Monday, February 4, 2013
Sambutan Hari Keluarga Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, Suasa, Beaufort.
IKHLAS…Sapawi
diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan replika kunci kepada salah seorang pemilik
rumah yang terlibat dalam pembaikkan rumah di majlis tersebut.
BEAUFORT: Kerajaan telah mengadakan pelbagai bantuan dalam usaha
mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan.
Ahli Parlimen
Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kerajaan menerusi jabatan dan agensinya
sentiasa berusaha untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek termasuklah usaha
membuka peluang serta meningkatkan ekonomi mereka.
"Sehingga kini pelbagai peluang telah disediakan
untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat," katanya pada sambutan Hari
Keluarga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) peringkat Kampung Suasa dekat sini
kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan
Datuk Kamarlin Ombi, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Pemaju Mukim Lumadan
merangkap pengerusi penganjur Billeh Untol, Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk
Surinam Sadikun dan Ketua PBS Lumadan Roslan Muharam.
Beliau berkata antara peluang tersebut termasuklah skim
dan juga bantuan di mana ianya bertujuan untuk meningkatkan lagi sumber
pendapatan rakyat.
Katanya skim yang diperkenalkan oleh AIM adalah antara
bantuan yang diberikan oleh kerajaan untuk membantu rakyat keluar dari kepompong
kemiskinan.
Menurutnya skim berbentuk pinjaman itu juga bertujuan
untuk memberikan dorongan, galakan dan semangat kepada rakyat untuk berusaha
meningkatkan sumber ekonomi masing-masing.
"Kita mendengar rintihan rakyat yang antara lainnya
meluahkan keinginan untuk berniaga tetapi ketiadaan modal dan skim AIM
diwujudkan adalah untuk membantu menunaikan hasrat tersebut.
"Skim AIM bukan sekadar memberikan pinjaman tetapi
pada masa yang sama rakyat turut dibantu seperti diberikan motivasi, sokongan
dan juga dorongan," katanya.
Sapawi memberitahu meskipun fokus skim itu hanya untuk
perniagaan kecil-kecilan, namun ianya berupaya membantu meningkatkan ekonomi
keluarga.
Menurutnya jika skim itu dipergunakan dengan sebaik
mungkin, ianya berupaya memberikan pulangan yang terbaik dan seterusnya mampu
membawa rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan.