Friday, July 12, 2013

SAPAWI BIDAS PEMBANGKANG KERANA TERUS MEMPOLITIKKAN PROSES PILIHAN RAYA

SAPAWI BIDAS PEMBANGKANG KERANA TERUS MEMPOLITIKKAN PROSES PILIHAN RAYA

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad mengingatkan pembangkang supaya `berpijak di bumi nyata' dan tidak lagi terus-terusan mengelirukan rakyat dan mempolitikkan proses pilihan raya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Menurutnya, SPR telah mengendalikan PRU-13 dengan adil di mana Barisan Nasional (BN) memperolehi 133 kerusi Parlimen, manakala pembangkang menguasai 89 kerusi Parlimen.
Justeru, katanya, tidak harus ada lagi rasa prejudis daripada  `agas-agas politik' walau sedikit pun dan walau dengan apa alasan sekali pun.
"Jangan ada lagi `juak-juak politik' cuba memanipulasi apa-apa situasi, untuk cuba mengubah persepsi, dengan mengatur demonstrasi, sebaliknya marilah kita sama-sama menumpukan konsentrasi membina perpaduan, untuk memupuk kesatuan, bagi mencipta kejayaan bersama," katanya.
Berucap membahas Titah Ucapan Diraja di persidangan Dewan Rakyat, Sapawi berkata SPR telah menggalas tugas dengan penuh kredibiliti lagi telus mengikut sistem perundangan yang lurus.
Menurutnya, bBiarpun dicemuh dan dikritik, SPR sebagai sebuah entiti bebas sesungguhnya telah membuktikan `kebebasan' itu secara mutlak, tanpa berpihak atau berpartisan, dalam menegakkan hak dan kehendak suara rakyat.
"Kalau BN boleh menerima hakikat tewasnya kami di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor, kenapa Pakatan Rakyat tidak dapat menerima kenyataan kecundangnya mereka untuk mara ke Putrajaya.
"Kalau Pakatan Rakyat boleh mengiktiraf jernihnya proses pilihan raya di ketiga-tiga negeri tersebut, kenapa mereka menganggap keruhnya pula amalan di negeri-negeri lain, sedang semuanya diurus dan diadili oleh institusi yang sama.
"Peringatan saya kepada pembangkang ini, berpijaklah di bumi nyata. Jangan berfantasi lagi. Hentikanlah sandiwara. Cukuplah melakonkan drama-drama yang pincang iramanya," katanya.
Sapawi turut menyatakan rasa kesal dan dukacita dengan sikap ketua pembangkang, sewaktu PRU-13 lepas, menjelajah ke seluruh pelosok bumi Sabah, menjerit dan bernyanyi di pentas-pentas terbuka, mengutuk dan mengkritik kerajaan dan seluruh pimpinan.
Katanya, tuduhan pembangkang kononnya semua yang dibuat kerajaan tidak baik, telah menyemai benih-benih perpecahan dalam kemajmukan rakyat.
Tetapi, katanya, rakyat nyata tetap bersama BN dan pendirian mereka tidak mudah digoyang atau disanggah.
Sapawi turut `memulangkan' lagu ketua pembangkang, dengan senikatanya baru yang berbunyi:-

Tanya sama pokok
Kenapa pokok goyang
Kita jawap senang
Sabah tak goncang

Kalau pokok goyang
Mesti ada musang
BN sudah menang
Putih mata pembangkang

Sapawi turut mengkritik sikap talam dua muka pihak pembangkang yang nyata menyusahkan rakyat dalam negara serta menakutkan pelabur dan pelancong dari luar negara.
Katanya, pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat, ketika pemimpin pembangkang mengangkat sumpah, pengikut fanatik mereka yang telah dirasuk itu telah baring bergelimpangan di atas jalan melakukan demonstrasi sehingga mengasari anggota pasukan keselamatan.
Katanya, begitulah barangkali padahnya jika mereka sudah termakan `lontong politik' pembangkang.
"Kalau di Semenanjung ini, `lontong' cukup sedap dan enak, tapi kami di Sabah `lontong' itu adalah racun berbisa yang paling digeruni dan ditakuti," katanya, sambil membacakan serangkap pantun.-Oleh Dzul Mohd Kassim.

Bukan lontong sebarang lontong
Sambal asli ditumbuk lesung
Pembangkang memang kaki kelentong
Bunyi kuat macam tin kosong

ends
Share |