Tuesday, May 26, 2015

Ucapan Perbahasan RMK-11



Teks ucapan perbahasan Datuk Sapawi Ahmad sempena pembentangan RMK-11 di Dewan Rakyat

MUKADIMAH

Terima kasih Tuan Yang Dipertua

1. Menjejaki langkah rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain, saya awali ucapan ini dengan merakamkan penghargaan dan syabas kepada YAB Perdana Menteri, atas pembentangan Rangka Rancangan Jangka Panjang Negara, iaitu Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) pada hari Khamis yang lepas, bersamaan 21 Mei 2015.

2. Dengan membawa tema `Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat', kerangka RMK-11, yang mencakupi tempoh 5 tahun ke depan (2016-2020), menjangkaui garis wawasan, dan merentasi waktu menuju status negara maju berpendapatan tinggi, pantas sekali menjadi obor penyuluh, untuk dijulang setinggi pohon tualang, menerangi laluan perjalanan kita, bagi Malaysia mengejar dan berlari, dalam perlumbaan bersama negara-negara membangun  yang lain.

3. Terpintal dalam sebuah pakej dinamik, rangka pembangunan ini menjadi sandaran bagi Malaysia mencipta kejayaan. Inilah laluan perjalanan kita sendiri. Jalan mengikut acuan sendiri. Ibarat air yang mengalir dari puncak, tahu jalur mana yang harus dilalui, untuk sampai ke muara kemenangan.

4. Paksi Rancangan Malaysia Kesebelas ini, yang sudah lama dirancang (berbulan-bulan, dan malah bertahun-tahun), begitu kemas rapi lagi teliti, disesuaikan dengan kehendak hari esok, demi mengisi keperluan hari-hari mendatang, tanpa melupakan getir cabaran masa silam, semenjak Rancangan Malaysia Pertama dibentangkan dahulu.

5. Setelah 10 rancangan pembangunan silih berganti, dan kini Rancangan Malaysia Ke-11 direntangkan, pastinya kita dapat melihat fasa-fasa transformasi pembangunan, yang dibawa oleh para bintara pimpinan dahulu dan hari ini, untuk kesejahteraan rakyat jelata.

Tinggi-tinggi pokok tualang
Tempat lebah banyak bersarang
Lepas dibincang kemas dirancang
Agenda besar kini terbentang

SEKILAS RMK-11

Tuan Yang Dipertua
6. Tahniah kepada YAB Perdana Menteri, atas segala daya dan usaha, sehingga terhasilnya rangka rancangan pembangunan jangka panjang ini, yang dibentangkan bertepatan pada waktunya -- ketika kita berada di ambang peralihan status, di hadapan pintu negara maju.

7. Huraian yang diperincikan secara berfakta menjadi kompas pedoman dan landasan perjalanan Malaysia lima tahun ke hadapan, yang pastinya sarat bermuatan dengan bermacam kemungkinan-kemungkinan sukar diramalkan.

8. Disusun kemas ditenun indah, agenda pembangunan menjadi matlamat. Itulah yang dapat dilihat paling jelas dalam rangka Rancangan Malaysia Kesebelas ini -- iaitu membela merentas seluruh segmen masyarakat, bandar dan desa, dari Perlis hingga ke Sabah, dari Pekan sampai Sipitang.

9. Jelas fokus RMK-11 ini meletakkan kepentingan rakyat sebagai tiang keutamaan. Antaranya berkaitan kos sara hidup yang perlu dibangunkan, pendidikan yang mesti ditingkatkan, keselamatan yang wajar dimantapkan, pengangkutan awam yang wajib diperkasakan serta infrastruktur luar bandar yang harus diperhebatkan.

10. Bukan bermaksud memuji-muji, atau `ada udang di sebalik batu', tetapi inilah realiti di hadapan dan di sisi rangka pembangunan ini -- yang memancarkan aura komitmen kerajaan pada hari ini, di bawah pimpinan hari ini, untuk membawa Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

11. Setelah mendengar penuh teliti ketika pembentangan tempoh hari, dan kemudian membaca sinopsisnya berulang-kali, dapatan saya terhadap rangka pembangunan ini ringkas tapi luas -- iaitu ia suatu rancangan negara yang komprehensif, inklusif lagi objektif.

