SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan sumbangan kewangan kepada Pengerusi Masjid Kampung Gadong, Beaufort Haji Sarmali Tamin di majlis tersebut.
Monday, July 15, 2013
Majlis Berbuka Puasa & Penyampaian Sumbangan Masjid dan Surau Parlimen P.178 Sipitang.
SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan sumbangan kewangan kepada Pengerusi Masjid Kampung Gadong, Beaufort Haji Sarmali Tamin di majlis tersebut.
BEAUFORT: Keharmonian, kemakmuran
dan kesejahteraan yang dinikmati ketika ini perlu dipastikan berkembang selain
dipertahankan.
Inilah
antara tanggungjawab yang perlu dpikul oleh seluruh anggota parti pada semua
peringkat dan perlu dilaksanakan dengan amanah, kata Ketua Penerangan UMNO
Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.
Beliau berkata keputusan rakyat untuk mengekalkan Barisan
Nasional sebagai peneraju Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat adalah membuktikan
bahawa rakyat mahukan keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati
terus berkembang dan tidak dimusnahkan.
"Rakyat mahu agar keharmonian, kemakmuran dan
kesejahteraan terus dinikmati bukan sahaja pada hari ini tetapi pada masa akan
datang," katanya pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada
masjid dan surau dalam Parlimen Sipitang di Kolej Vokasional dekat sini
kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengerusi
Badan Dakwah Beaufort Mohd Said Othman,
Timbalan Ketua Umno Sipitang Datuk Kamarlin Ombi, Ketua Wanita Umno Sipitang
Datuk Surinam Sadikun dan Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa.
Sapawi memberitahu keputusan rakyat itu merupakan
tanggungjawab kepada semua anggota parti bagi melaksanakan dengan penuh amanah.
Katanya BN amat berterima kasih kepada rakyat kerana
membuat keputusan yang terbaik meskipun keputusan rakyat itu cuba
diputarbelitkan oleh pembangkang.
Menurutnya pembangkang tidak dapat menerima kenyataan
dengan keputusan rakyat dan mencari alasan dengan menyalahkan SPR berhubung
dengan keputusan rakyat itu.
"Memang itulah sikap pembangkang...mereka melihat
rakyat mudah untuk dipergunakan dan diperbodohkan dan alasan menyalahkan SPR
adalah juga cara mereka untuk mempergunakan dan memperbodohkan rakyat,"
katanya lagi.
Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang dan Ahli
Parlimen Sipitang turut melahirkan penghargaan kepada seluruh jentera parti
pada semua peringkat yang telah melaksanakan tanggungjawab yang diberikan
dengan amanah dan ikhlas.
Sehubungan dengan itu beliau melahirkan harapan agar kehadiran
Ramadan yang disambut dengan meraikan ibadah puasa akan mengeratkan dan
memperkukuhkan lagi silaturrahim antara anggota parti dengan rakyat.
"Ketika ini tanggungjawab yang perlu kita laksanakan
dengan ikhlas dan amanah ialah memastikan rakyat terus menikmati keharmonian,
kemakmuran dan kesejahteraan," katanya lagi.
Pada majlis tersebut sebanyak 44 masjid dan 59 surau
dalam Parlimen Sipitang menerima sumbangan di mana 33 masjid dan 35 surau
adalah dalam Dewan Undangan Negeri Lumadan.
Sapawi menyampaikan sumbangan RM500 untuk masjid dan
RM300 untuk surau manakala wakil rakyat Lumadan Datuk Kamarlin Ombi dan wakil
rakyat Sindumin Ahmad Bujang menyampaikan sumbangan RM300 untuk masjid dan
RM200 untuk surau dalam DUN Lumadan dan Sindumin.