Tuesday, July 10, 2012

Gotong-Royong di Kampung Luagan, Sindumin

GOTONG-ROYONG…Sapawi bersama penduduk kampung bergotong-royong mencat dinding balai raya Kg Luagan sempena majlis tersebut.
SUBUR…Sapawi diperhatikan oleh Yassin menanam pokok bunga di majlis tersebut.
SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Yassin dan Kasa menyampaikan sumbangan jersi dan boleh kepada Pengerusi Persatuan Belia Kg luagan Aziz Tudin.
CERIA…Sebahagian penduduk kampung yang hadir di majlis tersebut.

SIPITANG: Keharmonian dan kemakmuran tidak akan dikecapi jika masyarakat terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah serta fitnah yang dilontarkan oleh pembangkang.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata rakyat negara ini wajar bersyukur kerana Kerajaan Barisan Nasional (BN) meletakkan perpaduan dan persefahaman rakyat sebagai perkara yang perlu diutamakan.

“Kita sentiasa berusaha mempertahankan keharmonian dan kemakmuran…ia dilakukan untuk negara dan juga rakyat,” katanya pada Perasmian program Kemasyarakatan dan Kesukarelaan di balai raya Kampung Luagan dekat sini kelmarin.

Majlis anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kerjasama KRT Kg. Luagan Dan JKKK Kampung Luagan turut dihadiri Pegawai daerah Sipitang Latip Amat, Pegawai belia dan Sukan Bahagian Beaufort Yassin Omar, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Kampung Luagan Kasa Saidi dan Pengerusi Persatuan Belia Kampung Luagan Aziz Tudin.

Sapawi berkata rakyat perlu sentiasa bijak dalam membuat keputusan dan membuat penilaian yang terbaik.

Katanya rakyat harus tidak mudah diperdaya dan dipengaruhi kerana pembangkang hanya mahu mempergunakan dan memperbodoh-bodohkan mereka untuk kepentingan seseorang.

“Apa yang dilontarkan oleh pembangkang perlulah dinilai…jangan kita terpedaya dan terpengaruh sehingga kita sanggup menggugat keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati.

“Jika ini berlaku, ia bakal menggelapkan masa depan generasi masa akan datang dan seterusnya meletakkan negara kepada kehancuran,” katanya lagi.

Sapawi menegaskan dalam memastikan keharmonian dan kemakmuran negara berterusan serta berkekalan, kerajaan mengharapkan rakyat akan turut memberi kerjasama dan memberikan sokongan.

Antaranya termasuklah menanamkan semangat kesukarelawan di kalangan rakyat pelbagai kaum sama ada di bandar mahupun di luar bandar, katanya.

Menurutnya menerusi semangat itulah akan membentuk dan melahirkan rasa tanggungjawab di kalangan rakyat bagi bersama mempertahankan dan mengekalkan keharmonian serta kemakmuran yang dinikmati ketika ini.

Beliau berkata rakyat wajar menjadikan semangat kesukarelawan sebagai budaya dalam kehidupan seharian.

“Sikap pentingkan diri sendiri hanya akan mewujudkan kehidupan yang negatif sekaligus akan menjauhkan rakyat daripada kehidupan yang harmoni dan tidak akan menikmati kemakmuran,” katanya lagi.

Share |