12. Komprehensif kerana ia dirangka secara menyeluruh dan pragmatif; inklusif kerana pendekatannya bersifat proaktif; dan objektif kerana halatujunya yang amat jelas.

13. Berbeza dengan rancangan-rancangan pembangunan sebelum ini, RMK-11 bersifat lebih glokal sebagai pengisiannya, berikutan cabaran-cabaran masakini yang jauh berbeza berbanding awal pasca merdeka dahulu, dan dasawarsa tahun-tahun berikutnya.

14. Justeru, saya amat yakin lagi percaya, tanpa was-was atau curiga, bahawa pembentangan rancangan pembangunan ini, dapat menangkis menjawab dan menutupi, segala prejudis negatif dan prasangka buruk, terhadap kerajaan dan kepemimpinan.

SABAH, SARAWAK ISTIMEWA

Tuan Yang Dipertua
15. Sabah dan Sarawak bersyukur dan rasa dijunjung, kerana sekali lagi mendapat perhatian istimewa dalam RMK-11 ini. Biarpun kami terpisah jauh di seberang lautan, nyata Bumi Kenyalang dan Negeri Di Bawah Bayu `tatap dakat' di hati pemimpin Nombor Satu YAB Perdana Menteri.

16. Hamparan RMK-11 yang dibentang itu menyaksikan kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak, akan memperoleh lebih banyak pembangunan dan kemajuan untuk jangka masa panjang, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

17. Jelas tertulis dalam dokumen penting lagi bersepadu itu, pelbagai perancangan disentuh untuk kemajuan kedua-dua negeri kami.

18. Antaranya melibatkan kemudahan asas, pertambahan dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya dan lapangan terbang, pembangunan, kemajuan luar bandar, penambahan peluang pekerjaan, kesihatan, hospital dan sebagainya.

19. Perihal mengenai rancangan pembangunan dan kemajuan di Sabah dan Sarawak mula disentuh oleh YAB Perdana Menteri, dengan mengulangi pelan pelaksanaan tiga projek perintis bagi 1Malaysia Youth City, iaitu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM100 juta sepertimana dalam Bajet 2015.

20. Selain itu, disebutkan jua bahawa kerajaan akan memberi tumpuan kepada pemberian hak milik tanah adat (NCR) untuk Orang Asli dan bumiputera dari Sabah dan Sarawak bagi menggalakkan pembangunan tanah.

21. Menyentuh tentang pembangunan bandar dan luar bandar yang saling melengkapi, maka penyediaan prasarana asas luar bandar seperti jalan raya akan diteruskan di Sabah dan Sarawak.

22. Contohnya, kerajaan akan membina 3,000 kilometer jalan berturap lagi di luar bandar bagi tempoh 2016 sehingga 2020.

23. Peruntukan yang disediakan, dan perancangan yang dirancangan itu, sudah tentunya `berita gumbira' yang membugar segar rasa gusar, kerana bakal membawa anjakan baru serta pusaran pembangunan berskala besar-besaran.

24. Nyata jarak lebih 1,600 kilometer dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu bukan pemisah dan penghalang. Malah kejauhan itu sungguh tidak dirasakan kini, pada era dunia digital, tiada lagi istilah wilayah terpencil, kerana  semua tempat boleh dihubungi biarpun jauh  tersorok di Lubang Buaya (iaitu sebuah kampung terpencil di kawasan saya, yang didiami masyarakat Kedayan -- satu daripada lebih 30 rumpun etnik di Sabah) yang memang terkenal dengan pelbagai pantun tradisinya.

