TAHNIAH…Musa diperhatikan oleh Sapawi dan Dr. Karim menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima anugerah cemerlang biasiswa Yayasan Sabah di majlis tersebut.
Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata golongan pelajar pada hari ini perlu berani meneroka bidang baru yang lebih mencabar.
“Yayasan Sabah secara berterusan akan membuka peluang menyediakan tajaan kepada pelajar untuk mengikuti pengajian dalam bidang-bidang yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran termasuklah mereka yang memilih bidang baru tersebut,” katanya pada majlis anugerah biasiswa cemerlang negeri Sabah siri ke-24 di sini kelmarin.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman merasmikan dan seterusnya menyampaikan anugerah biasiswa cemerlang itu kepada pelajar.
Sapawi memberitahu antara pengajian itu teramsuklah bidang perubatan, agroteknologi dan kejururawatan.
Beliau berkata Yayasan Sabah juga memperhebatkan lagi agenda pembangunan pendidikannya dan tidak hanya tertumpu kepada penajaan semata-mata.
Menurutnya Yayasan Sabah berbangga kerana dapat bersama-sama menyumbang ke arag pembangunan pendidikan di negeri ini.
“Kolej Yayasan Sabah misalnya telah menawarkan pelbagai kursus untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia seperti animasi dan juga perkimpalan.
“Kolej ini juga turut menawarkan latihan dalam bidang seni kraftangan dan pembuatan batik,” katanya dan menambah langkah itu adalah sejajar dengan usaha Yayasan Sabah dan Kerajaan Negeri dalam memaksimumkan keupayaan belia bagi menceburi diri dalam sektor yang berpotensi di negeri ini.
Sapawi juga memberitahu sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1990 sermai 392 orang tekah menikmati tajaan Yayasan Sabah dan daripada jumlah itu seramai 276 orang telahpun menamatkan pengajian dengan jayanya di institut pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Beliau berkata ramai pelajar tajaan Yayasan Sabah yang telah menamatkan pengajian telah berjaya memegang jawaran tinggi dan penting dalam sektor awam dan juga swasta.
“Kejayaan mereka itu turut membanggakan Yayasan Sabah,” katanya lagi.