Wednesday, October 30, 2013

UCAPAN PERBAHASAN DATUK SAPAWI AHMAD KE ATAS BAJET 2014 BERTEMAKAN "TEKAD KUAT MEMBELA RAKYAT"


UCAPAN PERBAHASAN DATUK SAPAWI AHMAD
KE ATAS BAJET 2014
BERTEMAKAN "TEKAD KUAT MEMBELA RAKYAT"

Terimakasih Tuan Yang Dipertua

1. Mewakili rakyat dari seluruh penjuru tanah air yang berdaulat, kita rasa berlapang dada, mengucap kalimah syukur alhamdulilah, kepada YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, kerana sekali lagi mempersembahkan suatu belanjawan, yang secara umumnya kekal berpaksi kepada rakyat sejagat, bukan untuk menjaga hati suku-sakat dan kepentingan golongan berdarjat semata-mata, tapi menjangkaui seluruh tingkat kehidupan rakyat.
2. Lantaran itu, saya terpanggil untuk turut sama membahas dan mengupas isian bajet ini -- yang pertama selepas PRU-13, dan yang pertama juga selepas pemilihan barisan dalam kepemimpinan parti Umno, yang menunjangi kerajaan Barisan Nasional pada hari ini.
3. Ramai sahabat-sahabat saya di Dewan Yang Mulia ini sudah berbahas dan bertingkah, termasuklah kelompok dari gelanggang pembangkang sana. Macam-macam istilah dipakai. Macam-macam pandangan dilontar. Majoriti melihatnya secara positif dan memandang jauh ke depan, namun tidak kurang juga yang mencela dan mencerca, terutama para soldadu pembangkang yang platun-platun mereka kecundang di medan PRU-13 baru-baru ini.
4. Bagi saya, Bajet 2014 adalah cerminan kristal pimpinan sejati YAB Perdana Menteri membawa dan mengangkat Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi, yang disasarkan menjelang tahun 2020, yang cuma berbaki lebih kurang enam tahun lagi dari sekarang.
5. Apa yang tersurat dan tersirat di sebalik bajet ini, adalah bukti tekad politik atau `political will' (dengan izin) yang tegar, serta manifestasi komitmen kerajaan Barisan Nasional, di bawah naungan pimpinan YAB Perdana Menteri, mendukung agenda transformasi secara total dan menyeluruh --- kerajaan Barisan Nasional yang menjaga kepentingan nasional, kerajaan yang memikul mandat rakyat dengan rasa penuh tanggungjawab.
6. Inilah kerajaan pilihan rakyat, yang pastinya sentiasa menjaga kebajikan rakyat. Di dalam Bajet 2014 ini, YAB Perdana Menteri menterjemahkan falsafah 'Good Governance' (dengan izin) dalam mencipta secara tulus sebuah pentadbiran kerajaan terbaik, untuk dinaungi oleh segenap lapisan rakyat, dari Perlis hingga ke Sabah.
7. Justeru sekali lagi, mewakili denyut nadi rakyat dari segenap penjuru bumi berdaulat ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada YAB Perdana Menteri kerana telah membuktikan kebijaksanaan sebagai bintara dalam mengurus ekonomi negara, sebagaimana terhurai dalam intipati Bajet 2014 yang bertemakan "Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji' ini.
8. Fakta, angka dan statistik yang dijelaskan YAB  Perdana Menteri ketika pembentangan selama kira-kira dua jam 20 minit pada hari Jumaat lepas (bersamaan 25 Oktober 2013) membuktikan keupayaan pimpinan kita mengurus ekonomi secara berkesan, berteraskan prinsip urus tadbir kewangan yang berhemah, dan tata kelola yang baik.
9. Kita gembira mendengar unjuran pertumbuhan yang diungkapkan dalam Bajet 2014 ini. Bagi rentangan waktu tahun 2013 ini, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Prestasi itu disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus, dengan anggaran pelaburan RM165 bilion.
10. Lanjutannya, pada tahun 2014, berdasarkan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 5 hingga 5.5 peratus.
11. Kejayaan kita mempertahan dan meningkatkan pertumbuhan, di tengah dinamika perekonomian global yang tidak mudah, merupakan suatu keberhasilan yang sungguh membanggakan. Syabas kepada nahkoda pimpinan kita yang berupaya menjadikan perdagangan kita makin kuat, berimbang dan berterusan. Penyertaan aktif sektor swasta dalam memperluas jaringan bisnis serantau menjadi kunci kepada segala peningkatan yang menyerlahkan itu.
12. Biasalah bagi pembangkang, sentiasa memandang juling setiap yang baik yang dibawa oleh kerajaan, lalu sengaja mengungkit hal-hal yang mereka lihat dari sisi lain bajet ini. Kononnya mereka tercari-cari sesuatu yang baik, sedangkan yang terbentang di hadapan mereka pada realiti yang terang, semuanya baik-baik belaka. Kalau nyamuk jauh di seberang jelas ternampak, kenapa gajah di depan mata amat sukar mahu dilihat.
13. Mereka sekadar `memasang tanguk (mata kail) tidak berumpan' dan `menebar jala yang koyak-rabak' kerana rakyat tidak mungkin tertipu lagi. Orang-orang Sabah sendiri sudah biasa melihat lakonan dan sandiwara pembangkang, yang memang demikian perangainya, atau kami istilahkan sebagai `andang-andang' dan bukan undang-undang.
Elok ladang kerana berpadi
Elok padi lebat buahnya
Elok BN kerana berbudi
Elok budi kerana bajetnya.

