Sunday, February 3, 2013

Pesta Tahun Baru Cina Sipitang.

 SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan Oleh Ahmad, You Boun Kiat dan Lau Kim Ling menyampaikan sumbangan kewangan RM5 ribu kepada Lim Thiam Hock Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hua Sipitang.

           



SIPITANG: Barisan Nasional tidak akan membiarkan rakyat menjalani kehidupan yang miskin dan susah. kata Datuk  Sapawi Ahmad.
            Ahli Parlimen Sipitang itu berkata BN tidak akan menghalang jika rakyat berusaha untuk menjadi kaya dan mewah tetapi akan menghalang bersungguh-sungguh jika rakyat mahu menjalani kehidupan yang susah dan miskin.
            "Inilah keistimewaan yang dimiliki oleh BN dan amat jauh berbeza dengan pembangkang," katanya pada sambutan Pesta Tahun Baru Cina di sini malam kelmarin.
            Pesta tersebut dianjurkan bersama oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Sipitang dan Young Malaysian Movement (YMM).
            Sapawi memberitahu BN sejak dahulu sehinggalah sekarang terus berusaha untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan yang sejahtera, harmoni dan juga makmur.
            "Sejahtera maknanya rakyat menjalani kehidupan yang selesa, harmoni maknanya menjalani kehidupan tanpa kebimbangan dan makmur menikmati kehidupan yang terbaik termasuklah daripada sudut ekonomi," katanya dan menambah perjuangan yang dilakukan oleh BN adalah seluruh rakyat tanpa mengira anutan agama dan juga kaum.
            Menurutnya BN tidak mengamalkan pilih kasih sebaliknya semua rakyat dipastikan dapat menikmati apa yang telah dilakukan oleh BN.
            "Perjuangan BN amat jauh berbeza dengan pembangkang. Jika BN berjuang untuk rakyat dengan penuh keikhlasan dan kejujuran pembangkang pula berjuang untuk memenuhi kepentingan diri serta untuk menunaikan kehendak dan keinginan seseorang," katanya.
            Beliau berkata bagi memastikan rakyat terus menikmat kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran, BN juga berusaha memastikan perpaduan dan persefahaman antara kaum terus dipererat dan dipermantapkan.
            Katanya BN yakin dan percaya perpaduan dan persefahaman yang erat membantu mewujudkan kesejahteraan, keharmonian dan juga kemakmuran.
            "Apa yang dilakukan oleh BN tidak dilakukan oleh pembangkang yang sanggup mengetepikan soal perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat," katanya lagi.
            Menurutnya BN juga amat menghargai sokongan berterusan daripada rakyat termasuklah kaum Cina.
            Katanya sokongan yang diberikan oleh rakyat memberikan dorongan dan motivasi kepada BN untuk meningkatkan lagi usaha yang sedia ada bagi memastikan rakyat terus menikmati kesejahteraan, keharmonian dan juga kemakmuran.
            "Saya amat yakin rakyat termasuklah masyarakat Cina tidak akan mudah diperdaya dan dipengaruhi...saya yakin rakyat amat bijak dan akan membuat penilaian terbaik dan mengekalkan sokongan kepada BN adalah keputusan yang begitu bijaksana," katanya.
            Pada majlis tersebut, Sapawi mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina yang akan menyambutnya pada minggu depan.
            Katanya perayaan itu seperti perayaan kaum yang lain di negara ini akan diraikan bersama-sama dengan suasana yang harmoni.
            Seramai enam pertubuhan cina Parlimen Sipitang menerima sumbangan kewangan daripada Sapawi antaranya Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hua Sipitang sebanyak RM5 ribu manakala Kuil Hock Teck Kong, Persatuan Pengurusan Tokong Vie Hun, Mesapol, Merapok Chinese Charatable Trust Board, Persatuan Penganut Dewa Thien Fook Kuang Rumah Murah Beaufort Selatan dan Sing Ong Biou Temple Weston masing-masing menerima RM3 ribu.




Share |