Monday, May 6, 2013

Sapawi : Terima Kasih Warga P.178 Sipitang ' Tatap Bersama BN'

 TERIMA KASIH....Sapawi bersama Ahmad dan Kamarlin mengucapkan terima kasih kepada warga parlimen Sipitang 'Tatap BN'

SIPITANG: Datuk Sapawi Ahmad menyifatkan kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Sipitang adalah kemenangan rakyat di kawasan tersebut.
Beliau berkata rakyat khususnya pengundi memperlihatkan kebiajksanaan dengan mengekalkan Sipitang terus diwakili oleh Barisan Nasional (BN).
“Pada saya ia adalah kemenangan rakyat Sipitang dan rakyat memberikan keyakinan serta kepercayaan untuk saya terus melaksanakan amanah parti di mana aku janji BN perlu diutamakan,” katanya di sini kelmarin.
Selain Parlimen Sipitang, BN turut mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Lumadan dan juga Sindumin.
Sapawi menegaskan aku janji BN akan dilaksanakan seperti yang dinyatakan oleh pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kami akan melaksanakan aku janji itu dan BN sememangnya mengotakan apa yang dijanjikan,” katanya.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang mengekalkan dan memilih BN, Sapawi juga menghadiahkan kemenangan itu kepada seluruh jentera pilihan raya BN dan juga anggota parti komponen.
Katanya seluruh jentera dan anggota BN telah berusaha gigih bagi memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat.
“Kemenangan itu adalah juga hasil usaha seluruh jentera dan anggota BN...saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana mereka bukan sahaja setia kepada perjuangan parti tetapi tidak pernah berputus asa bagi memastikan keyakinan serta kepercayaan rakyat tidak tergugat,” katanya lagi.
Keputusan pilihan raya Ahad lepas menyaksikan Sapawi meraih 16, 377 undi dengan memperolehi majoriti 9469 undi.
Bagi DUN Lumadan, Datuk Kamarlin Ombi memperolehi 6, 338 undi dengan majoriti 3862 undi manakala Ahmad Bujang turut mengekalkan DUN Sindumin dengan meraih 8, 024 undi dan memperolehi majoriti 4323 undi.
Share |