PENDIDIKAN
Tuan Yang Dipertua

14. Penekanan Bajet 2014 terhadap pembangunan pendidikan dan modal insan sewajarnya kita dokong bersama, demi untuk mengecapi kemakmuran sebagai negara maju berpendapatan tinggi, dalam tempoh yang berbaki sedikit ini.
15. Melihat helaian bajet yang dipersembahkan tempoh hari, nyata sektor pendidikan mendapat peruntukan terbesar, iaitu sejumlah RM54.6 bilion atau 21 peratus daripada keseluruhan peruntukan tahun 2014 -- dengan matlamat memastikan pencapaian objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), yang dirancang-atur menyisir waktu yang panjang, melewati 15 tahun lagi selepas Wawasan 2020.
16. Usaha-usaha yang digariskan mesti dilaksana sepantas mungkin, tanpa berlengah waktu lagi, kerana jarak untuk sampai ke pintu gerbang status negara maju semakin terhimpit suntuk.
17. Semua pihak berkaitan, baik kementerian mahupun jabatan, rantaian agensi dan badan berkanun, dari atas hingga ke bawah, perlu mengembleng usaha bersama, dengan penuh rasa tanggungjawab, sejujur hati setulus jiwa, seluas tebaran minda yang mulia, demi menentukan kita menepati sasaran, seperti yang digaris dan tertulis dalam PPPM itu.
18. Dalam meniti jambatan waktu 2013-2025, marilah kita bersama-sama memasyarakatkan PPPM ini, yang merupakan suatu kerangka holistik, sambil menangani cabaran-cabaran sejagat.
19. Cabaran tersebut termasuklah isu Sekolah Kurang Murid (SKM) yang masih menjadi fenomena besar di Sabah dan Sarawak, cerita kekurangan guru pakar Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang masih kedengaran sungutannya, sasaran sekolah satu sesi yang masih jadi perdebatan, isu makmal komputer yang pernah mencetus kontroversi, hinggalah kepada kelengkapan jalur lebar/ICT yang terus-terusan menjadi rintihan di pedalaman terpencil.
20. Ringkasnya, kemudahan infrastruktur perlu dibangunkan secara bersepadu -- bangunan, jalan dan keperluan sekolah, kemudian pengisiannya mesti seiring dari segi tenaga pengajar dan kakitangan sokongan -- kerana PPPM itu bukan calang-calang jangkauannya, cukup besar melebar luas, menjadi teras dan tiang menjambatani laluan, bagi masa depan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
21. Dari sisi lain yang lebih praktikal, barangkali inilah waktu paling sesuai untuk menaik taraf semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah dan Sarawak, seiring autonomi yang terbuka dan semangat PPPM itu sendiri, supaya mereka dapat menampung keperluan pembangunan pendidikan, sebagai memenuhi harapan bersama, agar impian menjadi kenyataan.
22. Agenda menaik taraf PPD yang turut merangkumkan pegawai-pegawai sokongan, mesti dilihat secara vokal, supaya mereka tidak terikat dengan keadaan mahupun pendekatan di Semenanjung, dengan mengambil kira kelainan dan keunikan geografi serta demografi di Sabah dan Sarawak.
23. Sehubungan dengan itu, saya juga ingin menarik perhatian Dewan Yang Mulia ini, supaya dapat kiranya Jabatan Pendidikan Sabah, khususnya Pengarah diberi kuasa dalam membuat sesuatu keputusan berhubung aspek pembangunan pendidikan di negeri kami, selaras dengan prinsip `decentralised' (dengan izin) atau penurunan kuasa kepada negeri bagi membuat sesuatu keputusan.
24. Hal ini penting untuk memastikan matlamat dan peruntukan Bajet 2014 benar-benar mencapai sasarannya, termasuk dalam konteks pembangunan secara menyeluruh, daripada aspek penyelenggaraan dan pembangunan pendidikan, sehingga kepada operasi kantin serta keceriaan, keindahan dan kebersihan sekolah.
