia tidak mencukupi untuk menampung aliran trafik yang semakin meningkat, ekoran berkembangnya pembangunan di sepanjang pesisiran Pantai Barat Sabah, dari Kota Kinabalu merentasi Putatan-Papar-Kimanis-Bongawan-Membakut-Beaufort-Sipitang hingga ke sempadan Lawas di Sarawak. Perlu diingat bahawa laluan Pan-Borneo ini turut menjadi penghubung kepada rangkaian jajaran laluan ke Negara Brunei Darussalam, Kalimantan Indonesia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pelaksanaan projek lebuh raya Pan-Borneo ini pastinya dapat membawa percikan ekonomi di sepanjang laluannya, termasuk sektor pelancongan, selain melonjakkan nilai pasaran hartanah, yang pasti memanfaatkan warga tempatan. Kawasan Sipitang/Beaufort mempunyai beberapa destinasi pelancongan menarik, antaranya di Weston, Garama, Padas Damit dan Kuala Penyu.
Unjuran pembangunan kawasan ini sudah dapat dirasakan, dengan keyakinan institusi-institusi perbankan mengadakan operasi, di mana sehingga kini sekurang-kurangnya terdapat lapan institusi kewangan sudah mewujudkan pejabat cawangan mereka di kawasan ini.
Saya yakin YB Menteri Kerjaraya dan YB Timbalan Menteri Kerjaraya, sebagai orang asal Sarawak dan Sabah, memahami hujah saya ini. Bukan bermaksud kita menagih kepentingan atau meminta keutamaan, jauh sekali bersentimen kenegerian sempit, namun saya percaya naluri kedua-dua mereka lebih mengerti mengenai keperluan topografi serta keadaan geografi di bumi Sabah dan Sarawak.
Tan Sri Yang Dipertua
Di kesempatan ini, saya juga merayu kepada kementerian yang berkaitan agar memberi perhatian terhadap keperluan menaik taraf jalan Sipitang-Mendulong-Meligan-Long Pasia.
Jalan tanah merah berlobang-lobang ini, yang memanjat bukit-bukit dan menuruni lembah-lembah, amat menyulitkan sekali orang-orang kampung. Sudah berdekad-dekad sejak merdeka, mereka terpaksa berselimut debu habuk dan pasir pada musim kemarau, dan bermandi lumpur dan selut di musim tengkujuh -- itulah rutin kehidupan mereka sejak sekian lama.
Dan atas nama kemerdekaan yang dikecapi, kita tidak harus membiarkan kepayahan mereka itu terus berlanjutan.
Kerajaan tiada pilihan untuk tidak memberi keutamaan terhadap keperluan ini, kerana jalan inilah merupakan satu-satunya laluan penghubung penduduk kampung ke pekan Sipitang. Tidak harus ada istilah `lain kali la', tetapi sebaliknya kita mahu perhatian segera supaya kepayahan orang kampung ini dapat diselesaikan `once and for all' (dengan izin).
Sipitang mengharap untuk diberi perhatian, bukan sekadar kerana kita terhebat sebagai kubu kuat Barisan Nasional, (sejak dahulu, kini dan Insya-Allah, selamanya) tetapi juga kerana kawasan ini sentiasa hebat-hebat -- bayangkan muridnya bersekolah di Lubang Buaya (SK Lubang Buaya) dan bermain di atas padang berempah (di SK Padang Berampah) -- sekadar menyebut satu dua nama.
(Tapi barangkali tidak dapat menandingi Sarawak kerana mereka lagi hebat, punya kawasan Lubuk Antu. Sedangkan negeri kami, banyak kisahnya pula sebab ada banyak tempat-tempat yang unik, misalannya kita boleh pergi MENGGATAL (di Kota Kinabalu), MENUNGGANG atau MENUMBOK (di Kuala Penyu).
