KUALA LUMPUR: Sabah boleh menjadi contoh atau `role model' ke arah pencapaian sebahagian visi agenda pembangunan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11)terutama berkaitan usaha pertumbuhan hijau.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Hj Ahmad berkata ini kerana Sabah sudah memulakan langkah konserversi dan program perhutanan semula sejak beberapa tahun lalu, dan kini telahpun berhasil.
Berucap membahas pembentangan RMK-11 di Dewan Rakyat, beliau berkata Dasar Perhutanan Sabah telah dirangka untuk memenuhi keperluan kesemua pihak yang ada kaitan dengan perhutanan, dan selari dengan amalan pengurusan hutan mampan, serta piawaian yang diterima-pakai di peringkat antarabangsa.
Katanya, selain Jabatan Perhutanan Sabah, turut membantu usaha konservasi ini termasuk agensi seperti Yayasan Sabah.
"Hasilnya, Sabah kini mempunyai 860,000 hektar hutan yang mendapat persijilan dari peringkat antarabangsa, selaras keazaman tinggi kerajaan negeri melestari pengurusan hutan mampan dan memperluaskan Model Pengurusan Hutan Deramakot ke seluruh Hutan Simpan Kekal Komersil di negeri Sabah.
"Pengiktirafan persijilan yang diterima itu termasuk daripada Majlis Pengawasan Hutan (FSC), Skim Persijilan Balak Malaysia (MTCS) dan Skim Perhutanan Pan-Eropah (PEFC) yang terpakai bagi konsesi Yayasan Sabah," katanya.
Di samping itu, katanya, kerajaan negeri turut menyedari mengenai kepentingan hutan dari segi pemuliharaan biodiversiti dan kawasan seluas 39,000 kilometer persegi dikhaskan untuk program inisiatif `Hearth of Borneo'.
Sapawi juga berkata Sabah turut mempelopori usaha pembangunan ekonomi wilayah menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dengan mewujudkan enam lagi sub-koridor pembangunan.
"Sabah mewujudkan `koridor dalam koridor' mengikut kesesuaian dan potensi wilayah-wilayah di negeri Sabah.
"Satu daripadanya ialah koridor pantai barat merangkumi kawasan Papar-Sipitang, sebagai hab minyak dan gas," katanya.
Sambil memuji usaha yang dilaksanakan kerajaan, beliau berkata pengwujudan koridor pembangunan ekonomi itu adalah manifestasi jelas kebijaksanaan pimpinan di peringkat nasional dan negeri.
Mengenai RMK-11, Sapawi menyifatkannya sebagai satu pakej pembangunan yang dinamik dan menjadi sandaran bagi Malaysia mencipta kejayaan.
"Huraian yang diperincikan secara berfakta menjadi kompas pedoman dan landasan perjalanan Malaysia lima tahun ke hadapan," katanya.
Katanya, amat jelas fokus RMK-11 ini meletakkan kepentingan rakyat sebagai tiang keutamaan.
Antaranya berkaitan kos sara hidup yang perlu dibangunkan, pendidikan yang mesti ditingkatkan, keselamatan yang wajar dimantapkan, pengangkutan awam yang wajib diperkasakan serta infrastruktur luar bandar yang harus diperhebatkan.
"Ia memancarkan aura komitmen kerajaan pada hari ini, di bawah pimpinan hari ini, untuk membawa Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
"Dapatan saya terhadap rangka pembangunan ini ringkas tapi luas, iaitu ia suatu rancangan negara yang komprehensif, inklusif lagi objektif.
"Komprehensif kerana ia dirangka secara menyeluruh dan pragmatif; inklusif kerana pendekatannya bersifat proaktif; dan objektif kerana halatujunya yang amat jelas," katanya.
ends
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad mengetengahkan beberapa cadangan untuk diberi pertimbangan oleh Kerajaan Persekutuan, seiring matlamat Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).