25. Kalau jabatan lain boleh melakukan proses `decentralised' ini, kenapa prinsip yang sama tidak dapat diaplikasi kepada Jabatan Pendidikan Sabah? Kita yakin lagi percaya, dengan penurunan kuasa kepada negeri ini, ia bukan saja dapat mempercepat kelancaran pelaksanaan sesuatu projek atau program, tetapi lebih penting dapat menyentuh hati kalangan mereka yang terlibat, misalnya usahawan dan kontraktor, yang benar-benar berkeupayaan dalam bidang masing-masing.
26. Hakikatnya, keberhasilan PPPM membawa transformasi sektor pendidikan bergantung kepada semua pihak -- dari pimpinan tertinggi hingga ke akar-umbi, dari semua jentera pelaksana kecil dan besar, di desa mahu pun bandar -- tiada yang terkecuali.
27. Untuk itu, marilah kita dokong bersama matlamat ini, lagi pun agenda ke arah mengungguli modal insan sudah pun termaktub sebagai teras ketiga daripada lima teras Bajet 2014 ini, disusuli pembangunan bandar dan luar bandar, serta matlamat mensejahtera kehidupan rakyat.
28. Meneropong komitmen kerajaan, nyata sungguh betapa agung harapan yang disandarkan, untuk rakyat yang berlainan latar kehidupan dan bersilang budaya ini.
29. Saya katakan demikian, kerana dalam Bajet 2014 ini sendiri jelas terpancar keseimbangan agihan. Misalnya suntikan RM450 juta untuk Tabung Khas Pembinaan Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah --- sejumlah RM100 juta untuk sekolah kebangsaan, dan masing-masing RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).
30. Kita dimaklumkan, untuk SAR ini juga, JAKIM turut menyediakan sejumlah peruntukan untuk memperkasakan fungsi dan operasinya serta infraktukturnya yang menjurus kepada pembinaan tamadun bangsa, agar mampu bertahan lama, dengan setiap insan diakari serta dibajai dengan ilmu pengetahuan keagamaan.
31. Seiring dengan roh dan semangat bajet ini juga, pembangunan pendidikan pastinya akan menjurus kepada pencapaian matlamat pembasmian kemiskinan. Insya-Allah. Justeru, setiap agensi berkaitan mesti memikul amanah besar yang disandarkan itu secara jujur dan teratur, ikhlas tanpa minta dibalas.
32. Kepada rakyat sekalian, termasuk kalangan generasi muda, ayuhlah bersama-sama pimpinan menjayakan agenda pembasmian kemiskinan ini, termasuk merebut peluang-peluang menyertai kursus latihan kemahiran yang ditawarkan, menerusi segmen memperkukuh latihan kemahiran yang disebutkan dalam Bajet 2014 ini.
33. Rakyat kebanyakan sebagai golongan sasaran mesti punya jatidiri, semangat dan keazaman tinggi, setinggi Kinabalu menerobos awan biru, untuk mencapai kemajuan, membebaskan diri daripada terus terpenjara dan terkurung di bawah tempurung kemiskinan. Saya yakin dan percaya, jika kita punya semangat tinggi, kita pasti akan berjaya. Insya-Allah.
34. Barangkali anak-anak muda kita boleh mengambil semangat Tegar, si kecil penyanyi jalanan dari kota Subang, Indonesia, yang kini mengegarkan dunia hiburan, untuk para generasi muda bangkit daripada lamunan kelesuan dalam kehidupan.
35. Tegar walaupun tidak berkesempatan menimba ilmu, kerana ketiadaan biaya, tetapi dia memanfaatkan kemahirannya bermain muzik, justeru dengan kuasa teknologi maklumat  juga, atas keprihatinan seorang pemuda memuat-naik aksi Tegar bernyanyi ke dalam YouTube, maka sepantas itu dia menjadi terkenal, lalu ditawar masuk studio rakaman.
36. Dengan persekitaran kehidupannya yang serba terbatas, Tegar seperti namanya telah membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa setiap yang dilakukan itu pasti membawa kejayaan, jika dibuat dengan sungguh-sungguh, sebagaimana dalam liriknya "Aku Yang Dulu".