Tan Sri Yang Dipertua
Beralih kepada isu lebih besar, soal keselamatan dan kedaulatan negara. Kita menghargai tindakan tegas dan pantas Kerajaan Pusat menangani pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu secara tuntas, yang disusuli penubuhan Esscom dan Esszone, menganjur dari Kudat di utara hingga ke Tawau di selatan pantai timur Sabah.
Keberhasilan daripada kejayaan tersebut menyuntik keyakinan di hati rakyat, tentang keberuntungan di bawah lindungan pasukan keselamatan, yang kental semangat juang. Sementara kita mengakui bukan mudah mengawal wilayah territorial yang luas, dengan pantainya yang panjang, namun dengan kemampuan aset pertahanan yang dimiliki, kita mampu mempertahankan kedaulatan negara, dan tidak mungkin dirobek musuh durjana biar seinci pun.
Kesinambungan daripada kejayaan tersebut, kita mengharapkan agar proses modenisasi pasukan pertahanan kita -- baik darat, laut mahupun udara -- terus diperkasakan, bagi meningkatkan kewaspadaan dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman terorisme, konflik perbatasan, kekerasan horisontal mahupun penyeludupan barangan terlarang atau pun pemerdagangan manusia.
Saya percaya semua agensi keselamatan meliputi tentera, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mampu digerak secara bersepadu dan `saling bahu-membahu' untuk mewujudkan sebuah horizon yang damai untuk seluruh kehidupan rakyat sejagat.
Memetik pelajaran dari pengalaman kejadian pencerobohan tempoh hari, barangkali sudah tiba masanya bagi kerajaan memikirkan pembinaan pangkalan logistik APMM di Sabah, sebagai sokongan kepada pangkalan-pangkalan operasinya di negeri ini, yang dilengkapi aset-aset dan keperluan canggih seperti kapal ronda dan helikopter, bagi menjadikan Sabah pangkalan maritim yang disegani di rantau ini.
Tan Sri Yang Dipertua
Di penghujung ucapan ini, suka saya mengimbau semula Titah Ucapan Diraja, yang mengingatkan kita semua, Ahli-ahli Parlimen, supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjurus kepada kemusnahan negara kerana ia membawa implikasi amat besar terhadap masa depan tanah air.
Seri Paduka bertitah bahawa sebuah negara yang tersungkur akibat sesuatu masalah mungkin mengambil masa yang panjang untuk pulih.
Justeru, saya mengajak sekalian Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini, untuk sama-sama mentaati, menginsafi dan mengambil iktibar, seterusnya untuk menjunjung kasih Titah Ucapan Diraja itu demi masa depan sebuah tamadun bangsa yang disegani dan dihormati oleh dunia.
Seperti lirik lagu `Rumah Kita', ND Lala berpesan, menerusi rangkap pertamanya dengan berkata:
Mari kita cari titik persamaan,
Jangan dibesarkan titik perbezaan,
Di situ bermula perpaduan kita,
Di situ bermula perpecahan kita...
Akhirnya, bersesuaian dengan suasana ambang Bulan Suci Ramadhan beberapa hari lagi, saya ingin menyampaikan ucapan selamat menunaikan ibadah puasa kepada kaum muslimin dan muslimat sekalian. Semoga ibadah kita di Bulan Suci Ramadhan ini dapat meningkatkan keimanan, ketakwaan, dan kesolehan kita semua, dan semoga mendapatkan keredhaan Allah SWT, dengan menjadikan Bulan Ramadan ini sebagai bulan perpaduan dan perdamaian, untuk kita semua terus bersatu demi perjuangan agama, bangsa dan negara.
Seterusnya juga, saya menyampaikan ucapan awal `Selamat Menyambut Aidilfitri' kepada semua. Dan sebagai manusia biasa yang tidak luput dari kesalahan dan kekhilafan, maka dari lubuk hati yang paling dalam, saya menyampaikan permohonan Maaf Lahir dan Batin, Minal Aidzin Wal Faidzin.
Sekian Tan Sri Yang Dipertua, Saya Mohon Menyokong!