Thursday, October 31, 2013

BERI FOKUS KEPADA PELAKSANAAN PPPM

BERI FOKUS KEPADA PELAKSANAAN PPPM: SAPAWI

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad mahu semua pihak memberi fokus kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) kerana ia pemangkin ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Katanya, PPPM yang menjangkau tempoh 2013-2025 merupakan usaha kerajaan menyediakan modal insan bertaraf dunia dengan peruntukan terbesar RM54.6 bilion disediakan untuk sektor pendidikan dalam Bajet 2014.

Ketika berucap membahas Bajet 2014 di Dewan Rakyat kelmarin, beliau berkata semua pihak perlu bersama-sama memasyarakatkan PPPM yang merupakan suatu kerangka holistik kerajaan.

"Semua pihak berkaitan, baik kementerian mahupun jabatan, rantaian agensi dan badan berkanun, dari atas hingga ke bawah, perlu mengembleng usaha bersama, dengan penuh rasa tanggungjawab, sejujur hati setulus jiwa, seluas tebaran minda yang mulia, demi menentukan kita menepati sasaran, seperti digaris dan tertulis dalam PPPM itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa cabaran yang perlu ditangani demi menentukan matlamat dan sasaran PPPM tercapai.

"Cabaran itu termasuk isu Sekolah Kurang Murid (SKM), cerita kekurangan guru pakar Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, saaran sekolah satu sesi, isu makmal komputer dan kelengkapan jalur lebar/ICT di pedalaman terpencil," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah dan Sarawak dinaik taraf, seiring autonomi yang terbuka dan semangat PPPM supaya mereka dapat menampung keperluan pembangunan pendidikan setempat.

Katanya, agenda menaik taraf PPD yang turut merangkumi pegawai-pegawai sokongan mesti dilihat secara positif supaya mereka tidak terikat dengan keadaan atau pendekatan di Semenanjung, dengan mengambil kira kelainan geografi serta demografi di Sabah dan Sarawak.

Mengenai projek lebuh raya Pan-Borneo, Sapawi mengalu-alukan penyediaan sejumlah RM500 juta menerusi Bajet 2014 untuk menjayakan projek berkenaan, menghubungkan Sabah dan Sarawak.

Katanya, projek berkenaan sudah beberapa kali diketengahkannya di Dewan Rakyat dan berpendapat penyiapannya perlu disegerakan memandangkan ia sangat penting lagi mendesak sebagai pemangkin kepada pembangunan di kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak.

"Lebuh raya Pan-Borneo ini menjadi teras kepada keperluan strategik pengangkutan darat di kedua-dua negeri, Sabah dan Sarawak. Sektor lojistik perlu lebih efisien, untuk menggerakkan segala potensi yang dimiliki," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada atas kelulusan pembinaan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di daerah Sipitang Bajet 2014 ini, dan yakin ia membantu usaha ke arah memperkasakan lagi perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Pembinaan IPD baharu itu sudah pasti memberi keyakinan, bukan saja kepada penduduk tempatan malah kepada pelabur dan pelancong asing, terhadap aspek keselamatan, apatah lagi Sipitang letaknya di pintu masuk utama ke Sabah bagi pengunjung dari Sarawak, Brunei Darussalam dan Indonesia," katanya.

Mengenai Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR), Sapawi berkata pihaknya gembira kerana projek mega itu diletakkan dalam teras pertama untuk merancakkan aktiviti ekonomi.

"Selain rasa bangga dan bertuah, Sipitang optimis projek mega SAMUR ini menjadi obor baru untuk menerangi horizon ekonomi negeri, di laman indah yang penuh dengan kepelbagaian sumber asli semulajadi," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya beberapa keperluan susulan ditingkatkan demi menentukan SAMUR itu benar-benar membawa manfaat dan kemakmuran.

"Pertama, Hospital Nukleus Sipitang wajar dilengkapkan dengan kemudahan pakar termasuk doktor pakar, untuk menampung keperluan, sebagai persediaan menangani sebarang kemungkinan kesan daripada pembangunan projek berasaskan kimia, minyak dan gas itu nanti.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Sipitang juga hendaklah ditingkatkan keupayaannya, termasuk menempatkan Pasukan Menangani Bencana Bahan Kimia (Hazmat) yang mana anggotanya terlatih serta punya kemahiran spesifik, menangani kemalangan membabitkan bahan kimia.

"Kedua, pembangunan perumahan diperhebatkan, untuk memastikan ia mencukupi apabila SAMUR beroperasi sepenuhnya nanti, memandangkan jangkaan projek tersebut bakal menyediakan ribuan peluang pekerjaan.

"Kita risau dan bimbang, jika hal ini kurang diberi perhatian, ia membawa kesan dan implikasi negatif, dalam konteks sosiobudaya dan sosiopolitik di masa mendatang.

"Ketiga, sekali lagi pembangunan kemudahan pendidikan dan institusi latihan kemahiran perlu diadakan, untuk melatih serta melengkapkan belia tempatan, dengan pelbagai ilmu untuk memenuhi keperluan industri hiliran dan sampingan, kesan daripada pelaksanaan SAMUR nanti," katanya.- Dzul Mohd Kassim.

Share |