Aku yang dulu bukanlah yang sekarang
Dulu ditendang sekarang ku disayang
Dulu dulu dulu ku menderita
Sekarang aku bahagia

PROJEK LEBUHRAYA PAN-BORNEO
Tuan Yang Dipertua

37. Ketika pembentangan Bajet tempoh hari, hal yang saya tunggu-tunggu adalah projek lebuh raya Pan-Borneo. Alhamdulilah, kerajaan telah meletakkannya sebagai antara keutamaan dengan menyediakan sejumlah RM500 juta menerusi Bajet 2014, bagi pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo ini.
38. Isu penyiapan lebuh raya Pan-Borneo ini, yang juga dikenali Trans-Borneo, sudah banyak kali saya ketengahkan di Dewan Yang Mulia ini, sama ada dalam perbahasan mahupun soalan-soalan lisan dan bertulis, kerana kita melihat ia sangat penting lagi mendesak, sebagai pemangkin kepada pembangunan di kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak
39. Jajaran lebuh raya dari Tebedu hingga ke Lawas di Sarawak, dan dari Sindumin hingga ke Tawau di Sabah, merangkumi jarak keseluruhan lebih 1,000 kilometer ini, wajar disegerakan memandangkan pembangunan pesat di sepanjang laluannya mutakhir ini, yang membawa kepada peningkatan aliran trafik berikutan pertambahan jumlah kenderaan di atas jalan raya.
407. Mengambil contoh di kawasan saya sendiri, Parlimen Sipitang, yang menganjur di pantai barat Sabah hingga ke daerah Papar, kini giat dibangunkan sebagai hab minyak dan gas, membabitkan pelaburan lebih RM4 bilion keseluruhannya -- di mana di kedua-dua daerah ini dibangunkan SAMUR  dan SOGT serta Sipitang Industrial Park dan Kimanis Power Plant.
41. Sesungguhnya, lebuh raya Pan-Borneo ini menjadi teras kepada keperluan strategik pengangkutan darat di kedua-dua negeri, Sabah dan Sarawak. Sektor lojistik perlu lebih efisien, untuk menggerakkan segala potensi yang dimiliki.
42. Lebuh raya yang kami ada sekarang sebenarnya hanyalah jalan sehala selorong, dan kini di beberapa tempat, `di siring-siring jalan' telah dibina lorong tambahan untuk memotong, namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung pertambahan jumlah kenderaan.
43. Lebih menyedihkan, seperti pernah saya ceritakan di persidangan Dewan Yang Mulia ini, keadaan jalan kami bengkang-bengkok, `miring-miring'  (bermaksud tinggi-rendah), lubang-lubang, ombak-ombak dan `alun-alun' (bermaksud beralun/tidak rata), dan apabila kita berada dalam kenderaan, kita boleh jadi pening-pening dan terhoyong-hayang, kerana seperti berada di atas kapal di tengah lautan yang bergelora.
44. Sejalan dengan semangat Bajet 2014 ini, kita mahu agar kepayahan mengharungi saban hari `ketidakberadaan' jalan-jalan kami ini, akan segera berakhir. Kita cukup yakin, Kuala Lumpur tidak meminggirkan kami, jauh sekali menganaktirikan kami, di pulau besar Borneo yang membugar segar itu, sebaliknya akan memesatkan lagi rentak pembangunan, agar satu rentak dan satu irama dengan nada pembangunan di tanah Semenanjung ini, demi mempercepat pertumbuhan ekonomi negara seluruhnya, meningkatkan mobilitas industri dan perdagangan, serta memperluas lapangan pekerjaan.