Berucap membahas pembentangan rancangan pembangunan itu di Dewan Rakyat, beliau berkata peranan Kerajaan Pusat penting dalam membawa lonjakan pembangunan dan pecutan raksasa ekonomi.
"Pertama, dengan kepesatan pembangunan industri minyak dan gas dalam koridor pembangunan Papar-Sipitang, kita menyarankan agar diwujudkan sebuah institusi kemahiran tinggi, sebagai persiapan mengisi keperluan peluang kerja berkemahiran tinggi di kawasan ini.
"Agensi kerajaan seperti Mara, mahupun swasta seperti Petronas, harus bersikap proaktif dalam memenuhi keperluan ini, sekali gus memenuhi keperluan industri dalam jangka panjang.
"Ini seiring matlamat membina negara maju, menerusi platform mengupayakan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang meletakkan sasaran 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan yang akan diwujud dalam RMK-11 memerlukan latihan kemahiran," katanya.
Menurutnya, soal tapak bagi mewujudkan institusi berkenaan tiada masalah, kerana SOGIP sedia menawarkan tempat pada bila-bila masa.
"Kedua, pentingnya bagi kerajaan mengambil usaha menaik taraf sekolah vokasional yang ada di kawasan Parlimen Sipitang, menjadi politeknik, sesuai dengan status daerah ini sebagai hab minyak dan gas.
"Dengan kenaikan taraf atau status kepada politeknik, maka ia semestinya dapat menyedia kemudahan pendidikan teknikal untuk belia-belia tempatan dari sekitar kawasan pantai barat Sabah," katanya.
Selain itu, katanya, Sipitang merayu dan berharap agar Sekolah Menengah Pengiran Omar (SMPO) Sipitang, iaitu sekolah tertua di daerah itu dibina bangunan baru atau dinaik taraf, memandangkan keadaannya yang sudah tidak bersesuaian dengan keadaan masakini.
Katanya, rayuan dibuat sebagai susulan pengumuman yang pernah dibuat Timbalan Perdana Menteri sewaktu merasmikan GATA Sipitang pada tahun lalu.
Beliau turut menekankan pentingnya bangunan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dinaik taraf memandangkan keadaannya yang begitu memilukan.
Mengenai projek lebuh raya Pan-Borneo menghubungkan Sabah dan Sarawak, Sapawi berharap agar projek itu dapat dimulakan segera, kerana ia menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan dan pelbagai industri berkaitan.
"Kita juga memohon agar pelaksanaan projek ini dimulakan di kawasan Sipitang, iaitu pintu masuk utama dari Sarawak dan negara jiran Brunei Darussalam, selain sebagai hab minyak dan gas di sebuah daerah yang mulai rancak membangun," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon agar tiga jalan utama di daerah Sipitang diberi perhatian dan pertimbangan khusus untuk dilaksana.
Tiga jalan yang perlu perhatian itu ialah Jalan Karangan-Lumadan; Jalan Mintulud-Bangkalalak; serta Jalan Mendulong-Meligan dan Meligan-Long Pasia.
Mengenai projek bekalan air bersih, beliau meminta agar kerajaan mengambil tindakan ke arah mempertingkat pengurusan bekalan air di kawasan Sipitang, khususnya bagi memberi bekalan air bersih ke kawasan Bangkalalak, Mintulud, Bintuka, Padas Damit dan Jabang, iaitu perkampungan tradisi yang letaknya di kawasan `paling hujung'.
Seterusnya, beliau meminta Kementerian Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesejahteraan Bandar memperbanyakkan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi memenuhi keperluan golongan sasar yang disenaraikan dalam e-Kasih.
"Kita mengharap agar program ini tidak tertumpu di kawasan-kawasan tertentu saja, sebaliknya dilaksana secara menyeluruh, termasuk ke kawasan Sipitang.
"Pada masa sama, kita menyambut baik pelaksanaan program baik-pulih rumah, seperti diumum dalam RMK-11 ini, dan diharap mengubah suasana hidup orang-orang kampung di serata pelosok desa," katanya.
ends