25. Menghargai perhatian YAB Perdana Menteri itu, rakyat yang tinggal jauh di pelosok desa menyampaikan pantun:-

Daun pauh di atas talam,
Dalam talam `bakalakati'
Daiee jauh rakyat bakiim salam,
Pada pemimpin yang baik hati

SABAH SEBAGAI `ROLE MODEL'

Tuan Yang Dipertua
26. Sipitang tertarik dengan dua daripada fakta digariskan menerusi enam teras strategi RMK-11 ini, dan sesungguhnya begitu meyakini, betapa Sabah boleh menjadi `role model' ke arah pencapaian sebahagian visi dan misi agenda pembangunan lima tahun ini.

27. Fakta Pertama: Dalam Teras Ketiga menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan.

28. Sipitang menyokong penuh pendekatan teras strategi ini, kerana Sabah pada amnya, sudah memulakan langkah konserversi dan program perhutanan semula sejak beberapa tahun lalu, dan kini telahpun berhasil.

29. Dasar Perhutanan Sabah telah dirangka untuk memenuhi keperluan kesemua pihak yang ada kaitan dengan perhutanan, dan selari dengan amalan-amalan pengurusan hutan mampan, serta piawaian yang diterima-pakai di peringkat antarabangsa.

30. Selain Jabatan Perhutanan Sabah, turut membantu usaha konservasi ini termasuk agensi seperti Yayasan Sabah.

31. Hasilnya, Sabah kini mempunyai 860,000 hektar hutan yang mendapat persijilan dari peringkat antarabangsa, selaras keazaman tinggi kerajaan negeri melestari pengurusan hutan mampan dan memperluaskan Model Pengurusan Hutan Deramakot ke seluruh Hutan Simpan Kekal Komersil di negeri Sabah.

32. Pengiktirafan persijilan yang diterima itu termasuk daripada Majlis Pengawasan Hutan (FSC), Skim Persijilan Balak Malaysia (MTCS) dan Skim Perhutanan Pan-Eropah (PEFC) yang terpakai bagi konsesi Yayasan Sabah.

33. Di samping itu, kerajaan negeri turut menyedari mengenai kepentingan hutan dari segi pemuliharaan biodiversiti dan kawasan seluas 39,000 kilometer persegi dikhaskan untuk program inisiatif `Hearth of Borneo'.

34. Fakta Kedua: Usaha pembangunan ekonomi wilayah menerusi lima koridor wilayah yang sudah diwujudkan.

35. Pengwujudan koridor-koridor pembangunan ini, adalah manifestasi jelas kebijaksanaan pimpinan kita di peringkat nasional dan negeri, yang memandang jauh ke hadapan, saujana mata memandang, menjangkaui Wawasan 2020.

36. Bagi RMK-11 ini, kerajaan menyasarkan RM236 bilion pelaburan dan mewujudkan 470,000 pekerjaan lagi di lima koridor wilayah berkenaan, iaitu Iskandar Malaysia, Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Utara dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak.

37. Sebagai rekod, dalam tempoh 2011 hingga 2014, kelima-lima koridor wilayah tersebut telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM307 bilion dengan 57 peratus atau RM175 bilion pelaburan, serta menjana lebih 427,000 peluang pekerjaan.

38. Dalam konteks ini, Sabah sekali lagi boleh menjadi `role model' dalam menggerakkan pembangunan setempat, kerana kita telah mewujudkan `koridor dalam koridor' mengikut kesesuaian dan potensi wilayah-wilayah di negeri Sabah.

39. Menerusi SDC ini, kerajaan negeri mewujudkan enam sub-koridor pembangunan. Satu daripadanya ialah koridor pantai barat merangkumi kawasan Papar-Sipitang, sebagai hab minyak dan gas.

CADANGAN

Tuan Yang Dipertua
40. Kesinambungan daripada itu, dan mengambil kira RMK-11 ini sebagai perintis jalan, yang jauh dan penuh debaran, maka Sipitang mengharapkan agar kerajaan memberi ehsan pertimbangan terhadap beberapa hal yang saya ketengahkan ini.

