Wednesday, August 8, 2012

Ziarah Pekan Weston, Beaufort.

TINJAU...Sapawi bersama Abu Bakar (tengah) dan Mokti Matzin meninjau dan melihat kerosakan jambatan tersebut.

WESTON (Beaufort): Kebimbangan penduduk kampung bagi menggunakan jambatan kayu yang telah uzur nyata mendpat perhatian daripada Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad.

Sapawi yang dimaklumkan mengenai kedudukan jambatan itu daripada penduduk Kampung Ulu di sini telah rosak dan berbahaya untuk digunakan tidak mengambil masa yang lama untuk mengambil tindakan.

Melihat sendiri kerosakan dan keuzuran jambatan itu ketika melawat kampung tersebut kelmarin, Sapawi mengumumkan peruntukan segera bagi memperbaiki jambatan tersebut.

"Jambatan itu bukan sahaja rosak tetapi uzur...ia perlu diperbaiki segera lebih-lebih lagi jambatan itu menjadi jalan utama kepada penduduk kampung," katanya ketika ditemui selepas melawat kampung tersebut.

Beliau berkata pembaikkan segera itu perlu dilaksanakan dan tidak akan dibiarkan berpanjangan.

Katanya keperluan untuk memperbaiki jambatan itu adalah untuk memastikan keselamatan penduduk yang menggunakan jambatan tersebut tidak tergugat.

"Masalah rakyat tidak akan dibiarkan dan saya sendiri telah melihat bahawa jambatan itu amat perlu untuk diperbaiki," katanya.

Sapawi ditemani oleh Wakil Ketua Anak Negeri Lumadan Abu Bakar Salleh dan Ketua Kampung Ulu, Mokti Matzin berkata jambatan tersebut akan diperbiki menerusi konsep gotong royong.

Katanya cara itu adalah lebih baik kerana ia melibatkan penduduk kampung terbabit dan dapat memastikan kerja-kerja pembaikkan dilaksanakan dengan baik.



Share |