Saturday, January 12, 2013
Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar SAR Lubok, Weston, Beaufort.
TAHNIAH…Sapawi diperhatikan
oleh Pengerusi PIBG SAR Lubuk Weston Ali Gafar menymapaikan anugerah kepada
salah seorang pelajar cemerlang di majlis tersebut.
WESTON (Beaufort): Pembangunan dan
kemajuan pendidikan agama tidak pernah diabaikan serta dipinggirkan oleh
Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata usaha
untuk membangun dan memajukan pendidikan agama sentiasa dipertingkatkan dari
masa ke semasa.
"Pendidikan agama penting dalam membentuk shasiah
generasi masa depan yang cemerlang dan kerajaan tidak pernah mengabaikan atau
meminggirkan pembangunan serta kemajuan pendidikan agama," katanya pada
majlis anugerah kecemerlangan Sekolah Agama Rakyat Lubok Weston di sini
kelmarin.
Bagaimanapun Sapawi memberitahu usaha yang dilakukan oleh
Kerajaan BN amat perlu mendapatkan sokongan daripada rakyat khususnya umat
Islam.
Menurutnya pembangunan dan kemajuan pendidikan agama
Islam tidak akan mampu berkembang seperti yang diharapkan jika rakyat enggan
memberikan sokongan dan terus mengekalkan anggapan yang positif.
Katanya terdapat segelintir umat Islam yang beranggapan
bahawa sekolah agama yang dikendalikan oleh Kerajaan BN tidak sebaik dengan
sekolah yang dikendalikan oleh pihak lain terutamanya pembangkang.
"Sikap seumpama ini sebenarnya tidak membantu malah
ianya adalah sikap yang salah...sikap seumpama ini tidak menjadi amalan
sehingga ianya menjadi satu budaya yang diwarisi," katanya dan menambah
rakyat boleh melihat sekolah-sekolah agama Islam yang dikendalikan oleh
Kerajaan BN.
Menurutnya ramai pelajar negeri ini yang berjaya
melanjutkan pelajaran khususnya ke Mesir menerusi pendidikan agama dan
bersekolah di sekolah agama kerajaan.
Malah, katanya sudah ramai juga pelajar dari sekolah
agama kerajaan yang memegang jawatan penting dalam kerajaan dan juga sektor
swasta.
Sapawi juga berharap agar rakyat terus memberikan
sokongan kepada Kerajaan BN dan tidak terpengaruh serta terpedaya dengan
pembangkang.
Katanya pembangkang ketika ini semakin berani untuk
mencetuskan perbalahan di kalangan rakyat yang berbeza anutan agama dan kaum.
Selain isu kaum, katanya, pembangkang juga mula
menghebah-hebohkan isu agama yang boleh mencetuskan perbalahan.
"Kita perlu tolak pembangkang kerana jika
tercetusnya perbalahan, ianya akan menyebabkan rakyat kehilangan untuk
menikmati kesejahteraan, keharmonian dan juga kemakmuran," katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pegawai
Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah,
Guru Besar SAR Lubok Weston Irdawaty Manap, Pengerusi PIBG SAR Lubok
Weston Ali Ghafar, Ketua Kampung Lubok Weston
Masri Latip dan Pengerusi JKKK Kampung Lubok Weston Mansur Salleh.