41. Semestinya sokongan Kuala Lumpur sangat menentukan, dalam membawa lonjakan pembangunan dan pecutan raksasa ekonomi.

42. Pertama, dengan kepesatan pembangunan industri minyak dan gas dalam koridor pembangunan Papar-Sipitang ini, maka kita menyarankan agar dapat diwujudkan sekurang-kurangnya sebuah institusi kemahiran tinggi, sebagai persiapan mengisi keperluan dan ribuan peluang kerja berkemahiran tinggi di kawasan ini.

43. Agensi kerajaan seperti Mara, mahupun swasta seperti Petronas, harus bersikap proaktif dalam memenuhi keperluan ini, sekali gus memenuhi keperluan industri dalam jangka panjang. Ini seiring matlamat membina negara maju, menerusi platform mengupayakan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang meletakkan sasaran 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan yang akan diwujud dalam RMK-11 memerlukan latihan kemahiran.

44. Soal tapak bagi mewujudkan institusi berkenaan tiada masalah, kerana SOGIP sedia menawarkan tempat pada bila-bila masa.

45. Kedua, pentingnya bagi kerajaan mengambil usaha menaik taraf sekolah vokasional yang ada di kawasan Parlimen Sipitang, menjadi politeknik, sesuai dengan status daerah ini sebagai hab minyak/gas di jajaran Papar-Kimanis-Beaufort-Sipitang. Ini juga sejajar usaha meningkatkan peranan industri merentasi rantaian nilai, demi memenuhi permintaan industri.

46. Dengan kenaikan taraf atau status kepada politeknik, maka ia semestinya dapat menyedia kemudahan pendidikan teknikal untuk belia-belia tempatan dari sekitar kawasan pantai barat Sabah.

47. Ketiga, Sipitang merayu dan berharap agar Sekolah Menengah Pengiran Omar (SMPO) Sipitang, iaitu sekolah tertua di daerah kami, dibina bangunan baru atau dinaik taraf, memandangkan keadaannya yang sudah tidak bersesuaian dengan keadaan masakini.

48. Rayuan ini sebagai menyusuli pengumuman yang pernah dibuat oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, sewaktu merasmikan GATA Sipitang pada tahun lalu, dan kini masih dinantikan oleh warga sekolah berkenaan dan masyarakat setempat pada keseluruhannya.

49. Keempat, bangunan PPD Sipitang juga sudah tiba masanya untuk dinaik taraf memandangkan keadaannya yang begitu memilukan. Hal ini pernah saya bangkitkan dalam perbahasan di Dewan Yang Mulia ini, dan sehingga kini masih belum ada tindakan diambil.

50. Kelima, sambil kita mengalu-alukan pengumuman dalam RMK-11 mengenai pelaksanaan projek lebuh raya Pan-Borneo, Sipitang mengharapkan agar projek ini dapat dimulakan segera, kerana ia menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan dan pelbagai industri berkaitan.

51. Kita juga memohon agar pelaksanaan projek ini dimulakan di kawasan Sipitang, iaitu pintu masuk utama dari Sarawak dan negara jiran Brunei Darussalam, selain sebagai hab minyak dan gas di sebuah daerah yang mulai rancak membangun.

52. Keenam, berkaitan pelaksanaan projek jalan berturap sepanjang 3,000 kilometer yang disebutkan awal tadi, kita memohon agar tiga jalan utama di daerah Sipitang diberi perhatian dan pertimbangan khusus untuk dilaksana.

53. Tiga jalan yang perlu perhatian itu ialah Jalan Karangan-Lumadan; Jalan Mintulud-Bangkalalak; serta Jalan Mendulong-Meligan dan Meligan-Long Pasia.

54. Ketujuh, projek bekalan air bersih turut diberi penekanan dalam RMK-11 ini. Justeru, kita meminta agar kerajaan mengambil tindakan ke arah mempertingkat pengurusan bekalan air di kawasan Sipitang, khususnya bagi memberi bekalan air bersih ke kawasan Bangkalalak, Mintulud, Bintuka, Padas Damit dan Jabang -- iaitu perkampungan tradisi yang letaknya di kawasan `paling hujung'.

