Wednesday, July 24, 2013
Sapawi-Kemenangan BN Pada PRK Kuala Besut Bukit Keyakinan Rakyat Kepada BN.
MERSA…Musa sedang
berbual dengan Sapawi bersama rombongan Umno Sabah ketika majlis berbuka puasa
dan menunaikan tarawih di Masjid Aljamhuriah di Kuala Besut baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Kemenangan calon
Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan pada pilihan raya kecil di Kuala Besut
Terengganu kelmarin memperlihatkan keyakinan rakyat kepada BN.
Ketua
Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata ia membuktikan bahawa rakyat
mahukan kesejahteraan,keharmonian dan juga kemakmuran.
"Kita sudah dapat merasakan bahawa rakyat akan
memberikan sokongan kepada BN ketika kita membantu kempen calon BN di Kuala
Besut lalu," katanya ketika diminta mengulas mengenai kemenangan calon BN
pada pilihan raya kecil tersebut di sini kelmarin.
Tengku Zaihan memperolehi 8,288 undi menewaskan calon
PAS, Azlan Yusof yang memperolehi 5,696 undi. Kemenangan dengan majoriti 2,592
undi menyaksikan BN mengekalkan kerusi Kuala Besut.
Sapawi berkata UMNO Sabah turut menghantar rombongannya
bagi membantu calon BN dan telah ditugaskan di Pusat Daerah Mengundi (PDM)
Seberang Barat.
Katanya pendekatan yang diambil oleh UMNO Sabah ternyata
membantu calon BN untuk mencatatkan kemenangan di PDM tersebut dengan majoriti
353 undi.
Calon BN memperolehi 805 undi manakala PAS hanya
memperolehi 452 undi "dan ia merupakan keputusan yang membanggakan dan
kami berpuas hati," kata Sapawi yang merupakan pengarah kempen UMNO Sabah
ke Kuala Besut.
Beliau memberitahu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah
Datuk Seri Musa Aman turut membantu kempen calon BN di PDM tersebut.
"Pendekatan yang kita lakukan ialah terus
mendampingi rakyat dan menerangkan segala usaha yang dilakukan oleh BN," katanya
lagi.
a