Wednesday, July 31, 2013

Berbuka Puasa Bersama Penduduk Kg. Mentulud dan Bangkalalak, Beaufort.

  IKHLAS…Sapawi dan Kamarlin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang yang layak menerima di majlis tersebut.
 SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan sumbangan beras kepada salah seorang wakil penduduk di kawasan tersebut.



BEAUFORT: Umat Islam perlu memperkukuhkan persefahaman dan perpaduan bagi menghadapi pelbagai anasir yang sentiasa berusaha untuk memecahkan perpaduan ummah.
            Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata senario yang berlaku pada ketika ini seharus memberikan peringatan kepada umat Islam tentang pentingnya persefahaman dan juga perpaduan.
            "Umat Islam ketika ini berhadapan dengan pelbagai cubaan termasuklah usaha untuk menaikkan kemarahan umat Islam," katanya ketika ditemui di surau Kampung Bengkalalak dekat sini kelmarin.
            Sapawi bersama wakil rakyat Lumadan Datuk Kamarlin Ombi menyertai umat Islam di kampung tersebut bagi menunaikan solat Isyak, Terawih dan juga menikmati jamuan moreh.
            Sebelum itu kedua-dua pemimpin tersebut menyertai umat Islam di Kampung Mentulud untuk berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib.
            Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Pengerusi JKKK Kampung Mentulud Sani Mohksin dan Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musah.
            Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata pelbagai cubaan dilakukan oleh pihak tertentu untuk membangkitkan kemarahan umat Islam.
            "Mereka menggunakan pelbagai cara termasuklah menggunakan alam maya seperti facebook dan sebagainya...tujuannya cuma satu iaitu mahu membangkitkan kemarahan umat Islam dan seterusnya mahu umat Islam memutuskan persefahaman dan perpaduan dengan pelbagai kaum dan anutan agama yang lain di negara ini.
            "Jika ini berlaku kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara pasti akan tergugat dan ini memberikan keuntungan kepada pihak tersebut," katanya lagi.
            Beliau berkata umat Islam harus tidak terperangkap dengan taktik pihak tersebut sebaliknya memperkukuhkan perpaduan dan persefahaman yang sedia ada.
            Katanya ikatan persefahaman dan perpaduan yang kukuh akan menghalang usaha pihak tersebut dan sekaligus memusnahkan impian mereka.
            Menurutnya Kerajaan Barisan Nasional akan terus memastikan persefahaman dan perpaduan rakyat akan terus dikekalkan dan diperkukuhkan.
            "Usaha yang dilakukan oleh kerajaan itu memerlukan sokongan daripada rakyat sendiri...jangan kita musnahkan kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran itu hanya untuk memenuhi impian pihak tersebut," katanya lagi.

a
Share |