PROJEK SAMUR MEMBAWA MAKMUR

Tuan Yang Dipertua

45. Menginsafi langkah pembangunan yang masih bertatih, Bajet 2014 menyuntik semangat membara kami apabila Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang diletakkan dalam teras pertama, untuk merancakkan aktiviti ekonomi.
46. Selain rasa bangga dan bertuah, Sipitang optimis projek mega SAMUR ini menjadi obor baru untuk menerangi horizon ekonomi negeri, di laman indah yang penuh dengan kepelbagaian sumber asli semulajadi.
44. Lanjutan dari situ, kita terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan tentang keperluan-keperluan susulan, yang mesti diberi perhatian, demi menentukan SAMUR itu benar-benar membawa makmur sepanjang umur.
47. Pertama, Hospital Nukleus Sipitang wajar dilengkapkan dengan kemudahan pakar termasuk doktor pakar, untuk menampung keperluan, sebagai persediaan menangani sebarang kemungkinan kesan daripada pembangunan projek berasaskan kimia, minyak dan gas itu nanti. Kita mesti membuat persediaan awal bagi mengelak tragedi akibat daripada kemalangan industri.
48. Sehubungan dengan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sipitang sendiri hendaklah ditingkatkan keupayaannya, termasuk menempatkan Pasukan Menangani Bencana Bahan Kimia (Hazmat) yang mana anggotanya terlatih serta punya kemahiran spesifik, menangani kemalangan membabitkan bahan kimia.
49. Kedua, pembangunan perumahan diperhebatkan, untuk memastikan ia mencukupi apabila SAMUR beroperasi sepenuhnya nanti, memandangkan jangkaan projek tersebut bakal menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan.
50. Kita risau dan bimbang, jika hal ini kurang diberi perhatian, ia membawa kesan dan implikasi negatif, dalam konteks sosiobudaya dan sosiopolitik di masa mendatang.
51. Ketiga, sekali lagi pembangunan kemudahan pendidikan dan institusi latihan kemahiran perlu diadakan, untuk melatih serta melengkapkan belia tempatan, dengan pelbagai ilmu untuk memenuhi keperluan industri hiliran dan sampingan, kesan daripada pelaksanaan SAMUR nanti.
52. Berbalik kepada isu menaik taraf Hospital Nukleus Sipitang yang saya sebutkan sebentar tadi, sukacita juga saya menyarankan kepada pihak kementerian yang berkenaan agar dapat kiranya melihat dan mengkaji semula operasi Perkhidmatan Doktor Udara yang disediakan ke beberapa kawasan terpencil dan pedalaman di Sabah khususnya, seperti di Meligan (Sipitang), Pagalungan (Keningau) serta di Beluran dan Kinabatangan di sebelah pantai timur Sabah.
53. Kita menyarankan supaya di perkampungan terpencil di mana perkhidmatan doktor udara ini diadakan, dikaji cadangan membina Klinik Desa, bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat mendapat khidmat kesihatan dan perubatan secara tetap, dan buka berkala sebagaimana perkhidmatan doktor sekarang, yang jadualnya ditetapkan hanya sekali dua dalam tempoh seminggu.
PROJEK IPD/KESELAMATAN
Tuan Yang Dipertua
54. Mewakili warga Sipitang, saya merakamkan penghargaan setinggi budi atas kelulusan pembinaan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di daerah Sipitang, seperti disebut dalam perenggan ke-146 Bajet 2014 ini, ke arah memperkasakan lagi perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.
55. Mengambil semangat `Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku', pembinaan IPD baharu itu sudah pasti memberi keyakinan, bukan saja kepada penduduk tempatan malah kepada pelabur dan pelancong asing, terhadap aspek keselamatan, apatah lagi Sipitang letaknya di pintu masuk utama ke Sabah bagi pengunjung dari Sarawak, Brunei Darussalam dan Indonesia.
56. Justeru, saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kuala Lumpur atas segala perhatian dan keprihatinan itu. Itulah sebenarnya yang dimaksudkan oleh YAB Perdana Menteri apabila mengungkapkan kata-kata hikmah: "Segalanya kita rangka, semuanya kita susun, kita piagam dan kita laksanakan bukan sekadar sonata, atau sebuah orkestra, namun ia menjadi  puluhan simfoni kemajuan yang terindah demi kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi."

