DIHARGAI...Musa menerima cenderakenangan daripada Sapawi di majlis tersebut.
MESRA...Musa ditemani oleh Sapawi beramah mesra dengan sebahagian mahasiswa mahasiswi yang hafir dimajlis tersebut.
KENANGAN...Musa dan Sapawi serta tetamu jemputan merakamkan kenangan bersama sebahagian mahasiswa mahasiswi yang hadir di majlis tersebut.
Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata adalah menjadi harapan kepada Yayasan Sabah untuk menyaksikan pelajar tajaan akan berupaya mencapai pendidikan yang terbaik.
"Kesungguhan dan keazaman amat penting dan saya yakin jika pelajar memiliki kesungguhan dan keazaman, ia pasti akan membuahkan hasil," katanya pada majlis berbuka puasa Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bersama mahasiswa institut pengajian tinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Exco Pendidikan Sabah Datuk Masidi Manjun, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramli Marhaban
Sapawi berkata Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri memberikan komitmen tinggi terhadap bidang pendidikan dan sentiasa berusaha untuk memastikan pelajar yang berpotensi akan terus dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Katanya pelbagai peluang telah disediakan oleh kerajaan dan ia tidak harus dipersia-siakan.
"Gunakan peluang tersebut untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pendidikan," katanya lagi.
Dalam pada itu Sapawi mengingatkan agar mahasiswa dan pelajar Yayasan Sabah tidak terpengaruh dengan pihak-pihak yang cuba membawa masuk anasir-anasir negatif.
Katanya mahasiswa negeri ini perlu bijak membuat keputusan dan tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan yang boleh menyebabkan masa depan mereka tergugat.
"Mahasiswa dan pelajar hari ini adalah aset penting kepada kerajaan bagi meneruskan kecemerlangan negeri pada masa akan datang," katanya lagi.-Oleh Dzul Mohd Kassim.