MANTAP…Barisan AJK Puteri Umno Sipitang yang hadir di majlis tersebut,DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad menerima cenderakenangan daripada Maimunah sempena perasmian tersebut.DIRAIKAN…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad dan Maimunah memotong kek sambutan hari jadi Datuk Sapawi Ahmad di majlis tersebut.CERIA….Sebahagian ahli Puteri Umno Sipitang yang menghadiri majlis perasmian tersebut.
SIPITANG: Anggota Puteri pada semua peringkat perlu memainkan peranan yang sebenar sebagai membalas kepercayaan kepimpinan parti.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata kepimpinan UMNO mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang tinggi terhadap keupayaan anggota Puteri dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi.
"Keputusan menubuhkan Puteri adalah kerana kita yakin dan percaya ia memberi kekuatan serta kemantapan kepada UMNO dan atas keyakinan serta kepercayaan itulah anggota Puteri sama ada pada peringkat cawangan mahupun bahagian perlu membalasnya dengan melaksanakan tanggungjawab yang diberi.
"Laksanakan tanggungjawab itu dengan penuh kesetiaan terhadap perjuangan UMNO yang sebenar," katanya ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Sipitang di dewan mini Perpustakaan di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Penerangan Umno Sipitang Ahmad Bujang, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, Wakil Perhubungan Puteri Umno Sabah Yanti Adam dan Ketua Puteri Umno Sipitang dayang Maimunah Sidek.
Sapawi berkata dalam melaksanakan tanggungjawab itu anggota Puteri hendaklah mengetepikan kepentingan diri sebaliknya mengutamakan kepentingan parti.
Katanya perjuangan UMNO bukan berlandaskan atau untuk memenuhi kepentingan diri sebaliknya ia berasaskan kepada perkhidmatan kepada rakyat.
"Jangan ada niat lain sebaliknya kita melaksanakan perjuangan UMNO adalah berasaskan kepada kepentingan dan keutamaan yang dikehendaki oleh parti," katanya dan menambah antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ialah menarik lebih ramai beliawanis bagi menyertai perjuangan UMNO.
Menurutnya ketika ini terdapat segelintir generasi muda yang dipengaruhi dan dipergunakan oleh pihak pembangkang untuk kepentingan mereka.
Beliau berkata generasi muda itu telah dikaburi dan dikelirukan dengan pelbagai dakyah dan fitnah "dan akhirnya mereka menyertai pembangkang."
"Ini adalah antara tanggungjawab kita...memberi penerangan dan penjelasan yang tepat agar generasi muda ini tidak lagi terpedaya dan dipergunakan serta diperbodoh-bodohkan oleh pembangkang," katanya lagi.
Sapawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Sipitang menegaskan pentingnya anggota Puteri pada semua peringkat untuk sentiasa belajar dan membina kekuatan serta kemantapan perjuangan.
Katanya sebagai salah satu sayap UMNO, kekuatan dan kemantapan Puteri akan membantu menambah keyakinan kepada rakyat.
"Perlu kita sedar bahawa Puteri ditubuhkan bukan untuk memenuhi kepentingan seseorang sebaliknya ia berasaskan kepada rakyat khususnya generasi muda," katanya lagi.