Pohon selasih di dalam kolam
Anak haruan rapat berenang
Terima kasih kami ucapkan
Budi Datuk Seri `tatap' dikenang

PENUTUP
Tan Sri Yang Dipertia
57. Keseluruhannya, Bajet 2014 yang dipersembahkan oleh kerajaan untuk rakyat, menjadi kompas yang melengkapi perjalanan negara ke arah status negara maju.
58. Kami wakil rakyat dalam Barisan Nasional, akan terus bersikap proaktif dan pragmatik untuk menentukan halatuju ini tercapai. Kita akan menegur, jika perlu. Kita akan memuji apabila wajar memuji. Sindrom membisu dan mengampu tidak ada dalam kamus perjuangan kami. Kerana kami diamanahkan oleh rakyat, untuk membawa suara rakyat ke Dewan Yang Mulia ini.
59. Kepada para hulubalang kami, yang baru terpilih dalam pemilihan parti baru-baru ini, kami menyandarkan sepenuh keyakinan untuk mengempur medan PRU-14 nanti. Percayalah, kemenangan kami di medan PRU-13 baru-baru ini, adalah deklarasi jelas mengenai harapan rakyat mahu melihat kejayaan agenda transformasi.
60. Percayalah, dengan kasih yang padu, kesetiaan yang kental, lagi sokongan yang pukal, juga kepimpinan yang mantap, kita dari Umno yang menunjangi kerajaan Barisan Nasional, mampu mencipta kejayaan lebih besar di waktu-waktu ke hadapan ini. Dengan kekuatan ini, kita akan mampu mendaki gunung, meredah hutan, mengharung lautan dan membelah awan. Insya-Allah.
61. Sebagai penutup bicara, saya memohon maaf jika ada kata-kata yang mengguris hati mana-mana pihak, almaklumlah `bajak biasa terlajak, perkataan biasa terlanjur'. Inilah fitrah kita sebagai insan biasa.-Oleh Sapawi Ahmad
Andai kata padam pelita
Gelap gelita di malam hari
Andai ada terlanjur kata
Maaf dipinta setulus hati.
Sekian, saya mohon menyokong!

Share |