55. Kelapan, meminta Kementerian Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesejahteraan Bandar memperbanyakkan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi memenuhi keperluan golongan sasar yang disenaraikan dalam e-Kasih, yang benar-benar daif dan memerlukan perhatian.

56. Kita mengharap agar program ini tidak tertumpu di kawasan-kawasan tertentu saja, sebaliknya dilaksana secara menyeluruh, termasuk ke kawasan Sipitang.

57. Pada masa sama, kita menyambut baik pelaksanaan program baik-pulih rumah, seperti diumum dalam RMK-11 ini, dan diharap mengubah suasana hidup orang-orang kampung di serata pelosok desa.

PENGHARGAAN

Tuan Yang Dipertua
58. Perhatian terhadap aspek pembangunan untuk rakyat, baik nelayan dan petani mahupun penjawat awam dan profesional, sebagaimana dihurai dalam RMK-11 ini, adalah bukti prihatinnya bintara pimpinan semasa kita, di bawah naungan YAB Perdana Menteri, yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat di semua peringkat.

59. Terkhusus bagi kami di Sabah, perhatian sedemikian rupa sangat-sangat bermakna, dalam mengatur langkah perjalanan mara ke hadapan.

60. Harapan kami setinggi Gunung Kinabalu, impian kami seluas Laut China Selatan yang jernih membiru, moga-moga pada tempoh lima tahun ke hadapan ini, di bawah perancangan strategik lautan biru dan RMK-11, dapat membawa kami ke suatu era baru, demi rakyat Sabah yang sentiasa bersama `logo dacing berwarna biru'.

61. Bukan rahsia lagi bahawa fasa pembangunan di Sabah masih terkebelakang berbanding tempat lain, antaranya disebabkan hayunan `politik pendulum' sebelum kedatangan Umno ke Sabah pada 1991.

62. Sesungguhnya, kita mengharap agar RMK-11 ini meluruskan jalan berliku kami selama berdekad-dekad yang lalu. Semoga perjalanan ke hadapan menjadi lebih lurus, teratur dan fokus, khususnya dari segi pelaksanaan infrastruktur asas.

PENUTUP

Tuan Yang Dipertua,
63. Mewakili rakan-rakan Ahli Yang Berhormat dari Sabah, saya tutupi perbahasan ini dengan merakam penghargaan, atas perhatian istimewa, serta keprihatinan yang mendalam di hati Perdana Menteri, untuk mengangkat darjat kemajuan negeri `simpanan tatap' Sabah, yang baru saja dilawatinya beberapa minggu yang lepas.

64. Saya cukup optimis bahawa apa yang dibentangkan di Dewan Yang Mulia ini, akan membawa pencerahan pada langit politik yang mendung tapi kadangkala hangat memanas, pada ketika demokrasi sedang diuji, dan ketika kesabaran rakyat sedang digugat dengan pelbagai isu membelenggu.

65. Saya katakan demikian kerana akhir-akhir ini semakin ramai `politikus' yang cuba menyemai bibit-bibit kebencian rakyat terhadap pemerintah, dengan pelbagai helah dan tohmah, serta `tikus-tikus politik' yang cuba `membaiki labu' dan melagakan `ayam tambatan' masing-masing di gelanggang politik yang tidak berbumbung ini.

66. Hanya mereka yang berfikiran `miring-miring' tidak melihat langit terang bumi bertuah Malaysia yang sejahtera ini. Akan ada saja diungkit-ungkit, oleh rakan-rakan Ahli Yang Berhormat di seberang sana, kerana itulah fitrah pembangkang untuk kekal terapung di lautan politik yang sentiasa bergelombang.

67. Kepada rakyat jelata di serata tempat pelosok desa, janganlah mudah terikut kata, nanti binasa nusa dan bangsa kita.

Andang pulasan isinya manis
Andang duuiyan (durian) tajam durinya
Memang pembangkang berjanji manis
Kerana itulah saja mampu baginya.

Sekian, saya mohon menyokong!

ends








Share |