Tuesday, February 5, 2013
Markas Daerah Mengundi BN Zon Gadong, Beaufort.
MANTAP…Sapawi dan
Kamarlin diperhatikan oleh Surinam memakaikan Vest BN kepada Jafar Lukin salah
seorang jentera BN di majlis tersebut.
BEAUFORT: Anggota parti dinasihatkan agar tidak membenarkan
mana-mana pihak yang tidak berkaitan masuk ke markas masing-masing.
Ketua Penerangan
Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata markas yang dibuka perlu sentiasa diawasi
dan segala maklumat yang ada tidak akan dibawa keluar.
"Kita harus sentiasa berwaspada kerana kita tidak
mahu segala maklumat dan perancangan yang direncanakan diketahui oleh
pembangkang," katanya ketika ditemui selepas melawat markas daerah
mengundi Gadong dekat sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan
Ketua Umno Sipitang Datuk Kamarlin Ombi, Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk
Surinam Sadikun dan Ketua Markas Daerah Mengundi BN Gadong Maaruf Juslim.
Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata
amat membimbangkan jika maklumat itu diketahui oleh pembangkang kerana ianya
akan diputar belit.
Katanya apabila maklumat itu diputar belit sudah tentu
ianya akan mengelirukan rakyat "dan akhirnya rakyat dikelirukan oleh
pembangkang."
"Kita tidak mahu perkara itu berlaku kerana ketika ini pun
pembangkang sudah memutar belit pelbagai fakta dan menabur pembohongan kepada
rakyat," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap anggota markas
perlulah bersikap amanah dan tidak mengamalkan sikap `talam dua muka.'
Katanya dalam mendapatkan maklumat, pembangkang sudah
tentu mempergunakan pelbagai cara termasuklah mendapatkan anggota parti yang
bersikap `talam dua muka.'
Menurutnya anggota inilah yang akan diperguna dan
diperalat "dan anggota inilah yang harus kita awasi."
Dalam pada itu Sapawi melahirkan rasa bangga dan berpuas
hati dengan markas parti yang telah dibentuk di pusat daerah mengundi dalam
Parlimen Sipitang.
Katanya markas tersebut telah merangka pelbagai program
di mana fokus utama ialah mendekati dan mendengar denyutan nadi rakyat.
"Kita akan terus mendampingi rakyat, menyalurkan
fakta yang sebenar dan berusaha memastikan rakyat tidak dikelirukan oleh
pembangkang.
"Apa yang pasti semua markas telah bersedia untuk
menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya lagi.