Friday, April 19, 2013

Lancar Jentera PRU BN Dun Lumadan, Parlimen P.178 Sipitang.


 SEMANGAT…Sapawi bersama Kamarlin dan Ahmad dan penyokong BN melaungkan Tatap BN di majlis tersebut.
 GENERASI MUDA…Konvoi motosikal yang mengiringi calon-calon BN di majlis tersebut.
 MESRA…Sapawi dan Kamarlin bersalaman dengan penyokong-penyokong dan jentera PRU BN yang hadi di majlis tersebut.


BEAUFORT : `Ketepikan kepentingan peribadi dan utamakan perjuangkan parti untuk rakyat.’
            Nasihat itu dilontarkan oleh Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk  Sapawi Ahmad pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN DUN Lumadan di Kampung Gadong dekat sini kelmarin.
            “Kesetiaan terhadap perjuangan parti hendaklah diutamakan dan bukannya kepentingan peribadi…perjuangan BN adalah untuk rakyat,” katanya.
            Katanya, perpaduan dan sokongan pemimpin serta ahli akar umbi amat penting dalam menjayakan perancangan sesebuah parti.
Jelas beliau, kesatuan itu amat penting bagi mengukuhkan tiang-tiang parti kerana BN adalah parti untuk semua Bumiputera tanpa mengira suku dan agama.
"Dalam kita berpolitik, janganlah kita mengenepikan soal kesatuan kerana walaupun hanya berbekalkan semangat keutuhan tetapi sehingga ke peringkat akar umbi, kita mampu meraih kemenangan.
"Justeru, saya mahu memberi peringatan kepada pemimpin dan ahli parti agar tidak mengambil kesempatan dalam menimbulkan masalah yang remeh-temeh di kampung-kampung. Janganlah juga menjadi sebahagian daripada 'gunting dalam lipatan' kerana tanpa kita sedari perkara-perkara seumpama itu boleh merugikan diri sendiri.
"Walaupun ada diantara pemimpin dan ahli yang ada kaitan keluarga atau berkawan rapat dengan pihak lawan, hormatilah tindakan dia. Kita juga mempunyai pendirian yang tersendiri dalam soal politik. Soal hubungan kekeluargaan itu adalah soal yang berbeza dan ikatan itu juga perlu kekal sampai bila-bila, " katanya.
Tambahnya, agenda peribadi itu harus diketepikan bukan sekadar sementara malah buat selama-lamanya demi mengatur langkah kehadapan dengan menyemai semangat dan motivasi dalam meletakkan kepentingan parti sebagai tonggak negara.
Hadir sama Penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Kamarlin Haji Ombi; penyandang kerusi Adun Sindumin, Ahmad Bujang; Ketua Pemuda Umno Sipitang, Haji Yamani Hafez Musa; Ketua Pergerakan Puteri Umno Sipitang, Dayang Maimunah Sidek; Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Dun Sindumin, Senator Datuk Jamilah Sulaiman; Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Dun Lumadan, Haji Roslan Muharam; Ketua Bahagian GERAKAN Dun Lumadan, Robert Lee Kon Siong; Ketua Bahgian Upko Dun Sindumin, Goven Jublee Lasong dan Pengerusi MCA Sipitang, Su See Ting.
Sementara itu, selepas berucap merasmikan gerak kerja itu, Sapawi yang juga Penyandang kerusi Parlimen Sipitang berkata program pelancaran itu dilaksanakan bagi menyedarkan jentera parti selain mempersiapkan jentera di semua peringkat termasuklah di Dun Sindumin dan Lumadan menghadapi PRU-13 nanti.
"Kita mahu memberi dan menaikkan semangat mereka yang sekian lama terpendam ini dapat disemarakkan semula selain mengukuhkan kesatuan agar mereka terus bersatu padu.
"Kita memastikan persiapan kita ini benar-benar dapat dilaksanakan dalam menghadapi penamaan calon pada 20 april nanti," katanya.
Sapawi turut menyarankan setiap jentera BN yang dipilih bekerja lebih kuat dan gigih bagi membantu calon-calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan selain membantu pengundi-pengundi BN pada hari pembuangan undi nanti.


Share |